Friday, April 5, 2013

Rutin padat pemilik Hawa Ghazzali



WANITA ini melihat dirinya sebagai seorang isteri dan ibu yang mahu melengkapkan keluarga sendiri terlebih dahulu lebih daripada hal lain.
Justeru, status dan kemewahan milik beliau sama sekali tidak menghalang dirinya meluangkan masa berkualiti bersama keluarga, memasak untuk mereka, membuat tugas-tugas rumah dan dalam masa yang sama, mengembangkan perniagaan dalam industri fesyen.
Beliau ialah Datin Lynda Ghazzali, pemilik Hawa Ghazzali Collection (HGC) yang juga ibu kepada seorang bayi perempuan baru berusia 19 bulan.
Selain HGC, Lynda juga sangat dikenali dalam kalangan peminat porselin kerana sudah 15 tahun bergiat sebagai pelukis porselin. Beliau juga diberi gelaran Ratu Porselin kerana menjadi satu-satunya artis porselin di Asia yang mempunyai jenama sendiri di arena antarabangsa.
Di samping aktif dengan beberapa perniagaan seperti kosmetik, fesyen, hiasan porselin dan syarikat pengurusan acara, niat untuk tampil dengan jenama baharu, HGC katanya wujud apabila dia menjelajah negara Itali bersama suaminya.
Melihatkan batu-batu permata dan kemahiran beliau sendiri dalam mereka bentuk, menjadi titik tolak kepada kewujudan HGC hampir setahun lalu.
“Saya bermula dengan menghasilkan logo Hawa Ghazzali menggunakan emas dan berlian.
“Kemudian saya juga banyak mereka bentuk kafling, loket dan sebagainya untuk kegunaan sendiri. Melihat aksesori batu permata di Itali menjadikan saya lebih berminat,” kata Lynda.
Beliau tampil dengan jenama HGC selepas penyelidikan dan pembangunan yang dilakukan sejak enam bulan lalu termasuk mempelajari secara lanjut tentang batu permata, perak, kaca dan rekaannya.
Jangan merungut
Kata-kata awal saat ditanya mengenai pembahagian masa dan tenaga antara kerjaya serta keluarga ungkap Lynda: “Saya tidak boleh merungut!”
Kata-kata itu cukup untuk membawa pengertian bahawa memiliki sebuah keluarga yang bahagia dan teman-teman tersayang, Lynda tidak akan memberi ruang kepada seorang amah untuk menjaga perihal rumah tangganya.
REKAAN polka dot antara pilihan kegemaran ramai.


“Saya perlu lakukan sendiri kerana ia keluarga saya. Kalau anda mempunyai sebuah ruang dapur yang cantik, adakah anda mahu orang lain yang menggunakan kemudahan itu?” tanya beliau.
Jelas daripada raut wajah dan emosi yang dipapar, Lynda amat peka dan sedar dengan keperluan keluarga.
Beliau sentiasa berusaha untuk menjadikan dirinya sebagai wanita terbaik buat keluarga.
“Sekejap lagi saya akan masak nasi lemak,” kongsinya mengenai juadah makan tengah hari yang ingin dimasak sewaktu ditemui di banglo beliau di Taman U-Thant, Kuala Lumpur.
Sediakan jadual
Sebagai seorang isteri, ibu dan ahli perniagaan, kepadatan tugas menyebabkan Lynda menyediakan jadual khas yang akan menjadi rujukannya setiap hari.
Daripada bangun seawal pukul 5 pagi hingga melelapkan mata lewat malam sekitar 11 atau 12 malam, Lynda menerangkan rutin harian dan mingguan beliau termasuklah menggosok baju suami, membasuh, mengemas rumah, memasak dan bekerja di pejabat.
Sebagai pencinta seni porselin, wanita berdarah kacukan Arab itu juga banyak menghabiskan masa untuk melukis porselin sebagai hobi serta karya untuk peniagaannya.
“Saya tetapkan masa dan tidak akan beralih. Mungkin orang akan memandang saya sebagai bertuah, hidup mewah, mengusahakan perniagaan bertaraf antarabangsa dan memiliki suami yang juga seorang ahli perniagaan berjaya. Tetapi mereka tidak tahu saya perlu menggosok baju dan memasak sendiri untuk dia.
“Saya akan melakukan segala-galanya dan tidak suka menggunakan khidmat amah atau orang gaji,” kata beliau merujuk kepada suaminya, Datuk Ali Ghazzali, seorang lelaki berketurunan Tunisia dari Perancis.
Bercakap lanjut mengenai tugas memasak, ternyata Lynda mengakui dia tidak pernah bosan memasak, malah selalu mengalu-alukan rakan-rakan dan ahli keluarga untuk menjamu selera di rumahnya.
KELUARGA bahagia Lynda bersama suami, Ali dan puteri mereka, Hawa.


Banglo beliau seakan-akan tempat hentian makan tengah hari dalam kalangan rakan-rakan, kakitangan dan keluarga.
“Saya berasa seronok melihat mereka makan bersama kami. Lagipun, di bandar raya besar ini, makan untuk dua orang sahaja boleh mencecah lebih seratus ringgit. Di sini saya hanya perlu berbelanja RM50 dan boleh memasak untuk 10 orang,” katanya.
Masakan kegemaran Lynda yang juga sering mendapat pujian ramai termasuklah masakan Arab, kuskus.
“Saya belajar memasak termasuk masakan kuskus daripada ibu dan mertua. Dalam pada itu, jika makan di restoran, saya akan mengenal pasti bahan dan cara masakan seterusnya cuba memasak sendiri di rumah,” katanya lagi.
Pertemuan pagi itu, Lynda sempat berkongsi mengenai puteri sulungnya yang juga pemilik sebenar jenama syarikat beliau, Hawa Ghazzali.
Bak kata pepatah melentur buluh biar dari rebungnya, walaupun baru berusia 19 bulan, Hawa sebenarnya sudah dihantar ke sebuah sekolah untuk memberi pendedahan pendidikan awal.
“Saya mahu melihat jenama HGC seiring dengan perkembangan anak saya. Setakat ini, Hawa juga memberi respons yang baik dan positif dengan fesyen.
“Hawa amat menyukai kasut, aksesori dan beg. Saya turut membuka akaun laman sosial untuk Hawa yang dikemaskini dengan foto-foto fesyen,” kata Lynda.
Lynda memasang harapan untuk memperkenalkan koleksi fesyen pakaian kanak-kanak dan ibu pada masa akan datang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: