Friday, April 5, 2013

Memperingati syahid Palestin 1976



SEKUMPULAN kanak-kanak Palestin melepaskan puluhan belon berwarna-warni di sebuah kawasan lapang perkampungan Nazlet Zeid yang terletak di daerah Jenin, utara Tebing Barat.
Sambil mendongak ke langit melihat belon yang terbang ditiup angin, riak wajah masing-masing jelas terpancar keriangan. Sebahagiannya turut mewarnakan muka dengan lambang bendera negara mereka.
Di satu sudut lain, kelihatan beberapa kanak-kanak lelaki bersemangat mengibarkan bendera Palestin yang berwarna merah, hitam, putih dan hijau. Meskipun berada di bawah panas terik mentari, mereka langsung tidak merungut atau mengeluh.
Sebaliknya, anak-anak kecil yang berusia lingkungan tiga hingga 12 tahun itu gembira untuk meraikan Hari Tanah yang disambut oleh rakyat Palestin pada 30 Mac setiap tahun.
Kampung Nazlet Zeid terletak berhampiran dengan penempatan haram Yahudi di Shaked. Sambutan yang dilakukan oleh penduduk di sana itu kelihatan ringkas tetapi signifikan kerana ia menyuntik semangat jati diri terhadap anak-anak kecil dalam mempertahankan tanah air tercinta.
Di Beit Hanun, sebuah bandar di pinggir timur laut Semenanjung Gaza pula, penduduknya berpakaian ala petani sebagai tanda mengingati hari berlakunya peristiwa berdarah tersebut.
Hari Tanah atau Land Day bertujuan untuk memperingati pembunuhan enam penunjuk perasaan berketurunan Arab Israel oleh tentera Zionis sewaktu demonstrasi besar-besaran pada tahun 1976 bagi membantah rancangan Israel merampas tanah Arab di wilayah Galilee.
Tunjuk perasaan
Bekas ahli politik Belanda yang juga aktivis hak asasi manusia, Arjan El Fassed pernah menulis artikel khas mengenai insiden ini yang bertajuk, What is it that Palestinians commemorate on Land Day?
Artikel yang disiarkan di laman web The Electronic Intifada pada 30 Mac 2001 itu menjelaskan secara terperinci insiden yang berlaku sekali gus menunjukkan kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin.
SEKUMPULAN pemuda Palestin melaungkan slogan mengutuk Israel.


Menurut El Fassed, tindakan Israel yang mahu merampas 60,000 dunam tanah milik Arab di wilayah Galilee mengundang tunjuk perasaan oleh beribu-ribu penduduk minoriti Palestin di negara tersebut. Dunam ialah unit pengiraan kawasan tanah yang digunakan pada zaman Empayar Uthmaniyyah. Satu dunam merujuk kepada kawasan seluas 1,000 meter persegi.
"Konfrontasi yang berlaku antara penduduk dan polis Israel itu menyebabkan enam rakyat Palestin terbunuh, ratusan tercedera dan beratus-ratus lagi dipenjarakan. Dalam tahun-tahun berselang, peristiwa tersebut telah dikenang dalam memori rakyat Palestin sebagai Hari Tanah," ujar beliau.
Selepas bertahun-tahun dalam pemerintahan tentera dan politik kepatuhan, Hari Tanah 1976 merupakan tindakan pertama penentangan besar-besaran oleh rakyat Palestin di Israel terhadap polisi dalaman penjajah Zionis.
"Polisi itu sebenarnya satu proses rampasan sistematik yang mengurangkan pemilikan tanah Palestin daripada kira-kira 94 peratus bagi kesemua wilayah pra-Palestin 1948 kepada kurang daripada tiga peratus dalam apa yang kini dianggap sebagai Israel.
"Selepas beberapa tahun dipulaukan oleh Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan negara-negara Arab, Hari Tanah mengesahkan minoriti rakyat Palestin di Israel sebagai satu bahagian yang tidak dapat dipisahkan daripada negara Palestin dan Arab," jelas El Fassed, pengasas bersama The Electronic Intifada, laman web yang memaparkan tentang konflik Israel-Palestin dari kaca mata rakyat Palestin.
Penghormatan
Sementara itu, ribuan penduduk berarak membawa bendera gergasi dari pusat bandar Sakhnin di utara Israel sambil melaungkan slogan mengenang mereka yang terkorban serta tahanan Palestin yang dipenjarakan.
Datuk Bandar Sakhnin, Mazen Ghanaim turut memberi penghormatan kepada mangsa yang disifatkan sebagai syahid. Malah, Ghanaim juga menggesa penduduk Palestin terus berjuang dalam menuntut tanah dan hak mereka kembali.
Perarakan utama Hari Tanah diadakan di pekan Deir Hanna, Galilee. Ia diikuti dengan beberapa lagi demonstrasi jalanan di padang pasir dan persimpangan Shoket di wilayah Negev, selatan Israel.
Kumpulan tunjuk perasaan tersebut juga bertindak membantah rancangan rejim Zionis untuk menempatkan puluhan ribu kaum Arab Badwi yang menghuni padang pasir ke satu kawasan perbandaran tetap dengan mengambil ribuan hektar tanah penduduk Palestin.
Demonstrasi serupa turut berlangsung di kawasan Tebing Barat selepas solat Jumaat di tempat pemeriksaan utama di Baitulaham dan beberapa buah kampung.
Di Gaza pula, ratusan penduduk tidak ketinggalan menyertai perarakan dari pekan Jabaliya ke Beit Lahiya. Dalam pada itu, ketegangan tercetus antara penduduk Palestin dengan pihak berkuasa Israel.
Di tempat pemeriksaan Qalqiliya yang terletak di utara Baitulmuqaddis, sekumpulan pemuda Palestin bertindak membaling batu ke arah tentera rejim dan membakar tayar.

PULUHAN belon berwarna-warni dilepaskan di sebuah kawasan lapang di perkampungan Nazlet Zeid yang terletak di daerah Jenin, utara Tebing Barat.


Tindakan tersebut dibalas oleh tentera Israel dengan melepaskan gas pemedih mata, menembak peluru getah dan melempar bom untuk meleraikan penunjuk perasaan tersebut.
"Pihak tentera Zionis turut melepaskan tembakan cecair busuk yang dikenali sebagai skunk ke arah kumpulan pemuda Palestin yang menyertai demonstrasi terbabit," menurut koresponden agensi berita Associated France Press (AFP).
Rentetan daripada pertempuran itu, pegawai perubatan Palestin memberitahu, sekurang-kurangnya 30 orang mengalami kecederaan dan dirawat akibat terkena gas pemedih mata.
Sambutan Hari Tanah yang berlangsung sejak 37 tahun lalu itu sering mendapat perhatian para penyokong Palestin termasuk pelarian di Lebanon, Jordan, Syria dan Tunisia. Mereka turut berarak menuju ke sempadan sebagai sebahagian daripada perarakan global ke Baitulmuqaddis.
Pokok zaitun
Perdana Menteri Palestin, Salam Fayyad pula berkata, sebagai sebahagian daripada sambutan Hari Tanah, beliau bersama delegasi 20 rakyat Palestin telah menanam pokok zaitun di kawasan Tebing Barat yang dikenali sebagai E1 atau Bab Al-Shams.
Menurut beliau, Israel telah mengenal pasti kawasan tersebut untuk dijadikan penempatan masa hadapan bagi penduduk Yahudi.
"Kehadiran kami di Bab Al-Shams dan di setiap sudut tanah Palestin akan kekal berakar umbi seperti pokok-pokok zaitun ini berakar umbi di tanah air kami," tegasnya melalui kenyataan yang dikeluarkan pejabat Perdana Menteri.
Di samping itu, sebanyak 200 anak pokok zaitun ditanam di pekan Al-Khader berhampiran bandar Baitulaham di Tebing Barat.
"Anak pokok zaitun telah ditanam di kawasan Shoshhala yang telah dirampas secara haram oleh tentera pada tahun 1967 selepas Israel menduduki seluruh Palestin.
"Israel berterusan dengan cubaan merampas tanah dalam usaha untuk mengembangkan penempatan haram di kawasan berhampiran," ujar Ahmad Salah, penyelaras Jawatankuasa Popular terhadap Tembok dan Penempatan di Al-Khader kepada Radio Baitulaham 2000.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: