Monday, April 8, 2013

Risiko, cabaran Faizal Tahir


FAIZAL kini muncul dengan album solo ketiganya dan dia mengakui belum bersedia untuk berduet dengan sebarang penyanyi lain.


DIA mengambil masa selama tiga tahun sebelum mampu melihat hasilnya sekarang ini. Selama tempoh tersebut, Faizal Tahir telah bertungkus-lumus mencari material lebih segar untuk album baharunya.
Akhirnya, usahanya berbaloi apabila pelantun lagu Mahakarya Cinta itu kini muncul dengan album studio ketiganya yang berjudul, Faizal Tahir.
Ujar Faizal, berbanding album pertamanya, Aku.Muzik.Kamu (2007) dan Adrenalin (2010) yang menampilkan genre pop rock, album kali ini agak unik dan melangkaui kebiasaan.
Memuatkan 10 buah lagu termasuk Anti Graviti, Mati, Biar, Halusinasi dan Tujuh, Faizal yang ditemui pada majlis pelancaran album tersebut di Johor Bahru baru-baru ini berkata, kali ini, dia mempertaruh dan memperkenalkan genre electronic rock yang jarang-jarang diketengahkan artis tempatan.
Ikuti temu bual Kosmo! bersama Faizal yang mulai mencipta nama sejak menjadi naib juara program realiti TV, One In A Million pada tahun 2006.
Kosmo!: Bolehkah Faizal jelaskan tentang album ketiga anda yang menampilkan genre electronic rock ini?
FAIZAL: Konsep electronic rock merujuk kepada penyusunan muzik yang lebih kepada rock tetapi santai dan tidak terlalu heavy dan metal, tidak terlalu ballad dan juga tidak terlalu R&B. Muzik yang dihasilkan juga banyak menggunakan bantuan mesin.
Dua buah album Faizal yang meraih sambutan hebat daripada peminat sebelum ini merupakan genre pop rock, jadi tidak bimbangkah dengan risiko menampilkan album dengan rentak yang belum pernah anda tampilkan?
Walaupun sebenarnya agak berisiko mengetengahkan sesuatu yang baharu kepada pendengar tetapi bagi saya, itu cabaran yang harus dilakukan seseorang artis untuk mencari kepuasan atau memberikan yang terbaik buat peminat. Bagi saya, apabila kita membuat sesuatu yang berbeza, ia akan menjadi lebih puas dan hasilnya lebih memperlihatkan kematangan dalam memberikan nafas baharu kepada dunia muzik tempatan.
Album-album sebelum ini diterbitkan oleh Audi Mok tetapi untuk album ketiga ini, Faizal bekerjasama dengan komposer Omar K yang cukup sinonim dengan lagu-lagu genre R&B seperti yang dialunkan penyanyi Alyah dan Dayang Nurfaizah. Boleh ceritakan pengalaman kali pertama Faizal berkolaborasi dengan Omar K?
Saya gembira dapat bekerjasama dengan Omar K. Bagi saya, dia seorang komposer yang hebat. Idea-idea Omar K memang menarik dan peminat harus mendengar lagu-lagu dalam album ini kerana kerjasama antara Omar K dengan saya. Ini antara yang terbaik yang pernah dihasilkan.
Apakah harapan Faizal terhadap album ketiga ini?
Harapan saya pastinya untuk mengukir lebih banyak kejayaan menerusi album ketiga ini sekali gus memperlihatkan potensi muzik electronic rock untuk diketengahkan di pasaran tempatan. Selama lebih kurang enam tahun berkecimpung dalam bidang muzik, saya merasakan album kali ini yang terbaik yang pernah dihasilkan kerana gabungan antara saya dengan komposer, elemen-elemen segar dalam muzik dan juga kerjasama daripada peminat-peminat saya dalam bootcamp baru-baru ini yang mana mereka turut sama memberikan idea untuk mewarnai album ini.
Faizal tidak pernah berkolaborasi dengan sebarang penyanyi lain. Adakah anda ada perancangan untuk berkolaborasi dengan mana-mana penyanyi dalam masa terdekat ini?
Secara jujurnya, saya belum bersedia untuk berduet dengan sesiapa. Saya juga tidak meletakkan syarat untuk berduet dengan sesiapa dan semua ini terpulang kepada rezeki. Sekiranya ada terpanggil untuk berduet, saya akan buat.
Bagaimanakah pula dengan konsert solo Faizal?
Konsert solo sememangnya kemuncak kerjaya seorang penyanyi. Insya-Allah semua ini akan dirancang dan disusun perlahan-lahan, tidak boleh tergesa-gesa kerana konsert selalunya memerlukan perancangan teliti dan saya percaya impian itu akan tercapai suatu hari nanti.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: