Monday, April 8, 2013

Mawi dambakan Shahir

MAWI mengakui ada membuat suatu tawaran kepada Shahir menerusi telefon.


DIAM-DIAM ubi berisi. Itu perumpamaan yang boleh dilabelkan terhadap penyanyi Mawi yang sudah jarang mendapat liputan media.Ironinya, sejak pelantun lagu Angan dan Sedar itu menyepikan diri dalam dunia seni, dia sebenarnya merencanakan sebuah perniagaan bersama isterinya, Nora Asyikin Rahmat atau Ekin.
Perniagaan berkonsepkan pemakanan kesihatan dan penjagaan kulit yang dikenali sebagai Unequein itu sudah beroperasi tiga bulan lalu dan ia sekali gus menepis anggapan sesetengah pihak mengatakan pemilik sebenar nama Asmawi Ani itu tidak berduit atau muflis.
"Sebenarnya sudah dua tahun kami (Mawi dan Ekin) merancang untuk menjalankan perniagaan yang berkonsepkan kepada penjagaan kulit dan kesihatan," jelas Mawi.
Kenapa memilih perniagaan produk kesihatan dan kecantikan, ungkap Ekin pula, idea itu tercetus selepas dia mengalami alahan yang teruk pada kulit ketika mengandungkan anaknya iaitu Cahaya Malaika.
"Semasa saya mengandung enam bulan, seluruh badan saya keluar ruam seakan-akan seperti chicken pox (cacar air). Ketika itu, saya berasa sangat gatal dan tidak selesa. Mujur, ada seorang kenalan iaitu pakar kecantikan yang membantu dan akhirnya alahan saya itu hilang," ujarnya.
Mengeluarkan kos hampir setengah juta untuk perniagaannya itu, dedah Mawi pula, fokusnya kini adalah pada keluarga dan perniagaannya.
Merajuk
Mendengar pada jawapannya itu, adakah dia akan berhenti menyanyi atau merajuk pada dunia nyanyian setelah namanya tidak lagi berada di puncak populariti?
Mengulas mengenai perkara itu, ujar Mawi, dia bukan merajuk sebaliknya bekas juara Akademi Fantasia musim ketiga itu nekad akan terus menyanyi selagi dia mampu.
Ujarnya, single terbaharunya berjudul Termolek ciptaan Datuk M. Nasir dan lirik oleh Ad Samad sudah dihasilkan dalam bentuk klip video dan kini sudah dimuat naik di laman sosial YouTube.
Bercerita tentang lagu Termolek, ujar Mawi, ia menceritakan tentang kasih sayang seseorang kepada pasangannya sama ada ibu, anak, kekasih atau isteri.
"Lagu ini boleh ditujukan buat wanita atau anak. Tetapi, untuk klip video Termolek ia menceritakan tentang kasih sayang seorang bapa terhadap anaknya," ujar Mawi yang berharap lagu tersebut disukai peminat seterusnya mengembalikan era kegemilangannya ke dunia nyanyian.
Jelas Mawi, selepas single Termolek dia bakal muncul dengan single kedua berjudul Kau Adalah Aku yang juga dihasilkan oleh M. Nasir.
Tidak terbatas kepada pembikinan lagu sahaja, Mawi bakal menghasilkan drama terbaharu khusus untuk tayangan pada hari raya tahun ini.

MAWI dan Shahir masing-masing merupakan juara program realiti popular, Akademi Fantasia musim ketiga dan kelapan.


Hanya Shahir
Bagaimanapun, drama terbitan syarikat miliknya, MW Entertainment Sdn. Bhd. itu masih belum mempunyai judul. Apa yang pasti, luah Mawi, dia sangat mendambakan penyanyi Akademi Fantasia musim kelapan iaitu Shahir atau nama sebenarnya Ahmad Shahir Zawawi untuk membawa peranan utama dalam drama berkisarkan tentang seorang pemuda kampung yang ingin berhijrah untuk menjadi penyanyi rock terkenal.
Ditebak sama ada drama tersebut menyerupai filem Rock dan Rock Oo arahan Mamat Khalid, ungkap Mawi, dia belum lagi berpeluang menonton kedua-dua filem tersebut tetapi menegaskan mendapat idea untuk menghasilkan jalan cerita untuk dramanya itu sejak tahun 2005 lagi.
"Idea untuk hasilkan drama ini sudah lama. Sejak tahun 2005 lagi. Ia mengisahkan tentang tiga sahabat yang berkeinginan untuk menjadi penyanyi rock terkenal. Dalam pada dia ingin bergelar penyanyi rock, dia sebenarnya sangat pandai mengaji dan berzanji.
"Saya rasa Shahir sangat sesuai membawakan watak ini kerana dia juga pandai mengaji dan berzanji," jelasnya yang masih belum menerima sebarang jawapan daripada Shahir biarpun sudah menghubunginya menerusi telefon bimbit.
Selain Shahir, menurut Mawi, dua lagi pelakon yang bakal membintangi drama tersebut ialah Johan As'ari dan kartunis Soya.
Sebelum ini, syarikat MW Entertainment Sdn. Bhd. pernah menerbitkan drama Siapa Dapat Lisa yang dibintangi oleh kumpulan SepahTu dan Didie Alias. Selain itu, Mawi juga pernah menerbitkan drama Paknil Ibu Kirim Salam, Seruan Pulau Nami dan Jiwa Kacau.
Cahaya Malaika
Di luar lapangan seninya, Mawi turut berkongsi cerita mengenai cahaya mata kesayangannya, Cahaya Malaika yang kini sudah menginjak usia setahun. Ujar Mawi, anaknya itu mempunyai minat yang pelik iaitu bola sepak.
"Cahaya sekarang sudah pandai cakap malah dia sangat suka menonton perlawanan bola sepak. Setiap kali dia minum susu dia mahu tengok bola. Lepas itu dia akan cakap ball dan goal. Kalau tukar siaran lain dia tahu dan tidak suka," tuturnya.
Menurut Ekin, minat Cahaya kepada rancangan bola mungkin disebabkan ketika mengandung dia tidak suka Mawi menonton rancangan tersebut.
"Mawi suka tengok bola tetapi saya tidak suka. Mungkin terlalu rasa tidak suka terkenan pada anak. Ialah, kata orang kalau kita mengandung jangan terlalu suka atau terlalu benci nanti terkenan," ceritanya sambil ketawa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini:

Post a Comment