Saturday, April 20, 2013

Realistik atau sekadar kempen populis?



ISU penurunan harga kereta sebenarnya sudah lama. Jika diimbas kembali pada tahun 2006, kerajaan sudah pun melakukannya buat pertama kali. Isu turunkan harga atau lebih senang penghapusan cukai sebenarnya merupakan agenda ekonomi global atau yang selalu kita dengar sebagai globalisasi.
Matlamat utama globalisasi ekonomi adalah untuk menghapuskan sebarang halangan bagi kemasukan produk atau perkhidmatan ke sesebuah negara. Halangan ekonomi tidak terhad kepada cukai sahaja. Ia turut hadir dalam pelbagai bentuk seperti kuota import, standard atau birokrasi.
Harus tahu bahawa halangan adalah perkara biasa dalam pelaksanaan ekonomi globalisasi. Sekiranya di Malaysia perlindungan diberi kepada industri automotif, di negara lain berbeza pula industri yang ingin dilindunginya.
Melindungi industri
Di peringkat negara-negara ASEAN, ada satu perjanjian bebas yang dikenali sebagai Zon Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA). Objektif utama AFTA adalah untuk mewujudkan suasana kompetitif dan menarik lebih banyak pelaburan asing ke negara ASEAN.
Negara-negara ASEAN yang terlibat sudah pun mematuhi apa yang patut dipersetujui melalui perjanjian tersebut sementara Malaysia telah memohon penangguhan dalam sektor automotif.
Sebab itu ada orang kita yang pulang melancong dari Indonesia mengadu harga kereta di sana lebih murah. Mereka yang ke luar negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom atau Jepun juga biasanya akan merungut benda yang sama.
Tidak perlu contoh jauh sebenarnya, jika disemak harga kereta di Pulau Langkawi pun rakyat sudah boleh lihat perbezaan struktur cukai yang dikenakan. Hakikatnya, kerajaan mengenakan cukai yang lebih kerana mengikut pendapat mereka, industri automotif tempatan perlu dilindungi.
Selain itu, cukai kenderaan merupakan hasil pendapatan negara. Walau bagaimanapun, kerajaan tetap harus menurunkan cukai dalam masa beberapa tahun lagi bagi mematuhi perjanjian AFTA sepenuhnya.
Dalam sektor automotif, Thailand dilihat lebih ke hadapan dalam menarik pelabur asing hingga digelar sebagai Detroit of the Asia. Ini boleh dilihat dengan kehadiran pengeluar utama dunia seperti Ford dan Toyota yang menjadikan negara itu sebagai pangkalan penting dalam mengeksport model-model mereka.
Liberalisasi harga
Namun, matlamat utama AFTA ialah untuk berkongsi kekayaan, jika semuanya tertumpu kepada Thailand sahaja maka itu adalah suatu yang tidak seimbang. Mujur, Honda menjadikan Malaysia sebagai pangkalan untuk mengeksport kereta penumpang seperti Honda City dan Honda Accord ke Thailand.

JIKA harga kereta baharu diturunkan secara mendadak, nilai kereta terpakai akan menerima kesan paling teruk.


Ironinya, Malaysia adalah peneraju industri automotif dengan pengenalan Proton, Perodua dan Modenas. Malangnya sekarang Thailand lebih mendahului. Tidak dinafikan kos murah antara faktor kenapa pelabur asing suka ke Thailand.
Tidak duduk diam, kerajaan dikatakan telah menyemak semula Dasar Automotif Nasional dan khabarnya tumpuan akan diberikan kepada industri kenderaan cekap tenaga. Ini boleh dilihat dengan cukai kenderaan hibrid yang rendah serta program pemasangan Honda Jazz Hybrid di Melaka.
Kerajaan juga dilihat sudah lebih berkompromi dalam isu harga kereta. Kita boleh lihat bagaimana segmen kereta bandar diliberalkan. Harga Nissan Almera misalnya bermula daripada RM66,000. Itu sebenarnya sudah memasuki lingkungan harga kereta nasional.
Kia juga agresif, lihat bagaimana mereka meletakkan harga produk-produk mereka. Jauh lebih murah jika dibandingkan dengan kereta Jepun. Harus tahu, Forte ialah antara pesaing utama Proton Inspira.
Untuk pilihan raya ke-13, Pakatan Pembangkang telah membuat hantaran bulu tangkis dengan janjinya untuk menurunkan cukai sebanyak 100 peratus dengan kadar 20 peratus setiap tahun selama lima tahun.
Sedikit lambat untuk menyambut bola tangkis tersebut, kerajaan mengumumkan penurunan cukai sebanyak 20 hingga 30 peratus secara beransur-ansur.
Tidak kira apa pun keputusannya, hasil akhirnya nanti sama ada 100 peratus atau 30 peratus yang turun, rakyat tetap akan menikmati penurunan cukai kereta.
Nampak dan rasa seperti seronok, tetapi apa yang sebaliknya bakal berlaku ialah kereta yang anda miliki sekarang ini akan mempunyai nilai hangus.
Nilai kereta anda akan jatuh akibat daripada penurunan harga kereta baharu. Senarionya mudah. Jika sebuah Honda Jazz baharu kelak berharga RM70,000 tidak mungkin Honda Jazz yang sudah anda guna selama tiga tahun dengan harga belian lebih mahal mempunyai nilai yang sama. Secara automatiknya nilai Honda Jazz anda akan turut jatuh.
Bayangkan jika baki pinjaman bank masih lagi ada RM70,000 sedangkan nilai semasa sekitar RM60,000. Secara langsungnya, baki pinjaman lebih tinggi daripada nilai semasa dan anda harus menunggu hingga nilai pinjaman berkurangan atau pun pandu sampai reput sahaja!

ISU harga kereta yang mahal sudah lama menjadi topik hangat dalam kalangan rakyat negara ini.


Semak kembali syarat pinjaman
Menikmati harga kereta yang murah memang indah. Namun kesannya harus difikirkan juga. Walau bagaimanapun, contoh yang saya nyatakan itu hanyalah kesan sementara atau untuk satu kitaran sahaja.
Selepas cukai habis diturunkan mengikut apa yang dijanjikan oleh kerajaan dan hutang pula telah dilangsaikan, barulah anda boleh menikmati harga baharu kereta dengan senyuman.
Namun begitu, untuk mengekang kesan melampau akibat penurunan harga secara mendadak, kerajaan boleh mengambil model negara jiran seperti Indonesia atau Thailand.
Di sana, walaupun harga kereta murah, tetapi akses kepada kereta adalah sukar. Di negara kita, jumlah pinjaman adalah 90 peratus, kadar faedah pinjaman bank rendah dan tempoh pinjaman pula panjang.
Jadi dengan akses sedemikian tidak hairanlah ramai sungguh yang membeli kereta baharu. Faktanya pula ramai juga yang bankrap dek kerana gagal membayar pinjaman kereta.
Di negara jiran, rakyatnya tidak menikmati kemudahan tersebut walaupun harga kereta murah. Apa yang boleh kerajaan lakukan adalah dengan menyemak kembali syarat pinjaman.
Misalnya mengurangkan jumlah pinjaman kepada 80 hingga 70 peratus. Selain mengurangkan tempoh pinjaman dari sembilan tahun kepada tujuh atau enam tahun sahaja. Lebih rigid, kereta kedua atau ketiga dihadkan jumlah pinjamannya sebanyak 50 peratus sahaja.
Ada satu cara lagi ialah dengan mengekalkan harga sedia ada, tetapi dengan penambahan nilai. Misalnya Proton Preve CFE yang berharga RM73,000 dibesarkan lagi pakej standardnya seperti penambahan beg udara, kit badan, insurans, servis percuma dan waranti yang lebih lama tanpa sebarang penambahan harga.
Cara-cara tersebut boleh dibuat dalam tempoh sehingga pasaran stabil. Ia juga dilihat dapat mengekang kebanjiran pembelian baharu. Pada masa yang sama memelihara harga kereta semasa dan industri kereta terpakai.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini:

Post a Comment