Saturday, April 20, 2013

Pelancong London dilanda kesejukan

SALAH seorang warga Malaysia Noorshazeele Zakaria yang ditemui di Buckingham Palace, London.


MINGGU terakhir bulan Mac tahun ini menyaksikan suhu kekal sejuk sehingga waktu siang mencecah negatif darjah Celsius. Suhu sejuk membeku ini amat dirasai ramai pengunjung dari negara panas yang datang ke kota raya London.
Ada juga ketikanya, suhu menjunam ke bawah paras beku, serendah negatif 3 darjah Celsius pada waktu siang, diselubungi angin sejuk yang bertiup sederhana.
“Saya datang ke London untuk bercuti. Saya dapat merasakan kesejukan yang melampau. Ia satu kejutan untuk saya dan kawan-kawan kerana kami datang dari Mexico yang berhawa panas,” kata pelancong yang mahu dikenali sebagi Jenny, 30-an, ketika ditemui tidak jauh dari Istana Buckingham.
Musim bunga sepatutnya bermula pada awal bulan Mac apabila musim sejuk melabuhkan tirai pada hujung Februari lalu di Britain dan kebanyakan negara lain di benua Eropah. Bagaimanapun tahun ini suhu beku hadir lebih lama yang pernah dialami sejak lebih lima dekad. Kali terakhir cuaca sejuk sebegini lama dikatakan pada tahun 1963.
Seorang wanita Inggeris yang ditemui di Muzium Britain berkata, kali ini salji turun lebih lama sehingga bulan Mac.
Menurut laporan London Evening Standard, ramai dalam kalangan warga Britain memilih menyambut perayaan Easter tahun ini di negara cuaca panas seperti Mesir, Turki, Tunisia, Sepanyol dan Kepulauan Caribbean.
Easter ialah antara perayaan utama dalam kalendar penganut Kristian. Minggu menyambutnya dinamakan minggu suci dan Jumaat sebelum Easter dikenali sebagai Good Friday.
Bagi pengunjung yang berada di London, mereka tiba dengan persediaan untuk menghadapi musim sejuk yang panjang. Bagi mereka yang sudah biasa dengan musim sejuk kerana bermastautin di Britain dan negara-negara yang mengalami empat musim, turut merasai tempias kesejukan suhu negatif kali ini.
Berhelai-helai pakaian tebal dipakai untuk mengelakkan rasa sejuk dan keadaan berangin ini.
Seorang pengunjung dari Denmark yang bercuti di London selama enam hari bersama keluarganya berkata, di Denmark suhunya jauh lebih rendah berbanding London.

WALAUPUN cuaca sejuk melampau orang ramai masih berkunjung ke tempat-tempat menarik di kota raya bersejarah di London seperti Dataran Trafalgar, Taman Covent, Menara Jambatan, Istana Buckingham dan Sungai Thames.


Berpakaian tebal
“Saya memang sudah biasa dengan cuaca sebegini tetapi tidak menyangka akan menyambut Easter dalam cuaca sejuk juga. Terpaksalah kami bercuti dengan berbekalkan pakaian tebal seperti ini,” katanya.
“Saya akan pergi bercuti ke Maghribi, cuaca terlalu sejuk di sini,” kata seorang lelaki Inggeris ketika ditanya mengenai suhu sejuk melampau ini di stesen kereta api bawah tanah Oxford Circus.
Lelaki berusia dalam lingkungan 20-an itu baru saja selesai membeli-belah di deretan gedung terkemuka seperti Selfridges, H&M, Marks & Spencer, Hamleys dan Top Shop yang kebetulan ketika ini mengadakan jualan murah musim bunga bersempena sambutan Easter.
Penulis juga menemui beberapa orang rakyat Malaysia yang bercuti di kota raya London.
“Sejuk, memang sejuk sungguh. Tapi kami telah dinasihatkan untuk membawa pakaian termal dan tebal supaya dapat bertahan dalam cuaca sejuk,” kata Noorshazeele Zakaria, 25, yang lengkap berstokin panjang dan sarung tangan tebal.
Hazman Sapawi dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, beliau berkunjung ke London pada tahun 2012 dalam tempoh waktu yang sama.
“Saya sudah bersedia dengan pakaian tebal untuk musim sejuk, tetapi terpaksa menyarung pakaian yang lebih tebal lagi kali ini,” katanya.
Akhbar di kota raya London juga melaporkan agensi ramalan kaji cuaca menjangkakan musim dingin kini akan berpanjangan sehingga sebulan lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: