Saturday, April 20, 2013

Ketenangan Kota Dublin

MONUMEN Light di O'Connel mudah ditemui di Dublin.


PENERBANGAN dari Malaysia ke Ireland memakan masa selama 25 jam. Dalam tempoh itu, dua transit disinggahi iaitu Singapura dan Abu Dhabi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE).
Kepenatan berada di awan bagaikan hilang sekelip mata sebaik kaki menjejak Lapangan Terbang Antarabangsa Dublin, Ireland.
Ketika itu bulan Februari, suhu di Dublin melewati paras beku. Perkara pertama yang menarik perhatian saya ialah kecantikan wanita Ireland.
Sejak kecil, saya sering mendengar cerita orang mengenai kecantikan rupa paras warga Ireland tidak kira lelaki mahupun wanita.
Saya kemudiannya dijemput seorang rakan rakyat Malaysia, Kamarulzaman Abdul yang kini bekerja di Dublin. Sepanjang 20 minit perjalanan dari lapangan terbang ke ibu kota Dublin, saya masih tidak percaya telah berada di bumi Ireland.
Kurang dilawati
Ireland merupakan negara yang kurang dilawati rakyat Malaysia. Ini kerana, kedudukan geografinya jauh di ufuk barat daya Malaysia. Tambahan pula, cuaca sejuk sepanjang tahun antara faktor kurangnya rakyat Malaysia melancong ke negara itu.
Apabila Kamarulzaman mempelawa saya untuk bertandang ke salah satu bandar tertua di benua Eropah itu, saya tidak teragak-agak menerimanya. Iklim sejuk juga merupakan faktor saya memilih negara tersebut sebagai destinasi untuk berlibur.
Pusat beli-belah
Grafton Street merupakan tempat pertama saya lawati di Dublin. Kawasan tersebut merupakan pusat beli-belah untuk pejalan yang kaki paling popular di tengah-tengah kota Dublin.
Pusat beli-belah itu terletak antara St. Stephen's Green dan Kolej Trinity. Sepanjang jalan tersebut, saya dapat melihat deretan bangunan lama yang dikategorikan sebagai zon Architectural Conservation.
Namakan apa sahaja jenama antarabangsa yang terkenal dunia, logo dan cap dagangannya pasti terpampang di sepanjang jalan itu.

SYURGA beli-belah barangan berjenama di Kildare Village Factory Outlet.


Tiang besi
Lebih kurang satu kilometer dari Grafton Sreet, mata saya tertumpu kepada tiang besi yang dikenali sebagai The Spire of Dublin. Ia terletak di seberang jambatan Sungai Liffey.
Ia kelihatan seperti tiang bendera dengan ketinggian 120 meter dan berdiameter tiga meter. Ia dibina di tengah-tengah O'Connell Street di hadapan bangunan Pejabat Pos Besar Dublin.
Diperbuat sepenuhnya daripada keluli tahan karat yang berbentuk abstrak membuatkan The Spire menjadi salah satu mercu tanda di kota Dublin.
Pada waktu malam pula, kota Dublin agak sunyi dan tidak sibuk seperti bandar-bandar besar lain di dunia. Hanya sepanjang Temple Bar Street menjadi tumpuan penduduk tempatan untuk berhibur pada waktu malam.
Kota Belfast
Selain ibu kota Ireland, saya juga berkesempatan berkunjung ke Kota Belfast di bahagian Utara Ireland yang mengambil masa lebih kurang dua jam dari Dublin dengan menaiki kereta.
Bagi saya, istimewa kota itu ialah ia merupakan pangkalan asal kapal Titanic dibina pada tahun 1912 di County Antrim. Di samping itu, saya juga berasa amat bertuah kerana berkesempatan menikmati panorama cantik Kota Belfast.
Tidak banyak tempat yang dapat saya lawati di Kota Belfast kerana cuaca hujan dan sejuk. Waktu perniagaan kebanyakan kedai di kota itu hanya dibuka sehingga 6 petang.
Pada hujung minggu di Dublin, saya dibawa ke Kildare Village Factory Outlet. Di situ, pelbagai barangan berjenama dijual jauh lebih murah berbanding harga di tanah air.
Saya menghabiskan masa sepanjang hari membeli-belah termasuk membeli cenderamata sebagai kenangan.

TREN merupakan salah satu pengangkutan awam yang sering digunakan penduduk di Dublin.


Menunggang basikal
Istimewanya ketika berada di benua Eropah, aktiviti berbasikal di bandar-bandar sudah menjadi kelaziman penduduknya. Kota Dublin juga tidak terkecuali apabila kemudahan menyewa basikal mudah didapati.
Walaupun menunggang basikal di tengah-tengah kesibukan kota, saya tetap berasa selamat.
Selain itu, menunggang basikal dapat menjimatkan masa dan tenaga untuk meneroka tarikan pelancongan di kota tersebut. Selain kadar sewa yang murah, kemudahan tempat letak basikal juga mudah didapati.
Berbasikal merupakan satu aktiviti yang amat menyeronokkan. Cuaca sejuk yang sentiasa menjadi peneman setia membuatkan saya tidak mudah penat ketika menunggang basikal.
Seperti kebanyakan negara-negara Eropah yang lain, Ireland juga mempunyai terusan dan sungai yang cantik dan bersih. Saya tidak melepaskan peluang untuk menghabiskan masa melihat kecantikan sungai dan terusan di dalam kota tersebut.
Beberapa hari sebelum pulang ke Malaysia, saya juga berpeluang menghadiri sambutan Tahun Baru Cina yang dianjurkan oleh pihak Malaysian Student Department, Dublin.
Sambutan perayaan itu turut dihadiri Duta Besar Malaysia di Ireland, kakitangan Kedutaan Malaysia dan para pelajar Malaysia yang menetap di Dublin.
Sambutan itu berlangsung meriah malah para pelajar tersebut turut membuat pelbagai persembahan.
Bagi saya, Ireland merupakan satu destinasi pelancongan yang sangat tenang jika dibandingkan dengan kebanyakan negara-negara Eropah lain. Ireland merupakan sebuah kota yang bersih dan saya berpeluang melihat bangsa kulit putih yang ramai berbanding negara-negara Eropah lain.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: