Saturday, April 20, 2013

Motosikal untuk rakyat


MR1 menawarkan penggunaan bahan api yang boleh dikelaskan sebagai efisien dan tidak membebankan.


SESI tunggang uji minggu ini membabitkan Modenas Kriss MR1 yang menjengah pasaran pada akhir tahun 2011. MR1 mendokong maksud Motosikal Rakyat 1.
Produk Motosikal dan Enjin Nasional Sdn. Bhd. (Modenas) itu dilihat sebagai pelaksanaan satu tanggungjawab sosial untuk menawarkan produk mampu milik berkualiti kepada para pengguna.
Sejak diperkenalkan sehingga 31 Januari 2013, jumlah jualan produk buatan Malaysia itu telah mencecah paras 32,000 unit.
Baru-baru ini, saya berpeluang menunggang uji Kriss MR1. Sesi ujian diadakan di sekitar ibu negara dan Selangor.
Untuk menghidupkannya, anda boleh memilih sama ada menggunakan butang penghidup elektrik atau penendang kaki.
Saya mendapati kedudukan penendang kaki MR1 terkeluar sedikit sehingga bersentuhan dengan betis kaki kanan.
MR1 memberi tindak balas kuasa yang amat bersesuaian dengan kapasiti enjinnya iaitu jenis empat lejang silinder tunggal SOHC.
Jimat minyak
Sistem karburator SPACO AV18-P dan kotak gear empat kelajuan dengan sistem putaran (rotary) didatangkan sebagai pelengkap kepada rangkaian kuasa MR1.

METER model MR1 sememangnya cukup ringkas dengan paparan maklumat semasa.


Sistem operasi gearnya lancar, cuma pedal belakang sedikit lembut sewaktu menurunkan gear. Kadar kekerasannya berbeza dengan pedal gear hadapan.
MR1 dilengkapi sebuah tangki petrol berukuran 4.3 liter. Jika mengisi penuh tangki itu dengan RON95, belanja yang diperlukan adalah sebanyak RM8.20.
Saya mengadakan tiga siri ujian untuk mengukur aspek penjimatan petrol. Setiap ujian membabitkan nilai pengisian sebanyak RM5 (2.63 liter).
Jarak diperoleh pada sesi tunggangan pertama adalah sejauh 96 kilometer (km). Kadar kelajuan pada ketika itu antara 100km sejam (km/j) hingga 120km/j.
Kelajuan tunggangan dikurangkan kepada 80km/j hingga 100km/j bagi sesi kedua. Catatan diperoleh ialah 130km sebelum jarum petunjuk minyak jatuh di bawah paras E (kosong).
Tunggangan ketiga yang lebih santai dan berjaya merekod jarak perjalanan sejauh 142km dengan purata kelajuan antara 60-100km/j.
Tugas memperlahankan dan memberhentikan MR1 diserahkan kepada brek jenis gelendong pada kedua-dua roda.
Saya mendapati pelana tebal MR1 menawarkan keselesaan pada bahagian punggung dan pinggang sepanjang sesi tunggang uji diadakan.
Motosikal seberat 98 kilogram itu sememangnya cukup mudah untuk mengharung kesesakan lalu lintas. Kestabilan tunggangan dibantu oleh fork hadapa n dan suspensi kembar belakang.

PENCAHAYAAN set lampu belakang cukup cerah dan jelas kelihatan ketika tunggangan malam.


Kedua-dua komponen itu tidaklah terlalu keras atau lembut. Bagaimanapun, gegaran masih boleh dirasai apabila terpaksa menyusuri laluan tidak rata atau berlubang.
Biarpun jarak perjalanan pada meter jentera tunggang uji sudah mencecah paras 3,300km, saya menyedari bahawa tiada sebarang bunyi atau getaran daripada mana-mana bahagian cover set.
Menyentuh soal pencahayaan ketika tunggangan malam, suluhan lampu utamanya boleh disifatkan sebagai memuaskan.
Prestasi kedua-dua lampu isyarat membelok dan lampu brek belakang juga cukup cerah.
Modenas MR1 ditawarkan dengan tiga pilihan warna iaitu biru putih, merah putih dan oren putih. Harga jualan asas ialah RM2,948 seunit.
Harga itu tidak termasuk insurans, cukai jalan dan lain-lain caj. Jaminan yang diberikan adalah selama satu tahun atau jarak perbatuan 10,000km (mana-mana tiba dulu).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: