Thursday, April 18, 2013

Lawak RL7 hambar


SEMUA peserta Raja Lawak 7 diharap dapat mempertingkatkan mutu persembahan mereka pada minggu-minggu seterusnya.


PROGRAM realiti mencari bakat pelawak dalam kalangan rakyat Malaysia, Raja Lawak kini sudah memasuki musim ketujuh.
Jumaat lalu, 13 orang peserta yang terpilih buat pertama kalinya mempertontonkan bakat mereka kepada khalayak.
Walaupun pihak Astro selaku penerbitnya telah membuat perubahan besar dengan mengubah format program ini menerusi Raja Lawak musim keenam.
Namun pada musim ketujuh ini, format asal digunakan semula seperti musim-musim sebelumnya.
Antara format yang telah diubah pada musim keenam ialah menggunakan perkhidmatan Ahmad Idham sebagai Cif Besar serta tiga lagi pelawak yang juga bintang kelahiran Raja Lawak sebagai Cif Kecil iaitu Yus, Tauke dan Angah.
Namun apa yang pasti, Raja Lawak kali ini menampilkan gandingan dua orang pelawak yang digemari ramai iaitu Johan dan Zizan di atas pentas Raja Lawak 7 (RL7) sebagai hos biarpun juara Raja Lawak 6, kumpulan Shiro melakukan gimik awal di atas pentas sebagai pengacara.
Kerusi juri atau pengkritik tetap pada musim ini pula terdiri daripada pelawak yang tidak asing lagi dalam industri seni iaitu Datuk AC Mizal, Saiful Apek dan Isma Aliff.
Musim terbaharu program ini menyaksikan penyertaan dua peserta dari negara jiran, Singapura iaitu kumpulan Bora terdiri daripada Muhammad, Hanafiah dan Isa serta pelawak solo yang bernama Ali.
Selain kumpulan Bora dan Ali, antara 11 peserta lain yang berjaya menempuh gelanggang pertama musim ketujuh ialah kumpulan Kintan, Pahat, Gamat, Taras, Okay, Sakan, Tuah, Wala, Xtra, Ganu serta peserta perseorangan terdiri daripada Emy, dan Boy.
Pada acara pembukaan gelanggang minggu pertama musim ini, harus diakui, lawak yang dipersembahkan oleh para peserta begitu hambar dan hampir tidak menepati piawaian lawak yang diperlukan memandangkan ia kini telah bersiaran sebanyak tujuh musim.
Mungkin terlalu ingin berhati-hati atau takut, kebanyakan peserta tampil dengan lawak yang sedikit hambar dan kurang elemen lawak.
Malah, ada beberapa kumpulan gagal membuatkan penonton ketawa semasa persembahan mereka di atas pentas.
Jelas kelihatan, pihak pengkritik menganggap minggu pertama ini sebagai gelanggang untuk peserta memanas serta membiasakan diri berhadapan dengan khalayak ramai.
Justeru, komen yang diberikan juga masih lembut dan berlapik agar tidak mematahkan semangat peserta.
Pada akhir persembahan minggu pertama, ia menyaksikan kumpulan Bora, Ali serta kumpulan Tuah meraih kedudulan tiga kumpulan tercorot.
Bagaimanapun, seperti kebiasaannya, minggu pertama tiada penyingkiran yang dibuat dan kesemua peserta berjaya meneruskan perjuangan mereka untuk minggu kedua.
RL7 bersiaran secara langsung setiap hari Jumaat pukul 10 malam di saluran Astro Warna (saluran 132) dan Mustika HD (saluran 134).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: