Thursday, April 18, 2013

Johan tak kecewa

JOHAN tiba-tiba dikaitkan mempunyai hubungan intim dengan Emma Maembong.


HUBUNGAN percintaan yang terjalin antara pelakon Nabila Huda Suhaimi dan Nas Muammar Zar Nasruddin atau Nas-T sudah diketahui umum setelah kedua-duanya membuat pengakuan secara rasmi baru-baru ini.
Satu-satunya lelaki yang rapat dengan Nabila sehingga sering digosipkan bercinta, Johan As’ari belum membuka mulut tentang hubungan dia dengan aktres tersebut sejak berita itu tersebar.
Johan yang dihubungi baru-baru ini berkata, sebagai seorang rakan, dia berasa cukup gembira apabila Nabila telah bertemu dengan jejaka yang sesuai dengan dirinya.
Ujarnya, dia yakin pilihan yang dibuat oleh Nabila merupakan satu keputusan yang tepat, meskipun mengakui tidak pernah kenal atau berjumpa dengan Nas-T sebelum ini.
Kosmo!: Bolehkah Johan komen mengenai percintaan yang terjalin antara Nabila dan Nas-T?
JOHAN: Pertama sekali, saya ingin mengucapkan tahniah kepada mereka berdua. Sebagai teman rapat Nabila, sudah tentu saya gembira dengan dirinya yang kini sudah mempunyai kekasih.
Menariknya, kisah percintaan mereka itu saya dapat tahu ketika mengerjakan umrah baru-baru ini. Kemudian, apabila pulang ke Malaysia saya dapat tahu sudah ramai yang memperkatakan tentang hubungan cinta mereka.
Adakah Johan tidak berasa kecewa memandangkan anda pernah dikatakan bercinta dengan Nabila?
Mengenai hubungan saya dan Nabila pula, secara kronologi memang kami tidak pernah bercinta sebelum ini. Sebaliknya, hubungan kami tidak lebih daripada sekadar teman rapat. Jadi, tiada istilah kecewa apabila Nabila bercinta dengan orang lain, malah saya akan mendoakan kebahagiaan mereka dan berharap Nas-T dapat menjaga Nabila sebaik-baiknya.
Bagaimanakah pula hubungan Johan dengan Nabila sekarang?
Walaupun kini Nabila sudah menjadi milik orang, tetapi kami tetap berkawan seperti biasa. Cuma, kami tidak boleh rapat seperti dahulu kerana menghormati Nas-T sebagai kekasih Nabila.
WALAUPUN hati Nabila kini menjadi milik Nas-T, namun Johan masih berkawan dengan Nabila.


Baru-baru ini anda dilihat cukup intim dengan Emma Maembong ketika sama-sama terlibat dalam sebuah acara promosi di selatan Malaysia pada bulan lalu sehingga menimbulkan rasa kurang senang segelintir pihak. Bolehkah Johan jelaskan sejauh mana hubungan kalian berdua?
Sebenarnya kami bernaung di bawah syarikat pengurusan yang sama iaitu Wire Fame Entertainment milik Zizan Razak dan Marina Juki. Saya sudah bersama dengan syarikat tersebut sejak tahun lalu. Kemudian, pihak pengurusan meminta saya supaya menjaga dan mengawasi Emma memandangkan dia masih baharu dan belum pernah menyertai acara jelajah sebegitu. Jadi, sepanjang acara berlangsung saya memang sentiasa berada di sisi Emma setiap masa. Mungkin, ia telah menimbulkan salah faham dan saya ingin meminta maaf sekiranya ada mana-mana pihak yang kurang senang dengan cara kami.
Adakah sudah timbul perasaan cinta antara anda dengan Emma memandangkan dia kini solo?
Sebelum ini saya sudah tahu Emma ada kekasih, tetapi tidak sangka pula sekarang hubungan dengan kekasihnya itu sudah berakhir. Namun begitu, secara jujurnya tiada perasaan cinta antara kami. Lagipun kami cuma kelihatan agak rapat ketika sama-sama menyertai acara jelajah tersebut. Saya menganggapnya tidak lebih sebagai seorang adik, malah saya memanggilnya dengan panggilan ‘adik’ apabila kami berjumpa.
Bagaimanakah perkembangan kerjaya seni anda pula?
Saya bersyukur kerana kerjaya saya dalam bidang seni semakin berkembang dengan pelbagai tawaran yang diperoleh. Selepas tampil dalam filem Juvana The Movie, ada tiga buah filem saya yang masih belum ditayangkan iaitu Tokan, Paku dan Pencinta. Buat masa ini saya sedang berehat daripada sebarang aktiviti lakonan dan tidak lama lagi saya bakal membintangi sebuah filem berjudul Tujuh...Tujuh...Tujuh yang akan memulakan penggambaran pada bulan hadapan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: