Tuesday, April 2, 2013

Lamb Ribs dapur Tony Roma's

LAMB Ribs merupakan inovasi yang dicipta oleh anak tempatan.


KREATIVITI mencipta menu baharu, Lamb Ribs (tulang rusuk kambing) telah menobatkan restoran Tony Roma’s Malaysia sebagai penerima Brand Innovation daripada pihak ibu pejabat restoran itu yang beroperasi di Florida, Amerika Syarikat. Kemenangan itu lebih bermakna apabila ciptaan tersebut bakal dimasukkan ke dalam menu Tony Roma’s di seluruh dunia.
Anugerah itu merupakan hasil usaha bahagian Kajian Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) yang diketuai oleh Pengurus Operasi Tony Roma’s Malaysia, Muhammad Adam Mah. Ia disampaikan melalui Ketua Pegawai Operasi Revenue Valley, Dickson Low ketika acara memperkenalkan menu itu kepada media di pusat beli-belah Sunway Pyramid, Petaling Jaya, Selangor.
Pengenalan menu baharu itu menunjukkan komitmen Tony Roma’s Malaysia dalam memberi pengalaman berharga kepada penggemar restoran tersebut untuk merasai hidangan bertaraf antarabangsa.
Penciptaan hidangan itu merupakan lanjutan daripada kajian dijalankan oleh pihak pengurusan yang berpendapat tidak semua masyarakat di Malaysia dapat merasai keenakan menu terkenal mereka iaitu Beef Ribs (tulang rusuk lembu) atas dasar faktor agama.
Oleh kerana itu, resipi Lamb Ribs boleh dijadikan alternatif kepada pengunjung untuk memilih hidangan kambing dengan rasa signatur Tony Roma’s.
Penciptaan Lamb Ribs melalui proses pembuatan yang panjang dan berliku memandang pihak pengurusan tidak mempunyai panduan daripada pihak atasan.
Sebagai pengemudi kumpulan tersebut, Adam melakukan kajian mendalam mengenai ramuan yang bersesuaian dan menepati cita rasa masyarakat Malaysia di samping masih mengekalkan ciri-ciri Tony Roma’s.
“Kami melalui beberapa kesukaran ketika proses penciptaan. Ia merangkumi pemilihan konsep hingga menyesuaikan rasa yang boleh dihidangkan kepada semua kelompok masyarakat.

DICKSON (kiri) dan Muhammad Adam menunjukkan dua menu istimewa yang menjadi kegemaran pengunjung restoran Tony Roma's.


“Kami tidak mahu sekadar mencipta menu tambahan tetapi hidangan yang mampu mendapat perhatian daripada pengunjung tetap,” ujar Muhammad Adam.
Pengiktirafan tersebut merupakan anugerah terbaharu diterima Tony Roma’s Malaysia selepas membawa pulang Anugerah Operator Terbaik pada tahun 2008. Selain itu, mereka turut menerima Jenama Terbaik untuk Hidangan Kasual Amerika 2009 oleh Brand Laureate.
“Kemenangan yang diraih memberikan keyakinan bahawa kami berada di landasan yang betul.
“Tony Roma’s Malaysia mempunyai kumpulan sokongan yang sangat berdedikasi dalam memastikan servis terbaik kepada setiap pelanggan di restoran,” ujar Dickson.
Sebelum ini, Lamb Ribs merupakan antara hidangan mendapat undian tinggi ketika kempen The Best Ribs Election Showdown yang diadakan baru-baru ini.
“Keputusan yang diperoleh melalui kempen tersebut telah membuka ruang kepada kami untuk mengembangkan lagi pasaran melalui pengenalan menu Lamb Ribs,” jelas Dickson.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: