Produk Safi
.
Pengeluar produk Safi, Wipro Unza (Malaysia) Sdn Bhd yakin jenama itu dapat mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju produk penjagaan kulit muka halal di negara ini dengan pelancaran rangkaian produk terbaru Safi Rania Diamond (SRD).

Pengarah Kumpulan Produk Safi, Mahsuri Sulaiman berkata, produk penjagaan Safi menjadi produk pilihan pengguna dengan pencuci muka Safi kini berada pada kedudukan nombor satu dalam pasaran tempatan manakala pelembab muka jenama itu di tangga kedua selepas jenama terkemuka antarabangsa.

"Keupayaan jenama Safi dalam menandingi jenama luar adalah membanggakan," katanya selepas melancarkan produk terbaru Safi Rania Diamond, di Subang Jaya, semalam.

Mengulas berhubung perkembangan rangkaian produk penjagaan Safi pada masa akan datang, beliau berkata, selain melancarkan produk baru, Wipro Unza juga akan melancarkan semula produk sedia ada dengan menambah baik formulasi untuk menghasilkan produk penjagaan kulit muka yang terbaik setiap dua hingga tiga tahun.

SRD adalah rangkaian produk perawatan antipenuaan kedua mampu milik Safi selepas Safi Rania Gold, yang berfungsi untuk mengurangkan kedutan dan garisan halus pada wajah serta merawat, merangsang dan mengaktifkan pembentukan sel kolagen dan elastin kulit dua kali ganda.

“SRD juga direka untuk wanita berusia 40 tahun dan lewat 30 tahun yang mengalami masalah penuaan.

“Bagi menghasilkan produk bermutu ini, kami melakukan proses penyelidikan dan pembangunan selama hampir dua tahun dan membelanjakan wang yang banyak,’ katanya.

Menurutnya, produk SRD sudah berada di pasaran sejak minggu lalu dan mendapat maklum balas positif daripada pengguna.