Jamal derma RM2,000 baiki pusara P. Ramlee
Jamal menyerahkan sumbangan kepada Zed Zaidi untuk membaik pulih pusara P. Ramlee sambil disaksikan Juhari.
PENYANYI Kekasih Awal dan Akhir, Jamal Abdillah menyumbangkan RM2,000 untuk membaik pulih pusara Seniman Negara

Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang musnah akibat cuaca, baru-baru ini.

Sumbangan itu diserahkan kepada Presiden Persatuan Seniman, Zed Zaidi, hari ini.

Menurut Jamal, sumbangan kecil itu sebagai tanda penghargaan terhadap seniman agung tersebut ekoran menggunakan lagu-lagu beliau selama ini.

"Saya guna lagu-lagu P.Ramlee untuk konsert dan rakaman, jadi saya terfikir apa yang saya boleh buat untuk beliau?

"Kebetulan musibah itu (pusara rosak) berlaku, maka saya bagi apa yang termampu untuk bantu," katanya kepada Sinar Harian Online ketika ditemui selepas sidang media kedua Konsert Extravaganza, hari ini.

Sementara itu, Zed Zaidi berkata, Jamal merupakan antara pihak paling awal yang menghubunginya untuk memberi sumbangan.

"Masa buat gotong-royong sebelum ini, Jamal antara orang pertama yang menghubungi saya kata nak bagi sumbangan.

"Ini perlu dicontohi. Kita akan usaha untuk membaiki semula pusara itu," katanya.

Dalam pada itu, pihak Arkib Negara turut menyampaikan sumbangan untuk tujuan sama kepada Zed Zaidi.

Turut hadir pada sidang media tersebut, Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Muhamad Juhari Sharaani dan Timbalan Ketua Pengarah Arkib Negara, Faridah Ishak.