Eina Azman
Eina Azman
WAJAH gadis cantik ini sering menghiasi kaca televisyen sejak kebelakangan ini.
Selepas muncul menerusi drama bersiri Mimpi Cinderella, pelakon berusia 18 tahun ini semakin popular dan meniti di bibir peminat seni tempatan.

Menariknya, walaupun masih muda, namun dia antara selebriti yang cukup mementingkan penampilan sama ada dari aspek kecantikan mahupun kesihatan.

Menurut pelakon Bangkitnya Seorang Perempuan ini, kecantikan dan kesihatan sudah sinonim dengan dirinya sejak di bangku sekolah lagi.

Jom kita cungkil rahsia pemilik nama Ainur Syakina Azman atau nama pentasnya Eina Azman ini.

Anda antara selebriti remaja yang sentiasa tampil cantik dan sihat, apa amalan yang dilakukan anda untuk mendapatkan semua ini?

Sebagai selebriti, memang saya menitikberatkan kedua-dua aspek ini. Bagi saya, ia aset yang perlu dijaga sebaiknya. Pun begitu, saya tidak mempunyai sebarang rahsia, sebaliknya hanya mengamalkan jamu yang dibuat oleh ibu untuk memastikan
kesihatan dalaman sentiasa terkawal. Memang kecantikan luaran itu penting, tetapi ia juga bermula dari dalam.

Sejak bila anda mengambil jamu ini?

Oleh kerana ibu yang membuatkannya, jadi sejak berusia 14 tahun lagi dia sudah mendidik saya meminum jamu ini. Jadi, apa yang saya lakukan adalah dengan meminumnya segelas setiap hari. Walaupun dahulu saya tidak menyukainya, namun sekarang saya berpuasa hati kerana hasilnya sangat mengagumkan. Selain itu, saya turut mengamalkan meminum air putih sebanyak dua gelas setiap pagi.

Selain itu, adakah anda seorang yang melakukan diet ketat untuk mendapatkan bentuk badan yang dimiliki hari ini?

Sebenarnya, saya bukanlah seorang yang mengawal pemakanan dan suka berdiet, tetapi jadual penggambaran yang ketat membuatkan badan saya cepat turun. Ialah, adakala apabila penggambaran, saya terlepas makan dan itu membuatkan berat saya semakin berkurangan.
Adakah anda berpuas hati dengan bentuk badan sekarang?
Saya mempunyai ketinggian 173 sentimeter, jadi bila terlalu kurus, bentuk badan saya nampak tidak menarik dan saya sendiri lebih gemar badan sebelum ini berbanding sekarang. Jika dahulu berat saya sekitar 56 dan 57 kilogram, tetapi sekarang hanya 49 kilogram sahaja. Malah, ibu juga berharap badan saya lebih berisi. Apa pun, demi karier, saya perlu kelihatan begini kerana dalam televisyen, sesiapa sahaja akan nampak lebih besar.
Beralih kepada penjagaan kulit pula, anda turut memiliki kulit yang sihat, apa produk yang anda gunakan untuk memastikan kulit sentiasa bersih?
Sebenarnya, saya mempunyai kulit yang sangat sensitif, biasanya saya hanya mencuci muka dengan air putih sahaja sehingga benar-benar bersih. Saya tidak guna apa-apa produk di wajah kerana ia akan membuatkan muka ditumbuhi jerawat dengan mudah. Biasanya, selepas habis penggambaran, saya akan mencuci solekan dengan segera. Bagaimanapun, saya tetap mengambil vitamin dan suplemen tambahan untuk kecantikan kulit.

Bagaimana pula dengan 'facial', apakah anda gemar melakukannya?
Ya, bagi saya facial amat penting, saya akan melakukannya 2 kali sebulan. Ini bagi memastikan sisa-sisa kotoran yang terdapat di muka dapat dibuang secara terperinci.
Dari segi rambut pula bagaimana? Boleh kongsi cara anda menjaga kesihatan rambut?
Sudah lumrah menjadi selebriti rambut akan sentiasa di set mengikut kehendak sesebuah drama atau filem itu, saya juga tidak terkecuali. Masalahnya, rambut hadapan saya senang jatuh dan sukar dibentuk, jadi banyak 'hairspray' digunakan untuk membentuk rambut tersebut. Sebaiknya, apabila sampai di rumah, saya akan terus mencucinya. Jika tiada penggambaran, saya akan mencuci rambut selang sehari. Tetapi, saya juga akan ke salon untuk mendapatkan rawatan rambut lebih menyeluruh.
Jika mempunyai masa terluang, apakah aktiviti wajib yang akan anda lakukan?
Sudah tentu ke spa, sesibuk mana pun saya, saya akan mencari jalan untuk spa sebulan sekali bersama ibu atau kakak.

Sedikit mengenai perkembanganterbaru anda?

Sekarang saya sedang sibuk penggambaran untuk telemovie dan filem Zombie Kilang Biskut arahan Mamat Khalid. Dalam pada itu, drama terbaru saya, Mencari Cinta akan mula disiarkan 25 April ini.