Shera Aiyob dan Zahiril Adzim
Shera Aiyob dan Zahiril Adzim
MOMEN paling dinantikan bagi mana-mana pasangan yang baru berkahwin adalah kelahiran cahaya mata yang bakal melengkapkan rumah tangga dibina.
Begitulah dirasai pasangan Shera Aiyob dan Zahiril Adzim yang berdebar dan teruja menantikan kehadiran 'orang baru' dalam kehidupan mereka.

"Berdasarkan ujian imbasan, doktor sudah memberitahu jantina bayi dan harapnya keluar nanti sama seperti yang doktor telah maklumkan.

"Justeru buat masa ini, biarlah kami simpan dulu jantina anak ini, kerana mana tahu nanti tidak sama dengan jangkaan doktor

"Dari segi persiapan pula, kami lakukan secara ringkas kerana mengikut pesan orang tua-tua agar membeli barang bayi selepas bersalin," ujar Shera.

Shera berkata, setakat ini tahap kesihatan bayi dan dirinya berada dalam keadaan baik dan sihat.

"Alhamdulillah, apabila menginjak ke trimester ketiga kehamilan, saya tidak lagi alami alahan seperi awal-awal dahulu.

"Malah saya juga tidak ada mengidam yang pelik-pelik dan sekiranya saya mengidam, biasanya makanan itu mudah didapati," katanya.

Berkongsi persediaannya untuk bergelar ibu, Shera berkata, dia banyak membuat rujukan daripada orang tua-tua dan juga membaca buku atau artikel dari internet mengenai penjagaan bayi.

"Rasa agak takut juga apabila memikirkan untuk memandikan dia nanti memandangkan dia masih kecil. Jadi bagi menambah pengetahuan mengenai bayi, saya banyak membaca.

"Selain itu ibu dan ibu mertua juga banyak beri petua dan nasihat kepada saya," jelasnya.

Masih aktif

Menyentuh mengenai perkembangan seninya, Shera berkata, dia masih lagi menerima tawaran lakonan yang tidak memerlukannya terikat dengan jadual penggambaran yang panjang.

"Ketika awal kehamilan, saya tidak dapat menerima tawaran kerana alahan teruk. Tetapi sekarang jika ada tawaran untuk telefilem, saya akan terima dan bergantung juga sama ada wataknya berat atau ringan.

"Lagipun kandungan saya jika pakai baju yang besar, ia tidak kelihatan sangat.

"Malah saya juga tidak menolak kembali berlakon selepas bersalin, kerana saya sudah rindu dengan dunia lakonan. Cuma saya mungkin akan lihat watak dan lokasi penggambaran terlebih dahulu," ujarnya.

Sementara itu, Zahiril berkata, dia tidak menghalang isterinya itu untuk terus aktif dalam bidang lakonan selepas ini.

Katanya, dia akan menyokong apa jua keputusan Shera, asalkan tidak mengabaikan anak mereka kelak.