Velvet
Velvet
SUDAH lama industri hiburan tanah air tidak menerima kemunculan kumpulan atau band yang kesemua ahlinya terdiri daripada wanita. Jika terdahulu, kumpulan seperti Elite dan Candy pernah menjadi perhatian peminat muzik tempatan, kini fenomena seperti itu boleh dikatakan telah terkubur.

Melihatkan keadaan itu tiga gadis, Iqa, 27, (basis dan vokal), Shana, 24, (gitaris) dan Mira, 21, (gitaris) yang memiliki minat sama dalam muzik rock sepakat membawa bakat mereka untuk diketengahkan dengan harapan kemunculan mereka bakal memeriahkan lagi industri muzik tempatan.

Menggelarkan diri sebagai Velvet, kumpulan di bawah naungan KRU Music ini akui telah bersedia menerima segala kritikan daripada masyarakat terhadap kemunculan mereka.

“Memandangkan kami satu-satunya band perempuan yang muncul dalam industri buat masa ini, jadi kami seharusnya bersedia dengan segala respons yang akan diberikan.

“Kalau takut, kami tidak akan masuk dalam industri ini. Apa yang penting, kami cuba yang terbaik untuk buktikan kemampuan  dalam memperjuangkan kami,” kata Iqa.

Menyentuh penubuhan awal band ini, Iqa yang juga merupakan bekas peserta program Mentor ke lima ini memberitahu, perkenalan antaranya bersama Mira dan Shana bermula daripada laman sosial MySpace dan Facebook.

“Sebelum bergabung, kami aktif dengan band masing-masing. Kalau nak diikutkan, sebelum ini latar belakang muzik kami berbeza.

“Selepas mengenali, kami sepakat menubuhkan band bersama dengan genre pop rock komersial dan menggelarkan kumpulan kami dengan nama Thunder Girls sejak tahun lalu,” jelasnya.

Kerja keras

Mengulas lebih lanjut mengenai fokus dan pembabitan band ini menerusi aliran arus perdana, Shana menegaskan, kehadiran mereka bukanlah untuk membawa muzik yang diperjuangkan semata-mata.

“Selain cuba menonjolkan muzik dan penampilan lebih segar, kami juga mahu membuka mata masyarakat bahawa kaum wanita juga memiliki bakat dalam muzik rock. Kami tidak mahu dipandang rendah dan akan menggunakan peluang yang ada dengan sebaik mungkin,” ujarnya.

Tambah Shana lagi, mereka akui persaingan daripada band yang sedia ada turut memberi cabaran hebat buat mereka untuk terus dikenali.

“Kami positif dengan persaingan yang ada dalam industri ini. Dengan adanya persaingan seperti ini, kami akan bekerja lebih keras dan ia adalah perkara yang baik. Tapi kami tidak mahu terlalu memikirkan soal itu dan apa yang penting adalah kami ingin belajar lebih banyak untuk terus maju dalam industri ini,” katanya.

Terluka dapat sambutan

Bercerita mengenai single pertama mereka yang mendapat sentuhan sepenuhnya daripada komposer, Edry Abdul Halim berjudul Luka, Mira memberitahu, lagu tersebut mengisahkan perasaan seorang wanita yang cuba mengenali seorang lelaki yang sudah memiliki kekasih.

“Single ini memaparkan muzik yang boleh dikatakan agak berat namun ia masih sesuai dengan konsep diketengahkan Velvet dan paling penting ianya juga mampu memenuhi selera pendengar.

“Alhamdulillah, sekarang single ini sudah pun mula dimainkan di corong-corong radio tempatan dan rata-rata respons yang kami terima amat baik. Kami harap masyarakat akan terus menerima kemunculan kami selepas ini,” katanya.