JJCM kembali lagi
Episode 14, Qi bersama artis jemputan Nelydia Senrose
PROGRAM berkonsepkan santai dan penuh dengan informasi mengenai lokasi menarik untuk menjamu selera di seluruh negara, Jalan-Jalan Cari Makan (JJCM) kini memasuki musim kedua dan mula bersiaran pada 7 April lalu.

Lebih menarik, JJCM musim baru menampilkan kembali hos sebelum ini iaitu Qi Razali, di samping pengisian beberapa slot baru menerusi segmen Siapa Punya, Siapa Itu? Singgah dan Lain Macam.

Penerbit Eksekutif program, Che Rozaini Ahmad berkata, selama tempoh 14 tahun bersiaran menemui penonton setia TV3 jelas membuktikan penerimaan baik di kalangan penonton terhadap program JJCM yang tips berguna kepada penonton.

Selain itu, pemilihan hos baru turut menjadi tarikan kali ini kerana JJCM membawa semula khidmat Qi Razali bagi memberi variasi dan kelainan kepada penampilan musim baru kali ini.

"Gelagat Qi yang bersahaja dalam menunjukkan bakat memasak di dapur pasti menarik perhatian penonton untuk mencuba pelbagai resipi istimewa setiap restoran dikunjungi. Qi yang sememangnya kaki makan dan ia pasti membangkitkan selera setiap mata yang menonton," katanya.

Perkenal segmen baru

Dalam masa sama, JJCM musim terbaru turut menyelitkan destinasi selera seperti warung dan gerai menerusi segmen ketiga, Singgah. Kata Che Rozaini, perkara menarik mengenai segmen tersebut kerana pihak produksi JJCM akan mengunjungi warung dan gerai yang jarang diketahui ramai.

Selain itu, dalam terakhir, Lain Macam pula JJCM akan memaparkan kedai makanan yang unik yang lain daripada kebiasaan seperti konsep dan dekorasi restoran serta makanan.

"Antara segmen yang menjadi tumpuan penonton ialah segmen Siapa Punya? yang memberi peluang kepada peminat rancangan JJCM untuk mencadangkan tempat-tempat makan yang menarik menerusi laman sosial rasmi Facebook JJCM.

"Kami juga masih mengekalkan segmen bersama artis dan personaliti jemputan iaitu segmen Siapa Itu? untuk menemani Qi Razali menikmati juadah yang lazat dan memeriahkan JJCM ini.

"Penonton boleh saksikan gelagat artis atau selebriti popular yang akan memeriahkan program JJCM musim ini seperti Nelydia Senrose, Ila Damia, Suki, Monoloque, Yana Samsudin, Taiyuddin Bakar, Adira, Shuib Sepahtu dan ramai lagi," katanya.

Selain menonton di kaca televisyen pada setiap Ahad, jam 12 tengah hari, penonton juga boleh melayari laman Facebook iaitu Jalan Jalan Cari Makan dan ‘keek’ video JJCMTV3 atau melalui laman sesawang Tonton di www.tonton.com.my.