Friday, September 16, 2011

Wan Sharmila Mahu Buka Pusat Jagaan Kanak-Kanak

Wan Sharmila

KUALA LUMPUR: Pelakon Wan Sharmila, 29, berhasrat membuka pusat penjagaan kanak-kanak kerana perasaan cintanya kepada golongan itu.

Dia bagaimanapun tidak mahu terburu-buru mengejar impiannya itu kerana banyak perkara lain [perlu diberi perhatian sebelum mengambil keputusan membuka pusat berkenaan.

"Antara impian saya dalam hidup adalah untuk mempunyai sebuah pusat jagaan kanak-kanak kerana saya suka kepada kanak-kanak tetapi banyak perkara perlu diberi perhatian seperti mengambil kursus dan sebagainya," katanya.

Wan Sharmila yang baru sahaja muncul dengan filem pertamanya, "Raja Tak Jadi" memberitahu, selain minat kepada kanak-kanak, perancangan untuk membuka pusat itu juga adalah sebagai persediaan pada masa hadapan.

"Kerjaya sebagai pelakon tidak menentu dan itu adalah sebagai persediaan untuk masa hadapan saya dan lebih baik kita buat perniagaan yang kita minat," ujarnya.

Dalam pada itu, Wan Sharmila memberitahu dia kini selesa menguruskan kerjaya seninya sendiri tanpa bantuan pembantu peribadi.

"Sebelum ini saya ada pembantu peribadi tetapi saya agak tidak selesa kerana perkara ang boleh saya uruskan terpaksa mengharapkan bantuan orang lain.

"Sekurang-kurangnya jika saya lakukan sendiri saya menjadi lebih bertanggungjawab tanpa menyusahkan orang lain," katanya.

Sementara itu, menyentuh mengenai kehadiran lelaki di dalam hidupnya, Wan Sharmila memberitahu ketika ini dia lebih selesa bersendirian dan ingin menumpukan kepada kerjaya lakonannya.

Katanya, ekoran pengalaman dalam kemusnahan rumah tangga dua tahun lalu, dia menjadi lebih berhati-hati dalam memilih pasangan.

"Buat masa ini saya berkawan dengan ramai orang tapi masih belum ada yang istimewa kerana saya lebih selesa bersendirian dan ingin menumpukan kepada kerjaya lakonan," katanya.

Bakal muncul dengan filem “Syaitan Nirrajim” yang baru selesai penggambaran bersama pelakon Nabila Huda dan Fizz Fairuz, dia kini turut sibuk menjalani penggambaran drama sitkom “Naik Lif, Turun Tangga” sebanyak 13 episod untuk siaran TV3.

"Alhamdulilah selepas 'Raja Tak Jadi', saya mendapat peluang berlakon di dalam filem kedua, 'Syaitan Nirrajim' dan rezeki semakin baik dalam bidang lakonan. Fokus saya pada kerjaya buat masa ini," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: