Sunday, September 18, 2011

Travelog AirAsia keliling dunia


Edd Radze (kiri), Zulfazli dan Datuk Farid Ridzuan ketika berada di London.


SELAMA ini wajahnya hanya berada di belakang tabir tetapi kali ini wajah Edd Radze akan menemui penonton melalui rancangan Trevelog AirAsia yang akan mula bersiaran pada awal November ini di saluran TV3.

Bukan satu ada dua destinasi tetapi Edd Radze akan terbang ke 26 destinasi terbaik di seluruh dunia melalui rancangan ini yang juga merupakan rancangan pertama yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan terbaik dunia itu.

“Kalau diikutkan memang saya pernah mengendalikan beberapa segmen di Majalah 3 bersama Nurul Syuhada sebelum ini. Itu hanya slot kami bersama rancangan popular tersebut.

“Melalui rancangan ini, saya akan mengendalikan sepenuhnya aktiviti santai yang berkisah perjalanan ke pelbagai destinasi serata dunia bersama artis-artis popular tanah air.

“Kita tidak sekadar menyasarkan untuk mempopularkan destinasi semata-mata tetapi dalam masa yang sama mahu para tetamu AirAsia mendapatkan maklumat yang lengkap bila mahu berkunjung ke mana sahaja.

“Segala-gala ada di sini. Tetamu boleh melihat apa yang kami sediakan termasuklah bagaimana nak daftar masuk, apa yang ditawarkan oleh penerbangan kami, pemilihan hotel dan destinasi-destinasi menarik yang patut dikunjungi,” jelas Pembantu Khas kepada Pengerusi dan Timbalan Ketua Pegawai Esekutif Kumpulan AirAsia ini lagi.

Pelbagai informasi lain turut akan diberikan kepada penonton termasuklah perkhidmatan yang ditawarkan oleh AirAsia dan AirAsia X. Produk-produk yang akan diketengahkan termasuklah Tune Talk, Tune Hotel, AirAsia Go dan sebagainya.

Pada 26 September ini, Edd Radzhe akan berkunjung ke kota cinta Paris bersama Maya Karin dan beberapa orang yang lain untuk memulakan siri jelajah dunianya.

Selepas itu jelajah akan mengembara ke destinasi Asia seperti Manila, Filipina, Bandung, Indonesia, Guangzhou, China dan Vietnam sebaik sahaja pulang dari Paris.

Tidak terhenti setakat itu, pelbagai destinasi lain yang sudah disahkan termasuklah London, Australia, Korea Selatan, New Zeland, Jepun dan beberapa tempat lagi menunggu masa untuk dijelajahi.

Beberapa artis popular tanah air sudah mengesahkan tempat untuk bersama dengan program Travelog AirAsia termasuklah Fara Fauzana, Ella, Fauziah Latif, Intan Ladyana, Nora Danish, Juliana Evens, Daphene Iking dan ramai lagi.

“Memang ramai yang memberikan maklum balas positif pada program yang akan saya kendalikan ini. Ada yang teruja dan tak sabar-sabar lagi nak melihat ia ditayangkan di kaca tv.

“Ramai juga artis-artis tempatan yang mahu turut serta. Cuma saya cukup berbesar hati apabila Datuk Pahamin Rejab dan Datuk Aziz Bakar sudi untuk turut serta dalam destinasi akan datang,” kata Edd Radze yang menggunakan khidmat jurusolek Zulfazli Suhadi dalam kesemua episod.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: