Monday, September 5, 2011

Tradisi memberi duit raya


SAMA ada di kediaman sendiri, rumah yang dilawati ataupun dalam majlis anjuran badan-badan korporat, kanak-kanak semestinya menjadi golongan yang paling gembira kerana mendapat duit raya daripada tuan rumah. - Gambar hiasan


KANAK-KANAK yang berkunjung ke rumah sanak saudara, rakan dan rumah terbuka tentu seronok bila menerima duit raya yang dihulurkan oleh tuan rumah.

Ada yang bersampul dan ada yang diberi begitu saja, sama ada duit syiling atau kepingan duit kertas baharu.

Bermacam-macam rupa dan warna sampul duit raya yang dikeluarkan sejak ia diamalkan masyarakat negara ini. Ada yang diberi percuma oleh bank, institusi perniagaan, hipermarket dan badan korporat malah turut dijual di kedai alat tulis.

“Saya hanya memberikan duit raya kepada mereka yang berumur 15 tahun ke bawah. Amaunnya sama saja baik anak kawan maupun anak saudara,” kata Muhammad Nazri dari Sarawak.

Nazri menganggap pemberian duit raya itu terbit daripada rasa keikhlasan.

“Kita bagi bersesuaian dengan keadaan ekonomi semasa. Bukan untuk menunjuk-nunjuk,” jawabnya bila ditanya tentang bajet duit raya.

Sabariah Abdul Rashid, yang berasal dari Kedah pula lebih cenderung memberi duit raya mengikut keakraban hubungan.

“Kalau keluarga, bajet kita lebih sikit tapi kalau anak-anak muda yang datang tanpa dikenali, kita tetap terima mereka. Mungkin amaun duit raya buat mereka tak sebanyak yang diberikan kepada anak-anak buah sendiri.


PELBAGAI sampul duit raya kini dijual, termasuk yang kelihatan seperti wang kertas betul. - Gambar hiasan


“Saya berpegang kepada prinsip anak-anak buah yang belum bekerja juga masih di bawah tanggungan ibu bapa dan saudara. Jadi tak salah kalau kita bagi mereka duit raya,” kata Sabariah.

Bukan soal umur

Beberapa orang pelajar di institut pengajian tinggi turut ditanya pandangan mereka mengenai duit raya. Adakah mereka masih mengharapkan diberi duit raya?

Nur Farah Syakila Jasmy menjawab: “Umur bukanlah faktor utama. Lebih bergantung kepada si pemberi atau tuan rumah yang kita ziarahi.”

Remaja berusia 18 tahun itu masih berharap dirinya akan ‘dipertimbangkan’ untuk diberi duit raya lagi pada tahun ini. Ini kali pertama Nur Farah berjauhan daripada keluarga dan belajar hidup sendiri di asrama universiti.

Teman sekuliahnya, Azhif Ezzudin bersetuju dengan pandangan Nur Farah.

“Kenangan saya yang termanis ialah ketika jumlah pengumpulan duit raya saya mencecah lebih RM1,000. Tetapi ada juga yang menyedihkan, iaitu bila duit raya zaman kecil dulu, emak gunakan untuk membayar bil,” ujar Azhif berjenaka.

Ada juga yang berpendapat, selagi mereka belum berkahwin, mereka boleh diberi duit raya.

Rosli Johnny, 64, berkata, amalan memberi duit raya di dalam sampul duit dipengaruhi oleh budaya pemberian Hong Pao atau dikenali sebagai angpau masyarakat Cina semasa menyambut Tahun Baru Cina.

“Seingat saya, amalan sebegini diambil daripada tradisi warga Cina sempena tahun baru mereka. Biasanya untuk orang Islam, ia lebih kepada suatu sedekah,” kata Rosli.

Nuraina Suryani Ruslan pula berpandangan bahawa duit raya sesuai diberikan kepada mereka yang belum bekerja, dan sudah pasti dia seronok jika masih diberi duit raya walaupun jumlahnya kecil.

“Saya setuju jika kesederhanaan dijadikan panduan. Ia juga bergantung kepada ekonomi tuan rumah,” katanya.

Usah menunjuk


DUIT raya yang diterima perlulah ditabung atau dibelanjakan untuk sesuatu yang berfaedah. - Gambar hiasan


Menurut Pengerusi Majlis Penasihat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Tunku Azwil Tunku Abdul Razak, duit raya boleh disamakan dengan sedekah atau sumbangan kepada yang memerlukan.

“Janganlah kita memberikan duit raya itu semata-mata untuk menunjuk. Duit raya yang diberikan juga perlu berpatutan dengan kemampuan orang yang memberi,” katanya.

Tunku Azwil berkata orang yang hendak memberikan duit raya mestilah tidak rasa tertekan dengan tanggungjawab sosial dan persekitaran.

Kalau diikutkan tuntutan agama Islam, ia tidak lebih daripada satu sedekah yang sepatutnya diberikan pada bila-bila masa.

Beliau menasihatkan mereka yang menerima duit raya supaya membelanjakannya dengan baik atau menabung, daripada membazir membeli sesuatu yang tidak berfaedah.

Seorang pegawai cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) berkata, ramai yang telah datang dan sanggup beratur menukar wang baharu di kaunter bank itu untuk dijadikan duit raya.

“Mereka berbuat demikian sejak 22 Ogos lalu,” katanya.

Biasanya ia berterusan untuk beberapa hari sehingga stok duit baharu habis.

Seorang pegawai di Bank Al-Rajhi, cawangan Subang Jaya berkata, banyak bank yang menyediakan kemudahan kaunter tukaran duit baharu kerana menjangkakan ramai yang akan datang terutama dalam seminggu terakhir menjelang hari raya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: