Friday, September 9, 2011

‘Tentera sabun’ main sorok-sorok

WARGA asing menjadikan tempat letak kereta di Seksyen 18, di Shah Alam, sebagai lubuk mencari rezeki dengan mengambil upah mencuci kenderaan.
WARGA asing menjadikan tempat letak kereta di Seksyen 18, di Shah Alam, sebagai lubuk mencari rezeki dengan mengambil upah mencuci kenderaan.
Warga asing sedia khidmat cuci kereta tanpa lesen mengelak ditahan MBSA

SHAH ALAM: Sekumpulan enam warga asing dari Chennai, India, mempertaruhkan nasib datang ke negara ini sejak setahun lalu dengan menjadikan tempat letak kereta di Seksyen 18, di sini sebagai lubuk mencari rezeki dengan mengambil upah mencuci kenderaan di kawasan berkenaan.

Dikenali sebagai 'tentera sabun' di kalangan penduduk tempatan, kesemua warga asing itu mengenakan bayaran RM5 bagi upah mencuci bahagian luaran kenderaan dan menjadikannya sebagai pekerjaan tetap mereka walaupun mengakui terpaksa bermain 'sorok dan sembunyi' setiap kali didatangi penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Tinjauan Sentral ke lokasi mereka bertugas sejak beberapa hari lalu mendapati, kesemuanya mendakwa enggan bekerja di kilang seperti warga asing lain kerana kerja mencuci kenderaan itu mampu memberikan pendapatan lebih RM150 sehari berdasarkan purata 30 kenderaan yang mampu dicuci.
Seorang daripada mereka yang hanya dikenali Prakash, berkata sejak menjalankan operasi di kawasan letak kereta di situ, mereka turut mendapat 'kontrak' mencuci harian di kalangan pemilik kenderaan yang bertugas di beberapa pejabat dan kedai di kawasan berkenaan.

"Selain pelanggan harian, kami juga mendapat upah mencuci kereta secara kontrak di kalangan pemilik kenderaan yang bekerja di kawasan ini. Cuma kami selalu berhati-hati dan terpaksa lari jika penguat kuasa (MBSA) datang membuat pemeriksaan," katanya yang fasih berbahasa Malaysia.

Prakash, dipercayai mengetuai kumpulan enam lelaki itu mendakwa mereka kini tinggal menyewa di sebuah flet milik penduduk tempatan di Seksyen 19, kira-kira satu kilometer dari tempat mereka mencari rezeki dengan bayaran sewa sebanyak RM650 sebulan.

"Kami datang bekerja menaiki basikal dan mesti sampai di sini sebelum jam 9 pagi. Kami mesti sampai awal di sini sebab kebiasaannya pada awal pagi penguat kuasa belum datang membuat pemeriksaan," katanya.
Sementara itu, ketika ditanya bekalan air yang digunakan untuk mencuci kenderaan, dia mendakwa mendapat kemudahan itu daripada pili air milik sebuah kedai berdekatan dengan dikenakan bayaran tertentu dan tidak berdepan masalah menggunakannya sejak setahun lalu.

"Air untuk mencuci kereta kami sewa dari sebuah kedai tapi sabun dan pengilat tayar kami dapat daripada pembekal yang datang. Dalam sebulan kami menggunakan sekurang-kurangnya enam liter sabun dengan harga RM200 termasuk pengilat tayar," katanya.

Tentera sabun seramai enam orang itu bukan asing di kalangan penduduk tempatan dan pemilik kenderaan di kawasan letak kereta berdekatan sebuah pasar raya besar itu kerana sering menawarkan perkhidmatan kepada setiap pemilik kenderaan tanpa malu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: