KUALA LUMPUR: Pelakon Tasha Shila tidak sangka dia telah membeli sebanyak enam pasang baju Hari Raya untuk dirinya, berbanding dengan tahun lepas, hanya sepasang sahaja.
Menurut Tasha, baju Hari Raya yang dibelinya itu adalah sebagai hadiah buat dirinya sendiri yang bekerja keras mengukuhkan nama dalam karier lakonan tempatan.
"Sebenarnya saya main beli ikut suka sahaja. Alhamdulillah, rezeki lakonan saya tahun ini bertambah sedikit demi sedikit lebih-lebih lagi selepas berlakon dalam drama Gemilang, arahan Khabir Bahtia.
"Selain itu, memandangkan ada duit lebih, saya turut membelikan baju raya buat dua orang adik tersayang," ujarnya yang menyambut hari lebaran dengan secara sederhana.
Tasha yang menyambut Aidilfitri di Batu Pahat, Johor itu berkongsi cerita mengenai gelagat saudara-maranya yang tidak sabar ingin berjumpa dengannya semata-mata untuk bergambar bersama.
"Entahlah, apabila kerap sangat wajah terpampang di televisyen, saudara-mara saya beritahu saya mesti wajib balik kerana ingin bergambar dengan saya.
"Mereka ingin melihat perubahan saya selepas bergelar pelakon. Kelakar pula rasanya, tetapi saya tak kisah pun," katanya.
Tambah Shila, memandangkan ramai ahli keluarganya yang akan ke Batu Pahat, dia risau jika duit raya yang disediakan tidak mencukupi.
Walau bagaimanapun, kata Tasha, dia berbelanja lebih sedikit berbanding tahun-tahun sebelumnya dan jika berkesempatan, dia ingin membuat rumah terbuka di kampungnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: