PETALING JAYA: Bagaikan mendapat penghargaan, begitulah perasaan yang diluahkan oleh pelakon Syazwan Zulkifly, 24, (gambar) apabila ramai penonton mengatakan lakonannya seperti jelmaan Benjy.
Dia yang pernah menyukai lakonan pelakon itu suatu ketika dahulu akui masih jauh untuk disamakan dengan pelakon hebat yang pernah mendapat anugerah Pelakon Lelaki Terbaik (Telefilem) di Anugerah Skrin TV3 itu.
“Ramai juga orang menyamakan lakonan saya dengan Benjy tetapi saya tidak pasti bahagian mana yang sama.
“Saya tidak kisah dengan apa pun kata mereka dan menerima dengan hati terbuka. Rasa seperti mendapat penghargaan. Mungkin mereka hanya menyamakan saya dengan Benjy kerana menonton lakonan saya dalam drama Juvana,” ujarnya kepada mStar Online.
Di sebalik lakonan yang diceburinya beberapa tahun lalu, mungkin ada yang tidak tahu dia merupakan bekas pemain bola sepak remaja Malaysia.
Malah, dia yang pernah bermain pelbagai posisi merupakan pernah beraksi bersama pasangan kembar Zaquan Adha dan Aidil Zafuan pada usia 14 tahun.
Berbalik kepada karier seninya, Syazwan berkata dia mungkin akan kembali ke bidang sukan tersebut sekiranya tidak bergelar seorang pelakon atau menyambung pengajiannya ke menara gading.
Bagaimanapun, minat dalam bidang seni lebih mendalam dan menebal dalam diri sehingga menyebabkan dia tidak pernah menyerah kalah untuk bekerja dalam industri yang penuh cabaran ini.
“Pada mulanya saya sekadar suka-suka memasuki bidang lakonan apabila kawan ajak jadi pelakon tambahan. Tetapi bukan senang nak dapat kepercayaan ibu bapa saya kerana waktu itu saya masih belajar.
“Namun selepas mereka nampak saya serius, baru mereka beri sokongan. Apabila saya sudah mencuba dan dapat duit poket untuk berbelanja, rasa seronok untuk berlakon lagi. Lama-kelamaan timbul perasaan minat untuk berlakon sebab saya memang suka kerja pada masa lapang seperti ini,” ujarnya yang berasal dari Kuala Lumpur.
Tambahnya: “Saya rasa tak timbul soal terjamin atau tidak apabila menceburi kerjaya ini kerana saya lihat ada ramai juga artis Malaysia yang berjaya dalam bidang ini.
“Yang penting kita semua perlu bekerja keras dan sabar. Jika tidak berlakon lagi, mungkin saya akan menceburi bidang pengarahan dan membuka syarikat produksi sendiri kerana saya tidak memandang industri ini pada satu sudut sahaja.”
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: