Wednesday, September 14, 2011

SMK Pulau Gaya bina replika Jalur Gemilang daripada beras


Pelajar SMK Pulau Gaya bersama replika Jalur Gemilang daripada beras di pekarangan sekolah itu di Kota Kinabalu, semalam.


KOTA KINABALU 13 Sept. - Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Gaya (SMKPG) mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi sekolah pertama yang menghasilkan Jalur Gemilang terbesar daripada 200 kilogram beras.

Projek bendera yang dijayakan oleh Kelab Seni sekolah itu berukuran 11.1 x 5 meter panjang dipamerkan di ruang dewan sekolah berkenaan sehingga 19 September ini.

Pengetua SMK Pulau Gaya, Che Rose Bakar berkata, projek replika bendera itu merupakan sebahagian daripada acara sambutan kemerdekaan ke-54 yang diadakan oleh sekolah tersebut.

"Hari Kemerdekaan bukan sahaja dirai di peringkat SMKPG ini tetapi juga seluruh negara. Namun, kami sangat berbangga kerana dapat menghasilkan replika Jalur Gemilang daripada beras berwarna.

''Bagi kami, projek ini dapat menyuntik semangat patriotik dan cintakan negara di kalangan warga sekolah ini khususnya para pelajar," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena majlis pelancaran Program Bulan Kemerdekaan di SMKPG yang dirasmikan oleh Pengarah Penerangan Sabah, Almain Ajirul.

Hadir sama Pengurus Kanan Bernas Corporation Sdn. Bhd. (Bernas) Sabah, Faridah Abu Bakar Titingan dan warga pendidik SMKPG.

Che Rose berkata, beras yang digunakan untuk membuat replika Jalur Gemilang itu disumbangkan oleh Bernas Sabah.

Katanya, proses membuat replika itu mengambil masa seminggu untuk disiapkan menggunakan pewarna makanan dan melibatkan seramai 21 pelajar yang terdiri daripada ahli Kelab Seni SMKPG.

Dalam pada itu, Che Rose menjelaskan bahawa penggunaan beras itu bukan pembaziran kerana ia akan dicuci semula dan diagih-agihkan kepada warga sekolah itu.

Malah, katanya, beras berkenaan diletakkan di papan lapis khas yang bersih yang menempatkan replika itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: