Wednesday, September 14, 2011

Serina nafi cerita tak benar

KECOH...pasangan ini sempat mengusik Serina yang sedang makan.
KECOH...pasangan ini sempat mengusik Serina yang sedang makan.

SEMAKIN hari semakin sayang, begitulah ibaratnya hubungan cinta antara pelakon Ana Dahlia dan anak bujang Datuk Chef Wan, Mohd Nadzri Redzuawan atau lebih mesra dengan panggilan Chef Riz yang mula berputik sejak enam bulan lalu.

Tampil mendedahkan kisah cinta mereka kepada umum ketika rakaman Melodi Raya di Pusat Dagangan Dunia Putera (PWTC) pada Ramadan lalu, pasangan ini sekali lagi muncul berdua pada Majlis Rumah Terbuka On The Table Restaurant Sdn Bhd dan syarikat Culinary Brilliance Sdn Bhd milik Chef Riz dan rakan kongsinya, Farhan Shafee, Sabtu lalu.

  • Foto

    BERI SOKONGAN...pelakon baru, Anzalna Nasir, Serina dan Ryzal Jaafar sempat bergambar sama.

  • Foto

    MERIAH...walaupun sibuk melayan tetamu, pasangan ini tidak melepaskan peluang melayan rakan artis yang hadir.

  • Foto

    SEPADAN...Riz dan Ana menafikan hubungan percintaan mereka tidak direstui keluarga.

Bertempat di kawasan eksklusif Solaris Dutamas, Kuala Lumpur, majlis ini dihadiri ramai tetamu antaranya rakan niaga, pelanggan korporat dan saudara-mara termasuk ibu dan adiknya, Serina.

Turut hadir, rakan artis seperti Amran Ismail, Ikhwan Hot FM, Amanda Misbun, Zoey, Shera Aiyob, Intan Nor Saina dan Mas Muharni.


Pasangan ini tidak menang tangan melayan tetamu yang mengajak mereka berbual.

Menghampiri tengah malam barulah tetamu mula beransur pulang.

Ana atau nama sebenar, Diyana Mastura Jaafar, 28, mengakui dia kini bertindak sebagai pengurus peribadi Chef Riz. Katanya, bukan berniat untuk sengaja campur tangan, sebaliknya langkah ini diambil kerana Riz begitu sibuk dengan karier sehingga tiada masa untuk melayan pihak yang ingin berurusan dengannya.

“Saya akan bantu dia setakat yang termampu. Riz sibuk tapi pada masa sama, dia kena jaga kariernya sebagai hos TV. Rasanya saya perlu ada di belakangnya bagi mengatasi masalah ini. Selain itu, saya juga tahu mengenai kontrak dan pengurusan jadual. Jadi sedikit sebanyak saya boleh buat yang terbaik untuk Riz.

“Pada saya, kerja ini tidak pula satu masalah besar buat kerjaya saya sebagai pelakon. Dulu ketika bekerja sebagai pramugari, saya juga bekerja sambilan sebagai ‘baby sitter’ untuk cari pendapatan lebih. Selepas itu, barulah saya membabitkan diri dalam lakonan.

“Sudah enam bulan saya uruskan Riz dan alhamdulillah setakat ini semuanya berjalan lancar,” kata bintang Mantra ini membuka cerita.

Mengenai khabar angin mengatakan hubungan mereka sebelum ini dikatakan tidak direstui keluarga, Serina yang berada tidak jauh dari situ sempat berjenaka sambil mengatakan siapa kata hubungan mereka tidak direstui Chef Wan.

“Pandai-pandai saja buat cerita. Saya tahu semuanya dan nafikan perkara itu,” katanya sebelum meminta diri untuk pulang bersama si comel, Tristan Tareef yang menginjak usia setahun pada 13 September ini.

Kata Ana, dia bersyukur kerana mengenali Riz serta keluarganya dan mengatakan semuanya berjalan lancar. Bahkan Riz juga sudah bertemu ibu bapa dan keluarganya ketika hari raya lalu, sekali gus membayangkan kesungguhan jejaka berusia 29 tahun ini untuk menyuntingnya sebagai isteri.

“Kalau ikutkan, kami semua termasuk ayah Riz sibuk tetapi kami sentiasa kemas kini perkembangan semasa menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS). Riz bertandang ke rumah keluarga saya di Taiping pada hari raya kedua dan keluarga saya sangat menyenanginya.

“Berkenaan gosip itu, saya sangat terkejut bagaimana cerita itu boleh timbul, sedangkan cerita sebenarnya lain,” kata Ana.

Riz yang berada di sisi Ana sempat menyampuk apabila mengatakan kemungkinan berlakunya salah faham dari sudut penulisan sehingga bapanya terkejut dan menghantar SMS mengandungi kata-kata nasihat seolah-olah menampakkan tidak merestui hubungan mereka.

“Kami sebenarnya tidak baca artikel berkenaan dan ayah menasihatkan saya begitu. Dia mungkin terkejut apabila saya dikatakan melamar Ana sedangkan maksud saya sebenarnya lain. Sebelum ini ketika saya bawa Ana jumpa ayah ketika awal perkenalan, dia memang tiada masalah.

“Cuma dia nasihatkan saya kenal Ana dengan mendalam terlebih dulu sebelum buat apa-apa keputusan kerana kami baru kenal sebulan ketika itu. Dia suruh bersabar dulu sebelum buat apa-apa keputusan. Jadi, mungkin setengah orang salah anggap kenyataan yang dikeluarkan itu,” katanya.

Hujah Riz diperkuatkan lagi dengan kenyataan Ana yang sempat bertemu Chef Wan yang pulang ke Malaysia seminggu sebelum hari raya. Bahkan, dia turut menunjukkan mesej SMS perbualan antaranya dengan tokoh popular itu kepada media sebagai bukti keakraban mereka sebaik Chef Wan kembali ke New Zealand.

“Saya dah beberapa kali jumpa Chef Wan dan dia sangat baik. Saya memang menjaga hati Chef dan ibu Riz kerana orang kata kalau nak kahwin, kita kena kenal semua. Apabila bercakap mengenai ibu bapa Riz, saya memang takut kerana bimbang tidak disenangi mereka. Namun apabila bertemu dan kenal, saya dapati mereka sangat baik.

“Saya juga menafikan sukakan Riz kerana kedudukannya sebagai anak Chef Wan. Kalau diikutkan, orang tak kenal sangat dia berbanding ayahnya. Serina adalah penyebab kerana menemukan kami berdua untuk makan-makan.

“Mulanya saya memang tak sukakan dia. Ketika makan, saya tengok Riz sangat selamba dan dari situ, saya jatuh hati dengannya tanpa fikir siapa ayahnya.

“Dia memang anak Chef Wan tapi sebenarnya Chef Wan suruh dia berdikari tanpa mengharapkan bantuannya semata-mata. Saya pula nak Riz kenal keluarga sepenuhnya sebelum pilih saya. Itulah sebabnya saya bawa dia balik kampung untuk tengok keadaan sebenar keluarga kami. Apabila tengok sendiri, barulah buat keputusan untuk terima saya.

“Kalau saya nak cari suami kaya raya, masa bekerja sebagai pramugari dulu lagi saya dah boleh buat begitu kerana ramai yang cuba nak pikat. Saya hanya cari lelaki yang ikhlas sayangkan saya serta kerja yang berpada-pada kerana takkanlah saya nak makan pasir apabila pilih berkahwin dengannya. Itu sudah cukup buat saya,” katanya yang kini berlakon drama 13 episod Metro Skuad terbitan Skop Production Sdn Bhd.

Sebagai anak kedua daripada enam beradik serta anak perempuan tunggal, Ana mengakui sangat rapat dengan ayahnya dan setiap perkara yang dibuat perlu mendapat persetujuan beliau. Akuinya, dia sentiasa berdebar-debar setiap kali membaca gosip mengenainya kerana bimbang keluarganya terluka.

“Saya boleh hadapi lagi semuanya, tapi takut keluarga terutama ayah akan terluka kerana dia tak sihat. Sejak dulu lagi, ayah sebenarnya tak suka lelaki datang ke rumah. Tapi apabila saya jelaskan hubungan dengan Riz adalah serius, baru dia okey. Saya juga nafi berselindung apa-apa dengan Riz kerana apa saja yang jadi, dia dan keluarganya tahu.

“Saya juga tak pernah rahsiakan apa-apa dengan Riz. Memandangkan umur saya sudah 28 tahun, ayah kata perkara yang baik eloklah dipercepatkan tapi kami perlu mendapatkan persetujuan daripada Chef Wan terlebih dulu. Untuk mendapatkan dia perlu makan masa kerana jadualnya sangat padat.

“Kalau ikutkan, saya tak kisah jika majlis perkahwinan diadakan secara sederhana tapi Chef Wan nak buat sesempurna mungkin untuk perkahwinan Riz. Apa yang boleh saya katakan, kami tak terburu-buru untuk ke arah ini tapi Insya-Allah tahun depan kami akan berkahwin dan akan mencuba seawal mungkin,” ceritanya yang mengakui turut diduga dengan panggilan daripada wanita yang mengakui kekasih Riz.



PROFIL:


NAMA PENUH: Diyana Mastura Jaafar
PANGGILAN: Ana Dahlia
TARIKH LAHIR: 21 Jun 1983
USIA: 28 Tahun
KELUARGA: Anak kedua daripada enam beradik
BERAT: 47 Kilogram
TINGGI: 160 Sentimeter
ZODIAK: Gemini
ASAL: Taiping, Perak
PENDIDIKAN: SPM
PENCAPAIAN: Peserta program realiti, Pilih Kasih musim pertama (2009)
KERJAYA AWAL: Pramugari AirAsia (2005 hingga 2009)

DRAMA: Bonda, Delima, Loga Maya, Hati Lia, Salam Terakhir, Hadi, Orang Luar, Arjuna, 3 Serumah, Pulangnya Karina dan Metro Skuad

FILEM: Mantra

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: