Friday, September 2, 2011

Semangat si comel

pix_gal0
Bintang Geng Mengaji bosan kalau tak berlakon

WAJAH comel dan kepetahannya membuatkan sesiapa saja yang berjumpanya akan mudah jatuh hati. Nor Heidzriq Haikal, 6 tahun, atau nama komersilnya, Raikal, ialah antara pelakon cilik yang sedang meningkat popular. Biarpun popularitinya belum sehebat Mia Sara, namun tidak mustahil satu hari nanti kanak-kanak ini juga akan mengikut jejak bintang cilik perempuan itu.

Anak sulung daripada dua beradik ini memulakan langkah sebagai pelakon dengan membintangi telefilem Taubat Nasuha terbitan JS Pictures, milik aktres Sheila Rusly, pada usia tiga tahun. Wajahnya semakin dikenali dan menjadi pilihan penerbit sejak membintangi drama bersiri Begitukah Cinta yang menghiasi slot Akasia.
Sejak kemunculannya dalam drama bersiri yang turut dibintangi Ainul Aishah dan Nazim Othman itu, Raikal mula menjadi perhatian penerbit drama sehingga bapanya Nor Harmizan atau Raihan yang juga seorang pekerja belakang tabir tidak menang tangan menyusun jadual anak sulungnya.
Raikal mendapat tawaran berlakon selepas sering mengikut ibunya, Norhayati Abdul Ghafar, yang banyak terbabit sebagai pelakon tambahan ke lokasi. Kekerapan mengikut ibunya menyebabkan ada pengarah yang mula menunjukkan minat untuk mengambilnya pelakon. Ternyata pilihan mereka tidak silap apabila si kecil itu ternyata berbakat.

Malah menurut ibunya yang mahu dikenali sebagai Nora, Raikal tidak pernah bersungut walaupun penggambaran berlanjutan hingga jauh malam. Dia sendiri pelik apabila si cilik itu sentiasa bersemangat tidak mengira waktu.

Biarpun usianya masih begitu muda, anak kecil ini nyata tidak reti duduk diam. Apabila tidak terbabit dengan sebarang penggambaran, bintang drama bersiri Geng Mengaji ini akan bertanya pada ibunya, bilakah dia akan kembali ke lokasi penggambaran.

“Saya sendiri terkejut melihat semangat Raikal di lokasi. Walaupun penggambaran berlarutan hingga jauh malam, dia tidak pernah menunjukkan tanda penat. Saya tidak tahu di mana dia mendapat kekuatan.
“Kalau tiada sebarang penggambaran, mulalah dia sibuk bertanya bila hendak kembali semula ke set kerana dia bosan duduk di rumah. Sejak Begitukah Cinta, tawaran yang datang pada Raikal memang banyak. Kadang kala saya sendiri terkejut, bagaimana mereka boleh dapat nombor telefon kami.

“Setakat ini Raikal tidak menghadapi kesukaran menghafal skrip. Biasanya saya atau bapanya akan bacakan, selepas itu dia akan dengar dan cuba hafal. Di lokasi, kami akan pastikan dia berlatih sekali lagi untuk menguji ketajaman ingatannya. Sebelum adiknya lahir, saya yang sering menemani Raikal ke lokasi.
Tetapi sekarang ini, sama ada bapanya atau teman kami yang akan menemani apabila dia berlakon.

“Biasanya, jika bukan kami yang menemani, sikap Raikal akan berbeza sedikit. Mungkin dia lebih selesa dengan ibu bapanya, tetapi kami tiada pilihan kerana saya perlu menjaga anak manakala bapanya yang bertugas sebagai pereka set kini sangat sibuk. Jadi hendak tak nak kami terpaksa meminta pertolongan rakan.
Selalunya bila tiba di set, Raikal agak nakal sedikit. Dia suka main-main tetapi sebaik penggambaran dimulakan, dia akan fokus pada lakonannya,” kata Nora.

Akibat tawaran lakonan yang kian mencurah, Raikal terpaksa berhenti daripada menghadiri kelas prasekolah bagi memberikan tumpuan kepada kerjaya lakonan.
Bagaimanapun jelas Nora, sebaik anaknya itu melangkah ke darjah satu tahun depan, dia akan memastikan pengajian Raikal didahulukan dan hanya akan menerima tawaran berlakon pada hujung minggu atau cuti sekolah.

Sejak banyak menghiasi kaca televisyen, Raikal kini semakin menjadi perhatian ke mana saja dia pergi. Si cilik itu, dalam perbualan telefon kami, beberapa hari lalu memberitahu, dia tidak kisah menjadi tumpuan ramai tetapi kurang selesa apabila ada yang mahu mengambil gambar bersamanya.

“Raikal seronok berlakon, bukan sebab dapat jumpa artis tetapi sebab dapat jumpa ramai kawan. Raikal tak kisah kalau hari-hari berlakon, tak rasa penat pun. Raikal pun tak kisah orang perhatikan, tetapi tak suka kalau ada yang datang ambil gambar.

“Pada hari raya ini, Raikal cuti lama. Dapat cuti mestilah seronok sebab dapat raya, kalau tak cuti tak seronok sebab nanti tak dapat raya,” kata kanak-kanak petah itu yang meraikan Lebaran di Puchong dan Rawang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: