Wednesday, September 14, 2011

Santai cara Travelog AirAsia


MAYA Karin dan Remy Ishak turut terlibat dalam Travelog AirAsia Bersama Edd Razhe.


BUKAN seorang atau dua, tapi 20 wanita sedia keluar bertemu janji dengan bekas pengurus kumpulan Feminin, Edd Razhe.

Tempat yang menjadi pilihan mereka bukan di sekitar ibu kota atau tanah air tapi di luar negara seperti Paris, Christchurch (New Zealand), Korea, Jepun, Perth dan Gold Coast (Australia), New Delhi, Tehran dan Jeddah.

Menurut Edd, dia akan ditemani wanita jelita seperti Maya Karin, Fauziah Latiff, Ella, Nurul Syuhada Nurul Ain, Fara Fauzana dan Intan Ladyana.

Juga yang akan mengiringinya nanti termasuklah Nora Danish, Alyah, Fasha Sandha, Juliana Evans dan Daphne Iking.

"Jangan sangka yang bukan-bukan pula. Saya pergi ke luar negara dengan mereka untuk rakaman program Travelog AirAsia Bersama Edd Razhe.

"Destinasi pertama saya akan ditemani oleh Maya Karin. Kami akan pergi ke kota Paris, pada 26 September ini. Segala pengalaman dan lokasi menarik di sana dapat ditonton di TV3, mulai hujung Oktober ini," katanya.

Selain selebriti wanita, Edd juga akan ditemani oleh enam artis lelaki popular termasuk Remy Ishak, Fizo Omar, Aaron Aziz dan Azhar Sulaiman.

Edd yang sudah 20 tahun terbabit dalam bidang hiburan tempatan dan kini lebih dikenali sebagai 'orang kuat' AirAsia itu berkata, justeru itulah dia mendapat kepercayaan untuk mengendalikan program berkenaan.

Dia yang juga Pembantu Khas kepada Pengerusi dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Datuk Kamarudin Meranum berkata, program itu akan diterbitkan sebanyak 26 episod.

"Semuanya bermula apabila saya tampil dengan idea untuk buat program ini. Kebetulan, Pengasas dan Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Bhd, Tan Sri Tony Fernandes bersetuju.

"Manakala Datuk Kamarudin yang juga Pengasas Bersama Tune Group serta Datuk Seri Farid Ridzuan turut menyokong dan hasil persetujuan itulah saya bakal memulakan penggambaran pada 26 September ini," jelasnya.

Program yang turut mendapat khidmat jurusolek terkenal Zulfazli Suhadi untuk menata rias para artis itu akan dihasilkan dalam bahasa Melayu dan Inggeris.

Kata Edd, program itu lebih mengutamakan konsep santai dan ia berbeza dengan program Majalah 3 yang memaparkan isu yang lebih serius.

"Mungkin ada yang tertanya, mampukah saya memikul tanggungjawab sebagai pengacara kerana selama ini kerja saya lebih kepada bidang korporat.

"Insya-Allah, boleh kerana sebelum ini saya pernah menjayakan Majalah 3 bersama Nurul Syuhada dan sedikit sebanyak pengalaman itu memberi keyakinan tinggi pada saya untuk mengacarakan program ini," katanya penuh yakin.

Menurut Edd, dia tidak perlu risau kerana program itu kelak bakal diacara mengikut keselesaannya bersama artis yang menjayakan program tersebut.

Bagi memudahkan kerjaya, Edd bakal turut dibantu produser dan jurukamera TV3 yang turut membuat liputan untuk semua episod di lokasi yang dipilih.

Kata Edd, semua selebriti yang terbabit dalam program berkenaan adalah mereka yang rapat dengannya dan dia yakin boleh boleh bekerjasama dengan rapat kerana sudah kenal hati budi mereka.

"Bukan itu saja, mereka juga sudah tahu cara saya bekerja bagi memudahkan kami merealisasikan program ini," katanya yang turut menampilkan bekas Pengerusi AirAsia, Datuk Pahamin Rajab dalam satu episod.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: