Monday, September 5, 2011

Pesona tudung polos


GAYA funky remaja terserlah dengan padanan tudung polos rona hijau bersama selendang polka dot.


TREND fesyen bertudung di Malaysia pada hari ini nampaknya semakin menunjukkan peningkatan yang positif. Kini rangkaian butik mahupun kios yang menjual tudung tidak hanya terhad pada penjualan tudung bawal pelbagai gred. Sebaliknya, masing-masing semakin berlumba-lumba menawarkan koleksi tudung pelbagai jenis, material, warna dan corak.

Situasi tersebut diakui oleh perunding imej dan pensyarah fesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Faizal Hamid, yang melihat fenomena penjualan tudung hampir setaraf dengan industri fesyen aksesori, sepatu dan pakaian.

"Secara tidak langsung, ia membuktikan golongan wanita bertudung kini semakin bijak bergaya dan memiliki cita rasa fesyen yang baik. Mereka semakin berani mencuba pembaharuan tetapi pada masa yang sama mengekalkan imej muslimah.

"Disebabkan itu, jika diperhatikan fesyen tudung juga mempunyai gelombangnya sendiri. Wanita bertudung tidak lagi terhad pada pemakaian tudung bawal semata-mata sebaliknya, semakin menyerlah dengan tudung siap pakai yang diperbuat daripada kain likra, selendang satin, selendang kain kapas dan yang paling terbaharu selendang panjang bercorak serta berwarna terang," jelas Faizal kepada Stailo yang menyarankan agar kelompok remaja bertudung sentiasa tampil dengan imej segar dan berwarna-warni.


DUA lapisan tudung siap pakai nuansa hitam dan merah yang semakin popular pada hari ini.


Tambah Faizal, selendang warna terang yang semakin popular antara item fesyen yang wajib dimiliki oleh wanita bertudung khususnya golongan remaja. Namun begitu, remaja perlu meneliti sewaktu memilih selendang bercorak dan berwarna. Ia perlu bersesuaian dengan personaliti, lokasi dan majlis yang dihadiri. Paling penting elakkan penampilan kelihatan seperti badut atau mangsa fesyen.

Sebagai contoh, jangan sesekali memadankan, selendang bercorak bersama pakaian yang bermotif bunga atau bercorak abstrak. Tindakan sedemikian akan menyebabkan penampilan kelihatan sarat dan mengundang pandangan kurang selesa daripada orang sekeliling.

"Tidak dinafikan selendang bercorak menyuntik mood ceria kepada individu, namun jika tersalah percaturan ia menyebabkan anda berasa kurang selesa. Kepada mereka yang gemar memakai selendang bercorak pastikan tudung ini dipakai bersama baju polos.

"Selain itu, selendang bercorak cocok digayakan bersama tudung siap pakai konsep polos. Memakai dua lapis tudung berlainan konsep membantu menampakkan penampilan yang menawan. Biasanya selepas menyarungkan tudung siap pakai jenis polos, wanita boleh melilit selendang bercorak di bahagian atas kepala," terang Faizal mengenai trend remaja yang gemar memakai tudung polos bersama selendang bercorak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: