Wednesday, September 14, 2011

Pesakit buah pinggang antara pelajar baru UMK


DR. Zainai Mohamed (kiri) memperkatakan sesuatu kepada Azimah Mohd. Zain pada program Minggu Mesra Mahasiswa di kolej kediaman pelajar Kampus UMK Pengkalan Chepa, baru-baru ini.


KOTA BHARU 13 Sept. - Kegembiraan jelas terpancar di wajah seorang pelajar lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Azimah Mohd. Zain, 19, apabila dia antara ribuan pemohon yang berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading.

Meskipun dihimpit dengan masalah penyakit buah pinggang sehingga memaksanya mendapatkan rawatan hemodialisis tiga kali seminggu di hospital, bagi anak jati kelahiran Kampung Tanah Puteh, Gua Musang dekat sini, ia tidak menghalangnya menumpukan perhatian kepada pelajaran.

Hasilnya, anak keempat daripada lapan beradik itu kini menjadi kebanggaan kedua-dua orang tuanya, Mohd. Zain Hassan, 64, dan Hanisah Nik Din, 47, apabila berjaya melanjutkan pelajar ke Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Warisan dengan kepujian.

Azimah berkata, masalah kesihatan yang ditanggungnya itu sedikit pun tidak mematahkan semangatnya untuk berjaya dan memperoleh keputusan yang cemerlang dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) lalu.

"Alhamdulillah, keputusan yang diperoleh dalam STPM lalu membolehkan saya melanjutkan pelajar ke UMK dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Warisan dengan kepujian.

"Malah, masalah yang dihadapi ini menjadi pendorong kepada saya untuk bekerja lebih keras dan mengejar impian untuk bergelar sebagai mahasiswa UMK yang berjaya serta mengubah nasib keluarga di masa akan datang," katanya ketika ditemui pemberita pada program Minggu Mesra Mahasiswa (3M) di kolej kediaman pelajar Kampus UMK Pengkalan Chepa, baru-baru ini.

Katanya, sepanjang melanjutkan pengajiannya di UMK dia akan membuat rawatan hemodialisis di Hospital Raja Perempuan Zainab II dekat sini.

Sementara itu, Naib Canselor UMK, Prof. Emeritus Datuk Ir. Dr. Zainai Mohamed berkata, pihaknya sedang berunding untuk menyediakan kemudahan kenderaan bagi memudahkan pergerakan pelajar tersebut.

"Kita faham situasi yang dialami oleh pelajar berkenaan dan akan cuba membantunya. Setakat ini, UMK tidak mempunyai kemudahan hospital, cuma yang ada hanyalah doktor dan jururawat khas yang bertugas di Unit Kesihatan Universiti," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: