JOHOR BAHRU – Kehidupan 53 nelayan di Kampung Tanjung Langsat, Pasir Gudang di sini semakin tertekan ekoran masalah pencemaran laut akibat projek perindustrian yang sudah berlarutan sejak dua tahun lalu.
Lebih menyedihkan, para nelayan tersebut terpaksa menangkap ikan di kawasan lebih jauh seperti di Teluk Sengat, Kota Tinggi atau mencari pekerjaan lain untuk menyara keluarga.
Sebelum ini, mereka mampu meraih pendapatan harian antara RM80 dan RM300 setiap kali keluar menangkap ikan namun, kini mereka mendakwa hasil yang diperoleh hanya cukup untuk keperluan sehari.
Ketua Komuniti Nelayan Kampung Tanjung Langsat, Yusof Ahmad, 46 berkata, kehidupan para nelayan di situ semakin terhimpit kerana kawasan mencari rezeki mereka sudah hilang sejak pembangunan industri minyak dilaksanakan di situ.
Selain itu, katanya, para pengusaha ikan sangkar juga mengalami kerugian apabila hasil ternakan mereka mati kesan daripada bahan kimia yang digunakan di kawasan industri berkenaan.
“Sebelum ini, kawasan laut di kampung ini merupakan kawasan yang mewah dengan udang tetapi kini semua benih telah pupus.
“Justeru tidak hairan, hari ini sukar melihat nelayan mencari udang, ikan atau ketam di kawasan ini,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: