|
|
SETIAP kali Neelofa tampil ke majlis hiburan atau sesi foto, perkara utama yang membuatkan orang tertarik memandangnya, selain wajah yang cantik adalah kasut tumit tinggi yang dipakainya.
Di kalangan rakan-rakan artis, pelakon yang nama sebenarnya, Noor Neelofa Mohd. Noor, 22, terkenal sebagai seorang yang obses terhadap kasut. Hidup dia tidak sempurna tanpa kasut tumit tinggi.
Baru-baru ini, S3 berpeluang melihat koleksi kasut Neelofa yang disimpan di salah sebuah rumah milik keluarganya di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur.
“Ini adalah sebahagian daripada kasut-kasut milik Lofa. Bukan untuk Lofa pakai tapi untuk dijual kepada orang ramai, sebab Lofa buat perniagaan menerusi internet," katanya.
Heroin filem Azura 2011 itu berkata, dia mula menjual kasut menerusi internet sejak Jun tahun lalu setelah mendapat sambutan hangat daripada rakan-rakan.
Neelofa berkata, dia obses terhadap kasut tumit tinggi bukan sejak terbabit sebagai artis, malah dari zaman sekolah lagi.
“Betul, kak...mana ada orang pergi pasar pakai kasut tumit tinggi, tapi Lofa pakai. Sejak sekolah lagi, kawan-kawan tahu dia memang suka kasut tumit tinggi," sampuk kawan baiknya yang turut sama ketika sesi foto.
Ketaksubannya semakin menebal apabila menyertai pertandingan Dewi Remaja 2010, di mana dia muncul sebagai juara.
Katanya, apabila kerap mengadakan pertunjukan fesyen atau sesifoto, dia sering menghadapi masalah kerana tidak ada kasut yang sesuai dengan pakaian.
Menurut Neelofa, kerjaya sebagai model dan pelakon memerlukan dia bergaya dengan kasut tumit tinggi.
Tambahnya, sebaik sahaja menyarung kasut yang mempunyai ketinggian empat hingga enam inci itu, dia merasa yakin dengan penampilan diri.
“Bila kerap sangat menghadapi masalah mencari kasut yang sesuai dengan pakaian, Lofa mula melayari internet dan akhirnya bertemu dengan satu laman web ini.
“Lofa tertarik dengan kasut yang ditawarkan kerana setiap kasut yang dijual diinspirasi untuk selebriti Hollywood. Daripada menjadi pembeli, Lofa terus buat rancangan untuk menjual. Sebab setiap kali pakai kasut, ada kawan-kawan tanya beli di mana dan dari situ jugalah timbul idea untuk Lofa berniaga kasut,” ceritanya.
Menurut anak ketiga daripada sembilan beradik ini, pada mulanya dia takut untuk membuat tempahan tetapi akhirnya dia menyedari perniagaan adalah satu risiko dan dia reda dengan apa yang bakal mendatang.
Kini Neelofa boleh tersenyum bangga kerana perniagaan yang pada awalnya untuk suka-suka sudah berkembang maju kerana selain rakan-rakan dan teman artis, orang ramai juga sudah mengenali fesyen kasut jualannya.
“Sekarang ini sekali tempahan, Lofa akan ambil lebih daripada 200 pasang kasut. Kebanyakan fesyen kasut yang Lofa pilih berdasarkan kesukaan sendiri dan Lofa yakin ia boleh dijual.
“Kasut tumit tinggi yang dijual di sini tidak mahal berbanding di luar negara. Malah, kasut yang Lofa jual pun tidaklah semahal yang dijual di sini.
“Ia mampu dibeli oleh sesiapa sahaja yang suka kasut tumit tinggi,” katanya yang boleh memakai kasut tumit tinggi seharian.
Menurutnya, kasut tumit tinggi dari serendah empat hingga enam inci pelbagai warna itu dijual pada harga RM170 hingga RM300 yang boleh dilayari di http://neelofaheels.blogspot.com.
Pelakon yang mempunyai ketinggian 158 sentimeter itu berkata, dia telah pun mendaftar jenama Neelofa dan Lofa untuk perniagaan kasutnya itu.
Neelofa yang sedang mengikuti pengajian Double Major International Trade and Marketing di Kolej Sunway dalam tahun kedua itu berkata, selain berlakon dia juga sibuk menjadi hos untuk program Paparazzi yang bersiaran secara eksklusif menerusi tonton.com.my secara online.
“Setiap Isnin, Lofa tumpu untuk kelas sahaja dari pukul 9 pagi sampai 4 petang. Lofa kumpulkan semua subjek pada satu hari. Pada hari Selasa pula, hari untuk rakaman program Paparazzi.
“Hari lain untuk penggambaran atau kerja-kerja pengacaraan. Memang penat, tapi itu yang Lofa pilih. Jadi disebabkan masa terbatas, kawan Lofa tolong ambil tempahan kasut dan Lofa sendiri buat promosi,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: