KEGHAIRAHAN 33 peserta Misi Ramadan Di Gaza Kedua (Radig 2) anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) berada lima hari di Bandar Gaza untuk membantu keperitan hidup penduduk Palestin tidak kesampaian kerana terpaksa keluar lebih awal berikutan serangan tentera Israel saban hari.
Walaupun Bandar Gaza masih bergegar dengan bedilan tentera Israel mereka dapat keluar dengan selamat dari Gaza baru-baru ini menuju Kaherah, Mesir. Ia sebagai mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan dan kedutaan Malaysia di Mesir sebelum berangkat pulang ke tanah air 24 Ogos lalu.
Setiausaha Agung Mapim yang juga Ketua Misi Radig 2, Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, keadaan meruncing di Gaza dapat dirasakan sejak hari pertama misi Radig 2 tiba di Gaza apabila tidak kurang lapan kawasan dibedil tentera Israel.
Katanya, satu daripada yang dibedil adalah tengah bandar Gaza yang jaraknya cuma 400 meter dari hotel mereka dan gegaran kuatnya amat dirasai.
“Serangan semakin meningkat pada hari kedua dan dilaporkan lima belas nyawa terkorban termasuk tiga kanak-kanak dan lima orang awam,” katanya.
Mohd Azmi berkata, serangan tentera Israel itu dipertingkatkan pada hari-hari seterusnya berikutan serangan balas yang dilakukan tentera Palestin.
Katanya, sepanjang berada di Gaza, peserta mendapat taklimat penuh dari semasa ke semasa mengenai tahap keselamatan di Gaza sehinggalah keputusan diambil untuk melaksanakan pelan pemindahan pada hari ketiga misi berkenaan.
Menurut beliau, pergerakan dari hotel di Gaza hingga ke sempadan Rafah berjalan lancar.
“Suasana di dalam bas tenang dan peserta tetap bersemangat walaupun diselubungi kesayuan kerana terpaksa meninggalkan kenalan di kalangan rakyat Gaza yang sudah dianggap seperti keluarga.
“Peserta misi berat hati meninggalkan Gaza dalam saat penduduk tempatannya masih memerlukan sokongan,” katanya.
Malah, ada di kalangan peserta yang menyatakan kesanggupan terus berada di Gaza jika dibenarkan demi memberi sokongan dan bantuan.
Sebaik tiba di bangunan Imigresen Gaza di sempadan Rafah, peserta Radig 2 bertukar bas dan mereka mengambil kesempatan pada saat itu untuk saling bersalaman dan mengucapkan selamat tinggal dengan penuh rasa kemesraan.
Menurut Mohd. Azmi, pada keseluruhannya perjalanan program Radig 2 dianggap berjaya dan semua anggota misi berpuas hati.
Sebabnya, dalam masa yang singkat mereka mampu mengadakan beberapa jalinan dengan pihak tertentu di Gaza sebagaimana matlamat misi ini di samping dapat menyampaikan sejumlah bantuan kepada pelbagai kelompok di Gaza.
Selain itu, misi juga berjaya mengukuhkan komitmen antara pihak berkuasa Gaza terutamanya Kementerian Kesihatan dan Mapim bagi menjayakan projek pembinaan Hospital Kanak-Kanak dan Materniti Gaza.
Pada sidang akhbar tentang persefahaman antara kedua pihak baru-baru hari, Mapim menyampaikan bantuan kewangan bernilai RM180,000 sebagai sumbangan pertama untuk memulakan projek berkenaan.
Misi Radig 2 turut meninjau pembinaan masjid An-Nasr di Beit Hanoun yang disumbangkan rakyat Malaysia.
Sehingga kini sebanyak RM639,000 disumbangkan kepada projek pembinaan semula masjid berusia hampir 800 tahun yang musnah akibat serangan Israel ketika pencerobohannya pada tahun 2006 dan masih memerlukan RM211,000 lagi untuk disempurnakan.
Mohd. Azmi berkata, rombongan turut mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Gaza, Ismail Haniyeh yang turut dihadiri beberapa menteri dan Datuk Bandar Beit Hanoun dan Jabaliya.
Katanya, dalam rangka membina jaringan antara rakyat, rombongan turut menemui pelbagai pertubuhan sukarela termasuk pertubuhan wanita, majlis ulama, persatuan bantuan kecemasan dan pembangunan masyarakat serta persatuan bantuan untuk orang kurang upaya serta mangsa perang.
Katanya, mereka selamat tiba di Kaherah, Mesir pukul 9 pagi waktu tempatan pada 17 Ogos lalu.
Di sana, mereka membuat kunjungan hormat ke atas Duta Malaysia di Mesir, Datuk Dr. Fakhruddin Abdul Mukti untuk mendapatkan gambaran sebenar keadaan keselamatan di sempadan Mesir dan Rafah.
“Kami diberitahu keadaan di sempadan ketika itu dilaporkan kurang stabil namun anggota misi tetap bersemangat untuk menyempurnakan misi walau berada dalam apa jua situasi sekalipun,” katanya.
Mohd Azmi berkata, mereka dinasihatkan berhati-hati kerana sebarang kemungkinan boleh berlaku sepanjang tempoh perjalanan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: