ISMAIL CHEMENGGUN tidak menafikan semasa mula beliau tinggal di Batu Arang sekitar tahun 1969 banyak cabaran yang perlu ditangani.
Ketika itu, sistem penempatan Batu Arang belum tersusun seperti sekarang dan ramai daripada komuniti asal yang kebanyakannya bukan Bumiputera kurang senang dengan kedatangan bekas askar seperti beliau.
Tetapi berkat usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan ketika itu, Batu Arang menjadi sangat makmur sebagai sebuah masyarakat majmuk yang hidup dalam harmoni hingga kini meskipun tidaklah semewah kehidupan moden di bandar.
“Istimewanya di Batu Arang, terutama semasa zaman generasi saya masih muda ialah muafakat antara kaum amat ketara. Semua orang saling memahami, amat mesra dan membantu antara satu sama lain,” imbau Ismail sambil berseloroh generasi muda kini tidak boleh menandingi generasinya meskipun dengan pelbagai kempen 1Malaysia kini.
Tapi sayangnya, beliau menyedari kemuafakatan itu telah mula pudar dan lebih mengecewakan lagi apabila generasi tua sepertinya dapat melihat keretakan dalaman yang makin jelas dalam kelompok satu-satu kaum.
Kini, Ismail hanya mampu mengimbau kenangan suka duka sejarah hidupnya, menabur jasa dan bakti demi masa depan agama, negara dan anak bangsa.
Daripada lebih 20 orang rakan-rakan seperjuangan ketika zaman British Malaya yang menetap di Batu Arang, hanya tinggal lima orang yang terus meniti usia senja termasuk Ismail.
Rakan yang lain seperti Osman Ngah Mamat, 75, Tayeb Abdul Malek, 72, Amirdat Khan Zardat Khan, 69, dan Abdul Rahman Atan, 67, turut berasal daripada pasukan REME dan mula menetap di Batu Arang selepas tahun 1972.
Sebenarnya, mereka amat menghargai pengiktirafan Veteran Malaysia yang diberi kerajaan baru-baru ini yang membolehkan mereka mendapat kemudahan kesihatan yang sama dengan pesara ATM.
Tetapi mereka juga sedar baki hayat umur mereka tidaklah begitu lama lagi, dan mereka masih menanti bilakah kerajaan dapat memutuskan memberi sumbangan berbentuk pencen yang sesuai dengan kos hidup masa kini bagi membantu mereka menjalani saki-baki hidup dengan baik.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: