|
|
PELUANG untuk mengabdikan penghargaan terhadap tokoh seni negara, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee adalah satu tawaran yang amat berharga untuk dilepaskan.
Apatah lagi, peluang sedemikian amat jarang diperolehi kerana hanya beberapa kerat sahaja antara penggiat seni tanah air yang berusaha untuk memperingati Seniman Negara itu.
Justeru, Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd. (Suhan Movies), tampil selaku syarikat sulung yang menerbitkan 10 telefilem khas sebagai mengenang jasa walaupun Allahyarham telah meninggal dunia 38 tahun lalu.
Bagi anak saudara kepada seniman legenda itu, Melissa Saila, 39, atau nama sebenarnya, Melisa Mohd. Alias, ditawarkan untuk membintangi salah satu daripada 10 telefilem tersebut, Hanya Dikau begitu bermakna buat dirinya.
Begitu juga dengan pelakon muda, Kamal Adli, 25, yang diberi watak sebagai hero dalam telefilem berkenaan di sisi Melissa, turut merasakan dirinya bertuah kerana diberi peluang untuk sama-sama menghargai P. Ramlee.
Bangga beri kerjasama
Anak kepada seniwati Mariani Ismail, Melissa atau mesra disapa sebagai Lis melahirkan rasa bangga apabila dia sekali lagi diberi peluang untuk menzahirkan rasa hormatnya kepada arwah bapa saudaranya itu.
Disebabkan pertalian darahnya dengan seniman tersebut, nama wanita berkulit putih itu sering mendapat tawaran bagi sama-sama menjayakan apa jua naskhah yang ditujukan khas untuk menghargai P. Ramlee.
Ia termasuklah pembabitannya sebagai pelakon dalam teater P. Ramlee the Musical yang pernah dipentaskan di Istana Budaya pada 2007.
Kemudian, menerusi syarikat produksi miliknya, Kus Semangat Aktor, Lis tampil pula dengan sebuah telefilem arahannya sendiri berjudul Pabila Larut Malam yang turut didedikasikan buat seniman itu.
Katanya, dia tidak pernah bosan untuk melibatkan diri bagi menjayakan sebarang karya yang bertujuan untuk memperingati P. Ramlee.
“Malah, saya begitu bangga untuk sama-sama memberi penghormatan kepada arwah memandangkan P. Ramlee sememangnya layak untuk diangkat sebegitu.
“Saya bukanlah taksub dengan penghasilan naskhah-naskhah seperti ini tetapi tidak salah sekiranya individu yang layak disanjung itu dihargai dengan penerbitan karya sebegini,” katanya yang ditemui di lokasi penggambaran Hanya Dikau di ibu kota, baru-baru ini.
Kamal gilakan P. Ramlee
Bagi anak kelahiran Pekan, Pahang, Kamal Adli tidak menyangka dirinya berpeluang untuk sama-sama terlibat dengan karya yang diterbitkan khas untuk memperingati P. Ramlee.
Lalu, apabila pemilik Suhan Movies, aktor Rosyam Nor menawarkan watak Hisyam kepadanya, dia terus berminat untuk menjalani penggambaran telefilem arahan Amie Maziah itu.
Kata Kamal, peluang berlakon dalam drama berkenaan ibarat bulan jatuh ke riba kerana seniman tersohor itu adalah idolanya.
“Saya begitu meminati P. Ramlee sehinggakan saya menyimpan hasrat untuk bertemu secara empat mata dengan seniman agung itu dan berjabat tangan serta memeluknya.
“Ini memang satu permintaan yang merepek tetapi begitulah gambaran betapa dalamnya minat saya terhadap Allahyarham P. Ramlee selaku seorang yang versatil,” ujar Kamal yang juga berkebolehan menyanyi.
Bukan itu sahaja, Kamal yang mengikuti cerita di sebalik kehidupan P. Ramlee amat menyanjung tinggi keperibadian tokoh perfileman itu kerana sifatnya yang baik hati, pemurah dan peramah.
Mengulas penglibatannya dalam drama bekenaan, Kamal yang berpasangan dengan Lis dan Elly Mazlein begitu teruja kerana dapat berlakon bersama senior dunia lakonan seperti Mariani, Datuk Rahim Razali dan Maimon Mutalib.
Amie Maziah jaga kualiti
Memikul peranan sebagai sutradara Hanya Dikau, Amie Maziah mengakui, dia sedikit tertekan memandangkan penerbitan drama tersebut bukan sekadar telefilem biasa.
Ini kerana, menurut Amie, Penerbit Eksekutif Suhan Movies, Rosyam menetapkan standard pembikinan kesemua 10 telefilem yang diterbitkan khas untuk memperingati P. Ramlee lebih tinggi kualitinya.
“Walau bagaimanapun saya tetap melakukan tanggungjawab sebagai pengarah seperti biasa kerana ini bukanlah kerjasama pertama saya bersama Suhan Movies.
“Cuma, ketelitian terhadap setiap babak perlu dilipat gandakan agar memenuhi kehendak Rosyam dan saya berharap dia berpuas hati dengan hasil kerja saya ini,” katanya.
Selain Hanya Dikau, sembilan lagi telefilem yang diterbitkan untuk projek khas Tribute P. Ramlee ialah Di Mana Kan Ku Cari Ganti arahan Osman Ali, Getaran Jiwa (Michael Ang), Miang Buluh Keladi Birah (Bade Azmi) dan Siapa Tipu Siapa (Aziz M. Osman)
Lima lagi telefilem ialah Pelamin Di Pusara (Murali Abdullah), Kalau Dah Jodoh (Ismail Yaacob), Selagi Cinta Berzikir (Erma Fatima), Titian Kasih (Rashid Sibir) dan Tunggu Sekejap (Along Kamaludin).
Kesemua telefilem tersebut akan disiarkan di TV2 pada setiap hari Ahad, pukul 10 malam bermula 13 November nanti.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: