Thursday, September 1, 2011

Kemeriahan Kasih Syawal


Zawahir Abdullah (baju merah) dan Syed Moheeb Syed Kamarulzaman menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada salah seorang penduduk Kampung Seberang Jaya, Kuala Sala, Kedah.


SETIAP kali tiba hari raya, seruan takbir berkumandang di masjid-masjid, di rumah-rumah dan di kaca televisyen. Begitu juga di corong-corong radio apabila diumumkan anak bulan Syawal telah kelihatan.

Dengan bergemanya takbir itu, semakin terasalah kemeriahan suasana hari raya.

Kita umat Islam seharusnya sedar bahawa Hari Raya Aidilfitri adalah kurniaan Allah SWT sebagai hadiah kemenangan kepada semua umat Islam, kerana berjaya melaksanakan ibadah puasa dengan menahan diri daripada hawa nafsu dan perkara-perkara yang mengurangkan pahala puasa.

Lantas, pada hari kemenangan tersebut, kita disunatkan meraikannya dengan melaungkan takbir.

Ini kerana dengan bertakbir, kurniaan Hari Raya Aidilfitri akan dapat dirasai dan dihayati sehingga melahirkan rasa kesyukuran atas kebesaran serta keagungan-Nya, sesuai dengan maksud takbir iaitu mengagungkan Allah SWT dengan melafazkan kalimah Allahu Akbar.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur. (al-Baqarah: 185)

Dengan bertakbir itu sudah cukup membuktikan bahawa Hari Raya Aidilfitri bukan untuk kita berpesta tetapi lebih dianjurkan kita beribadat dengan melafazkan rasa syukur di atas anugerah ini menerusi takbir dan ibadat-ibadat lain yang disarankan agama.

Sekali gus, sebagai bukti akan perbezaan sambutan keraian umat Islam dengan agama-agama lain di atas muka bumi ini. Apatah lagi ia disambut seusai menunaikan ibadah puasa Ramadan selama sebulan.

Hakikatnya, dengan tersebarnya seruan takbir ini maka ia menandakan bermulanya 1 Syawal, hari yang paling dinanti-nantikan oleh semua golongan dan peringkat umat Islam di seluruh dunia. Tanpa mengira batasan usia, kedudukan dan pangkat, Aidilfitri yang disambut umat Islam di seluruh dunia pastinya disambut meriah namun penuh dengan kesederhanaan.

Sesungguhnya kedatangan aidilfitri melengkapkan lagi fitrah manusia yang inginkan kegembiraan setelah sebulan berpuasa, di sebalik ganjaran yang dijanjikan Allah untuk setiap umatnya yang cekal menjalankan perintahnya.

Bagi jutaan umat Islam di seluruh dunia, sambutan yang diadakan sempena sambutan aidilfitri pastinya berbeza mengikut adat resam dan budaya setempat. Yang penting sambutannya tidak bertentangan dengan syariat.

Kemeriahan sambutan hendaklah dilakukan dengan sederhana bagi mengelakkan pembaziran dan bukan dilakukan untuk menunjuk-nunjuk.

Menyambutnya secara berlebih-lebihan tidak mencerminkan ajaran Islam sebenar kerana ia dilakukan hanya bagi memenuhi tuntutan nafsu.

Matlamat sambutan aidilfitri adalah bagi mensyukuri nikmat dan rahmat Allah kepada umat manusia, di samping dapat bermuhasabah diri dengan amalan yang dilakukan sepanjang Ramadan, selain mendekatkan diri kepada Yang Maha Esa.

Bergembira menyambut lebaran

Namun dalam kita bergembira menyambut lebaran, masih ada insan yang berduka. Bagi mereka, seruan takbir yang berkumandang itu, mengundang titisan air mata kesedihan. Inilah nasib golongan yang kurang berkemampuan dalam menyambut kehadiran Syawal.

Bagi mereka yang mempunyai kemampuan, inilah masanya untuk berkongsi keceriaan dan kegembiraan bersama-sama mereka yang serba kekurangan.

Bagi menyelami suasana sebenar sambutan Aidilfitri bersama masyarakat kampung dan juga golongan yang kurang berkemampuan, Pertubuhan Bantuan Kemanusiaan Islam Malaysia (Pertubuhan IRM) dengan kerjasama Syarikat Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. telah berkunjung ke Kampung Seberang Jaya, Kuala Sala, Kedah.

Kunjungan kemanusiaan ini diketuai Presidennya, Zawahir Abdullah bersama para sukarelawan sekitar Kedah. Turut serta adalah Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas Sdn. Bhd., Datuk Syed Moheeb Syed Kamarulzaman.

Bagi merasai suasana sebenar Aidilfitri bersama masyarakat kampung ini, program istimewa yang bertemakan 'Kasih Syawal' ini menghimpunkan seramai 400 penduduk kampung dari mukim yang berbeza.

Kampung yang terlibat adalah Kampung Kuala Sala, Kampung Sala Kecil, Kampung Permatang Buluh, Kampung Sungai Dedap, Kampung Kota Sarang Semut dan lain-lain kampung yang berhampiran.

Sementara itu, menurut Zawahir, pihaknya akan sentiasa peka terhadap keperluan masyarakat tempatan. Program ini merupakan program lanjutan daripada program 'Kasih Ramadan'.

"Melalui program ini, setiap minggu pihak Pertubuhan IRM akan berkunjung ke destinasi terpilih bagi menyampaikan amanah orang ramai untuk menyalurkan sumbangan kepada golongan yang berhak menerimanya.

"Semuanya demi memenuhi tanggungjawab dan amanah orang ramai. Di kala orang lain sibuk mengunjungi saudara mara bagi menyambut kehadiran Aidilfitri, kami pula di Pertubuhan IRM telah berkunjung ke beberapa buah lokasi terpilih," jelasnya.

Tambah Zawahir, pihaknya amat berterima kasih kepada Syarikat Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. kerana sudi bekerjasama menjayakan program ini.

"Keprihatinan yang dilahirkan oleh Takaful Ikhlas ini seharusnya dicontohi oleh syarikat korporat yang lain untuk bersama-sama membantu golongan yang kurang berkemampuan bagi menjayakan misi kemanusiaan sebegini," katanya.

Gotong-royong

Menerusi kunjungan itu, seekor lembu disembelih bagi menjamu penduduk kampung bagi memeriahkan suasana sebenar aidilfitri. Aktiviti gotong-royong dimulai sejak pagi.

Tidak sampai dua jam, kerja-kerja menyembelih dan melapah lembu telah siap. Lebih menarik, program ini mengeratkan kerjasama golongan muda kampung dengan para sukarelawan.

Bagi penulis, menjejakkan kaki ke bahagian khemah memasak mengundang suasana ceria, bila mana melihat para ibu duduk berkumpul menyediakan bahan-bahan memasak. Tidak ketinggalan penyediaan ketupat palas, juadah wajib tibanya Ramadan bagi masyarakat utara.

Sementara itu, golongan bapa pula bertungkus lumus mencari daun ketupat palas dan juga batang buluh untuk dibuat lemang. Lebih menarik, semuanya dilakukan secara gotong-royong.

Bertukar juadah

Amalan bertukar juadah juga masih diamalkan di kampung terbabit. Setiap rumah akan bertukar-tukar juadah hidangan bagi menambahkan lagi kemeriahan aidilfitri. Biasanya juadah seperti ketupat palas, lemang, laksa dan rendang akan menjadi hidangan utama penduduk di kampung Seberang Jaya, Kuala Sala ini.

Mengintai kepada aktiviti di malam raya di kampung itu, kemeriahan amat dirasai. Seakan pesta cahaya, apabila setiap rumah diterangi dengan cahaya pelita yang diperbuat daripada buluh.

Saat inilah, golongan kanak-kanak menikmati masa terbaik untuk bergembira bagi meraikan kejayaan berpuasa dengan bermain bunga api.

Bagi golongan ibu serta remaja perempuan, ini adalah masa bagi mereka memasang langsir dan menghiasi rumah dengan bunga-bunga hiasan yang berwarna-warni.

Di kampung ini juga, amalan bertakbir menjadi tradisi masyarakat di sini. Aktiviti takbir ini juga akan diikuti dengan majlis tahlil. Uniknya, bertakbir ini tidak terhad di masjid malah dilakukan dari rumah ke rumah bermula pada malam raya.

Walaupun sambutannya berbeza mengikut tempat dan daerah, tradisi menunaikan solat sunat Aidilfitri dan menziarahi pusara kaum keluarga tetap dilakukan setiap kali tibanya Syawal.

Selesai solat sunat hari raya, kesemua jemaah saling bersalaman dan bermaafan, memohon keampunan di atas segala kesalahan yang lalu. Indah sungguh dan syahdu, segala tuntutan syariat cuba dituruti.

Ini diikuti kunjungan ke rumah sanak saudara, sahabat handai dan jiran tetangga. Semuanya atas nama merapatkan hubungan kekeluargaan dan ikatan ukhuwah sesama manusia. Semangat kunjung-mengunjungi masih utuh di kampung ini.

Itulah keindahan Islam, sambutan yang dikongsi bersama pada 1 Syawal ini seolah-olah merapat dan mengeratkan lagi ikatan dan ukhuwah sesama Islam.

Amalan memberi duit raya kepada kanak-kanak juga sudah menjadi trend kepada masyarakat Islam Malaysia, di mana ia lebih kepada konsep bersedekah.

Duit raya selalunya diberi kepada kanak-kanak melalui sampul duit yang berwarna-warni.

Bantuan

Hakikatnya, melalui program yang istimewa ini, mereka bukan sahaja diraikan dengan suasana sebenar Aidilfitri, namun mereka juga dibantu dengan memberikan pek makanan kepada golongan yang kurang berkemampuan.

Rata-rata yang ditemui menyatakan kesyukuran kerana tidak pernah diraikan sebegini dalam menyambut kehadiran aidilfitri.

Itulah magisnya kemeriahan yang berlaku sempena bulan Syawal dan ia telah dan akan tetap dipertahankan dari tahun ke tahun bagi membuktikan ketaatan dan ketakwaan umat Muhammad SAW dalam memelihara kesucian agama Islam.

Inilah uniknya sambutan Aidilfitri yang cuba dikongsikan oleh Pertubuhan IRM, konsep bantu membantu, ingat-mengingati masih lagi diamalkan dalam budaya kita.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: