Friday, September 9, 2011

Invest KL raih enam pelaburan

pix_gal0
Firma multinasional minat perluas operasi di Lembah Klang, Greater KL

INVEST KL, agensi yang ditubuhkan khusus untuk menarik pelaburan asing ke kawasan Lembah Klang dan Greater KL akan menerima enam pelaburan pertamanya membabitkan firma multinasional yang disenarai dalam Fortune 500 sebelum akhir tahun ini.

Ketua Eksekutifnya, Zainal Amanshah, berkata agensi itu telah menerima banyak pertanyaan daripada firma multinasional yang berminat untuk mengembangkan operasi perniagaan masing-masing di kawasan pertumbuhan ekonomi negara itu.
Katanya, minat itu sejajar dengan perkembangan rantau Asia Tenggara yang kini dikenal pasti kawasan pertumbuhan akan datang di kalangan pelabur global.
“Prospek menerima pelaburan itu adalah cerah yang mana kami telah menerima pertanyaan dari firma multinasional yang mempunyai rancangan mengembangkan operasi perniagaan mereka ke pasaran baru.

“Setakat ini, kami menerima maklum balas daripada firma multinasional yang beroperasi di Singapura, Asia Barat, Jepun, China, Amerika Syarikat (AS) dan Eropah,” katanya kepada media selepas pengumuman perkembangan terkini Program Transformasi Ekonomi (ETP) di Kuala Lumpur, semalam.

Invest KL yang mula beroperasi 1 Jun lalu diletakkan di bawah tiga kementerian iaitu Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.

Ia diberi mandat menarik 100 firma multinasional melabur di kawasan Lembah Klang dan Greater KL menjelang 2020.
Kawasan pelaburan seluas 2,900 kilometer persegi itu membabitkan 10 majlis perbandaran tempatan di seluruh Kuala Lumpur dan Selangor.

Zainal berkata, bagi mencapai mandatnya, Invest KL bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan termasuk Lembaga Pembangunan Perindustrian Malaysia (MIDA), Multimedia Development Corporation (MDeC), Bank Negara Malaysia, Talent Corporation Malaysia (TalentCorp) dan koridor pembangunan bagi memudah cara kemasukan pelabur asing ke kawasan itu.

“Firma multinasional terbabit boleh melabur sama ada untuk membuka ibu pejabat baru, ibu pejabat serantau atau pusat pengedaran serantau di Lembah Klang dan Greater KL,” katanya.

Beliau berkata, Invest KL menyediakan perkhidmatan menyeluruh kepada pelabur dalam pelbagai aspek, termasuk memperkenalkan pelbagai hab perniagaan khusus di Kuala Lumpur kepada pelabur, memberi cadangan lokasi pelaburan terbaik, membentuk pakej fiskal berdaya saing dan menyediakan program pengurusan tenaga kerja.

“Kami juga menyediakan perkhidmatan dari segi memudahkan urusan pemindahan dari lokasi perniagaan sedia ada mereka, program membiasakan diri dengan lokasi perniagaan dan perkhidmatan pasca pelaburan lain,” katanya.

Syarikat yang mahu melabur di Malaysia perlu diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965 dengan modal berbayar minimum AS$1.5 juta dan perbelanjaan operasi minimum AS$3.5 juta setahun.

Firma berkenaan juga perlu mempunyai rangkaian anak syarikat yang besar di luar Malaysia, mempunyai lima syarikat berkaitan di luar negara serta menyediakan peluang kerja kepada kumpulan profesional berkelayakan tinggi, teknikal serta kakitangan sokongan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: