MACAM dalam wayang. Bezanya wayang itu lakonan, tetapi yang kita alami itu melibatkan pertaruhan nyawa sendiri," kata bekas tentera, Hassim Md. Akhir, 76, mengenai kejadian berbalas tembakan dengan beberapa anggota komunis pada 1953.
Pada masa itu, Hassim baru memulakan tugas selepas tamat kursus latihan asas dalam Tentera Darat British.
Kejadian berlaku di kawasan Gunung Bongsu berdekatan pekan Mahang, Kulim ketika dia bersama rakan ditugaskan membawa senjata bren-gun dalam operasi memerangi komunis.
"Pasukan kita masa itu hanya duduk menghendap dan tenang sedangkan komunis yang berada di atas bukit telah bertalu-talu melepaskan tembakan tetapi satu pun tidak kena.
"Sebaik sahaja komander menjerit fire, saya angkat bren-gun lalu melepaskan tembakan sekali harung dan tidak bagi peluang langsung kepada musuh," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Taman Murni, Gurun baru-baru ini.
Sebaik sahaja Hassim memberhentikan tembakan, terdengar suara seolah-olah komunis tergolek jatuh di lereng bukit dan beberapa orang lagi sempat melarikan diri.
Oleh kerana jam di tangan menunjukkan pukul 6.45 petang dan keadaan dalam hutan menjadi makin gelap, Hassim bersama rakan kemudian diarahkan oleh komander 'orang putih' untuk beredar kembali ke kem.
Hassim cedera di tangan akibat terkena serpihan peluru terpaksa beredar.
Sepanjang malam, dia tidak dapat melelapkan mata memikirkan berapa ramai musuh yang telah ditembak mati.
Awal pagi keesokannya, dia dan rakan bergegas semula ke lokasi pertempuran.
"Mula-mula nampak kesan darah. Kami kemudian ikut dan terjumpa sepucuk senapang tersandar dekat pokok," katanya.
Selepas memastikan keadaan sekeliling selamat, Hassim bersama rakan kemudian menuruni bukit dan terjumpa satu mayat lelaki terbujur kaku.
Tanpa membuang masa, mereka mengangkat mayat tersebut dan membawanya pulang ke kem.
Kejayaan Hassim dan rakan-rakan menembak mati anggota komunis itu telah mendapat pengiktirafan. Dia dianugerahkan wang tunai dan beberapa karton rokok oleh komandernya.
Hassim yang mula menyertai Tentera Darat British pada tahun 13 Disember 1953 sebelum ditugaskan di merata tempat termasuk di Kem Chow Kit, Kuala Lumpur sebelum menerima tawaran untuk berkhidmat dengan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Singapura pada 1957.
Pada tahun 1958, Hassim telah ditugaskan ke Bahau, Negeri Sembilan sebelum kembali semula di Kedah pada tahun 1960 dan bertugas bahagian Polis Tentera (MP).
"Memang kerja MP nampak mudah, tapi sebenarnya tidak begitu. Ini kerana selain menjaga anggota dalam kem, kami juga perlu berwaspada kerana anasir komunis sentiasa berkeliaran," katanya.
Setelah berkhidmat dan sering berpindah-randah selama hampir 10 tahun, akhirnya pada 12 Disember 1969, Hassim mengambil keputusan untuk berhenti dengan pangkat terakhir Lans Koperal.
Sepanjang tempoh tersebut beliau dianugerahkan General Service Medal (GSM), Pingat Khidmat Bakti (PKB) dan Pingat Perkhidmatan Am (PPA).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: