Thursday, September 1, 2011

Hargai kreativiti sampul raya


Punya keluarga yang menyokong kuat minatnya yang satu ini.


KONSULTAN pendidikan ini cukup berbangga sebab mampu memiliki sepenuhnya 1,251 keping sampul duit raya pelbagai corak dan reka bentuk. Semuanya hasil usaha keras 10 tahun lalu mengumpul himpunan kertas berkenaan setiap kali lebaran menjelma.

Biarpun ada beranggapan minatnya itu sia-sia sahaja tapi ditepis secara berhemah. Fakrul Anuar Mohd. Azlee punya alasan kukuh terhadap minatnya yang satu itu.

Baginya, semua itu adalah bahan bukti terhadap fenomena paten sampul yang jarang diambil perhatian.

Tapi apabila kesemua kertas itu disusun baik dalam satu tempat khusus, barulah boleh melihat fasa pengembangan daya kreativiti hasil pereka bentuk tanah air mengikut tahun tertentu.

"Kebanyakan sampul duit ini cantik, berwarna-warni, berkualiti, menarik dan boleh dijadikan kenang-kenangan," katanya dalam perbualan Isnin lalu.

Kerja 'gila' tersebut kadang kala dilihat seperti membuang masa tapi sebaliknya buat peminat seni reka grafik.

Disebabkan itu juga, Fakrul ada perangai sendiri setiap kali Syawal menjelang. Matanya akan fokus pada sampul raya yang dibuang di tepi jalan. Kalau ada segera dikutip bimbang dibiarkan lama boleh memudarkan kualiti kertas sampul tersebut.

Ditanya sama ada lelaki ini tidak malu berbuat demikian walaupun usianya sudah mencecah 30 tahun, segera Fakrul menafikan.

Katanya, dia akan membuat apa sahaja untuk mendapatkan kepingan kertas berkenaan asalkan dapat memenuhi koleksi yang turut mendapat kerjasama ahli keluarga lain.

Rasa obses terhadap sampul 'angpau' juga itu termasuk tabiat membeli barangan jenama makanan tertentu yang menawarkan sampul raya sebagai hadiah percuma.

Contohnya minuman jenama Milo selalu menyediakan sampul raya yang berasaskan warna korporat syarikat itu iaitu hijau.

Promosi yang diketahui sama ada menerusi media cetak atau televisyen itu menyebabkan anak ketiga dari lapan beradik ini bergegas ke kompleks membeli-belah.

Selalunya juga, dia akan memiliki lebih dari satu kerana satu untuk diletakkan di sebuah fail khusus untuk pameran.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: