Thursday, September 1, 2011

Harapan Awi Rafael Mahu Beraya Dengan Bapa

Awi teringin untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan bapanya.

PETALING JAYA: Penyanyi lagu Pulanglah, Awi Rafael menyimpan perasaan tinggi agar bapanya dapat pulang ke tanah air untuk beraya bersamanya.

Kata Awi, sejak ibu dan bapanya bercerai 17 tahun lalu, bapanya membawa diri ke Indonesia dan bekerja di negara itu menyebabkan mereka sukar bertemu.

“Saya dah lama tak berjumpa dengan bapa sebab kami sudah terpisah sejak dia berpindah dan bekerja di Indonesia. Dia pun sudah ada keluarga baru.

“Bagaimanapun pada tahun ini, saya akan pulang beraya dengan ibu di Pontian, Johor. Tetapi sebelum itu, saya akan pulang ke Singapura untuk berjumpa dengan kakak di sana sebelum pulang semula ke Kuala Lumpur. Saya hanya bercuti tiga hingga empat hari,” katanya yang tinggal sendirian di ibu kota.

Selepas itu dia akan kembali sibuk dengan promosi lagu terbarunya serta memenuhi jemputan sesi fotografi dan temu bual dengan pihak media.

Dalam perkembangan lain, dia juga telah menjalani penggambaran muzik video lagu terbarunya, Bila Aku Jatuh Cinta di Indonesia.

“Saya mendapat maklum balas positif daripada peminat di Indonesia tentang lagu Bila Aku Jatuh Cinta.

“Selain itu, kawan-kawan di Indonesia memberitahu mereka meminati lakonan Neelofa sebagai model dalam muzik video itu,” ujarnya lagi.

Kini, muzik video itu boleh ditonton di laman sesawang YouTube.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: