|
|
TINGGAL sebulan sahaja lagi sebelum satu-satunya maraton malam yang dibenarkan di Malaysia berlangsung.
Mengetahui debaran dalam kalangan para peserta, pihak penganjur Twenty First Centure Sports (TCFS) mengadakan forum di Bank Simpanan Nasional (BSN) bagi membantu mereka mempersiapkan diri untuk larian malam tersebut baru-baru ini.
Forum tersebut dibarisi ahli panel yang terdiri daripada doktor sukan, pakar pemakanan, podiatris dan jurulatih maraton.
Kira-kira 100 peserta hadir bertukar-tukar pandangan dan mendapat nasihat daripada profesional yang berpengalaman luas dalam bidang maraton.
"Berpengalaman menganjurkan lebih 150 acara larian, kami mendapati lebih ramai yang menyukai acara larian sebegini.
"Oleh kerana ramai yang menunjukkan minat untuk menyertai larian, kami mahu membantu mereka mempersiapkan diri dari segi diet, pakaian dan kasut yang sesuai sebelum acara maraton berlangsung," kata Pengarah TCFS, V. Nithiaseelan.
Nithiaseelan yang merupakan Pengarah Larian Putrajaya Night Marathon 2011 memberitahu, setiap larian yang dilakukan adalah satu pencapaian dan keseronokan.
"Kami mahu membantu supaya mereka mereka tidak mendapat sebarang kecederaan ketika melakukan larian tersebut kerana maraton pada waktu pagi dan sebelah malam adalah sangat berbeza.
"Barisan panel terdiri daripada mereka yang pakar yang pernah berkecimpung dalam maraton dan pelbagai acara sukan yang lain. Mereka adalah sumber pakar untuk menjawab sebarang pertanyaan berkaitan diet, penghidratan, kecederaan, kasut dan latihan," ujarnya.
Antara ahli panel yang hadir ialah doktor sukan, Dr. Aparajitha Krishnan, Pakar Pemakanan Institut Sukan Negara, Chai Wen Jin, jurulatih maraton, Sidamparam M. Periasamy dan Podiatris, Dr. Mark Reyneker.
Kesemua ahli panel tersebut menyarankan para peserta supaya mengikut kemampuan diri masing-masing.
Laras diet
"Setiap orang adalah unik. Salah satu cara untuk mengetahui ketahanan badan adalah melalui eksperimentasi dan latihan.
"Para peserta maraton perlu minum dalam dos yang sedikit tetapi, kerap. Jika anda mahu membuat persediaan menyertai maraton, bersedialah sebulan sebelum dengan melaraskan diet kepada diet tinggi karbohidrat, rendah lemak dan pengambilan protein yang seimbang," kata Wen Jin.
Tambahnya, jangan makan berlebihan kerana ia akan membebankan diri. Jika seseorang itu berlari lebih daripada 60 minit, dinasihatkan supaya mengambil karbohidrat yang banyak.
Katanya, persiapan untuk maraton malam sangat berbeza kerana jadual pemakanan peserta sama sekali terjejas dan berlainan.
"Seelok-eloknya anda makan tiga hingga empat jam sebelum maraton bermula. Jangan sekali-kali melangkau waktu makan. Sebaliknya makan makanan yang sesuai," sarannya.
Dalam pada itu, Reyneker memberitahu, satu-satunya perlindungan yang seseorang peserta itu perlukan ialah kasut.
"Permukaan jalan, badan kita dan cuaca panas di Malaysia mempengaruhi kasut yang dipilih. Pilih kasut dan stokin yang mempunyai aliran udara baik supaya memberikan keselesaan ketika berlari.
"Pemilihan jenis kasut yang dipakai boleh menjejaskan prestasi larian kita. Belilah kasut yang khusus untuk larian dan bukannya kasut badminton, futsal atau kasut kasual," ujarnya.
Jika mahu mencuba cara larian yang baru, sesuaikannya dengan keadaan tubuh anda dan jangan terus melakukannya secara tiba-tiba.
Keupayaan berbeza
Jurulatih maraton, Sidamparam pula berpendapat, setiap peserta yang membuat persiapan harus pahatkan di fikiran bahawa tiada dua individu yang mempunyai keupayaan sama.
"Setiap orang mempunyai kelajuannya tersendiri. Lakukan latihan dan jangan melakukan sesuatu yang baru pada hari maraton diadakan," nasihatnya.
Secara kebetulan, Sidamparam merupakan satu-satunya rakyat Malaysia yang telah memenangi maraton antarabangsa. Dia juga memegang rekod maraton dengan catatan masa dua jam 30 minit dan 55 saat.
Tip dan nasihat yang diberikan sangat dialu-alukan oleh para peserta. Tidak ketinggalan pemuda berusia 24 tahun, Ng Kayson yang telah mendaftarkan diri dalam kategori 21 kilometer.
"Forum ini semestinya berguna. Saya sendiri tidak sabar untuk mengaplikasikan tip dan nasihat yang diberikan oleh ahli panel kerana dapat membantu saya dalam larian maraton nanti.
"Segala saranan dan nasihat yang diberikan sangat praktikal dan efektif. Saya amat bernasib baik kerana mengikuti forum sebegini. Saya tidak pernah mendaftar untuk Putrajaya Night Marathon 2011 sebelum ini tetapi, selepas mendengar intipati forum, saya terus mendaftarkan diri untuk menyertainya," katanya yang merupakan ahli fisioterapi itu.
Putrajaya Night Marathon 2011 akan dilangsungkan pada 15 Oktober ini.
Maraton yang ditaja BSN itu disokong oleh Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Kementerian Belia dan Sukan, Perbadanan Putrajaya, Persatuan Atlet Amatur Wilayah Persekutuan (FTAAA) dan Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (MAAU).
Ia turut mendapat kerjasama rakan penaja lain seperti Brooks, 100 Plus, Milo dan PowerBar sementara hooHa.asia menjadi rakan atas talian.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: