TIDAK pernah menghampakan pelanggan setianya, stesen berbayar terulung, Astro meneruskan tradisinya apabila menawarkan 104 program istimewa bagi menyambut Syawal tahun ini.
Kesemua program tersebut dapat ditonton menerusi lapan saluran utamanya iaitu Astro Ria, Astro Prima, Astro Oasis, Astro Ceria, Astro Citra, Astro Warna serta dua saluran barunya iaitu Bintang dan Pelangi yang ditawarkan menerusi pakej Indo Pek.
Ketua Pegawai Operasi Astro, Henry Tan berkata, pihaknya bukan sahaja menyajikan program istimewa untuk sambutan Aidilfitri sahaja tetapi juga barisan rancangan hebat sempena Hari Kemerdekaan Ke-54.
“Kami menjanjikan pelbagai program menarik yang pastinya mampu memberikan kepuasan kepada pelanggan setia kami.
“Bukan hanya sekadar kemantapan isi kandungannya tetapi kami turut menyediakan dua lagi saluran khas bagi meraikan Syawal dan Merdeka tahun ini
“Dua saluran itu adalah Raya HD dan Astro Fiesta yang membariskan senarai filem, konsert dan program hiburan menarik untuk tontonan semua. Menariknya, kedua-dua saluran ini boleh ditonton secara percuma,” katanya sewaktu berucap pada majlis pelancaran di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Saluran Raya HD akan mula ditayangkan bermula hari ini (30 Ogos) sehingga 9 September ini dan penonton akan dapat menikmati konsert istimewa seperti Aura 3 Diva, Konsert Tribute P. Ramlee: Di Mana Kan Ku Cari Ganti dan Konsert Wow Putrajaya 2011.
Selain itu, drama bersiri, Pengantin Untuk Dijual lakonan Rita Rudaini dan Fahrin Ahmad juga ditayangkan selain beberapa telemovie seperti Love, Nora, Bersalji Di Kuala Lumpur, Dan Sebenarnya..., Sanggul Beracun dan 7 Lagu.
Tidak dilupakan dua buah filem tempatan iaitu Damping Malam dan Aku Masih Dara juga dapat ditonton dalam teknologi definisi tinggi (HD)
“Astro Fiesta pula akan menayangkan filem, konsert, dokumentari dan drama bersiri yang melambangkan perpaduan, patriotisme dan segala aspek yang berkaitan dengan kemerdekaan.
“Ini termasuklah filem Estet arahan Mamat Khalid dan Konsert Canggung Mendonan M. Nasir yang tidak pernah ditayangkan di mana-mana sebelum ini. Semuanya dapat ditonton bermula 1 September hingga 31 Oktober ini,” jelas Henry lagi.
Bagi rancangan untuk saluran utamanya pula, telemovie dan program hiburan masih lagi mendominasi saluran Astro Ria.
Pastikan penonton setia saluran itu tidak melepaskan peluang menonton Mari Berdansa Aidilfitri, Fantastika Raya Impian, Mega Raya 2011 serta telemovie seperti Mak OK Je, Pontianak Beraya Di Kampung Batu dan Geisha Melayu Terakhir.
Cukup sinonim dengan tayangan telemovie hebat yang sarat dengan mesej, Astro Prima pula mempertaruhkan karya-karya hebat yang mewakili pelbagai genre sepanjang Aidilfitri ini.
Antara yang bakal menarik perhatian adalah drama Sesungguhnya, Satu Permintaan, Flamenco Di Hatiku dan Epilog Deru Ombak.
Bagi peminat Zizan dan Johan dari program Raja Lawak, pastikan anda tidak ketinggalan menonton telefilem Drogba dan Rooney pada 30 Ogos pukul 12 tengah hari.
“Program berbentuk majalah keislaman seperti Laman Raya Imam Muda, Imam Muda Raya Di Perantauan dan Lebaran @ Xi’An pula akan menghiasi saluran Astro Oasis.
“Khusus buat pelanggan pakej Mustika yang merangkumi saluran Astro Citra dan Astro Warna pula, kami menayangkan juga menayangkan filem-filem dan telefilem menarik.
“Filem Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-23, Magika dan Ngangkung pula akan ditayangkan di Astro Citra sementara Astro Warna pula akan menayangkan program khas, Maharaja Lawak Raya.
“Kami juga menampilkan lakonan pertama Cikgu Shida yang mengecapi populariti menerusi YouTube dalam drama www.cikgushida.com selain drama komedi, Kiah Beraya Solo dan Senandung Aidilfitri,” ujar Henry sambil memberitahu filem antarabangsa terbaik dan animasi akan ditayangkan di Astro Ceria.
Untuk senarai rancangan dan waktu tayangan, bolehlah melayari laman web, www.astro.com.my serta iklan promosi di semua saluran Astro.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: