PAKEJ lengkap yang ada padanya membuatkan nama pelakon ini begitu pantas mendaki carta populariti.
Cantik, berbakat serta bijak. Tiga perkara itu sudah cukup untuk menjadikan Nur Fathia Abd Latiff atau lebih mesra disapa Fathia ini sebagai antara pelakon pelapis yang wajar diberikan perhatian.
Bersandarkan anugerah yang dimilikinya itu, maka tidak hairanlah andai gadis yang berusia 24 tahun ini menjadi rebutan kebanyakan pengarah yang mahukan dirinya menjadi daya tarikan dalam produk mereka.
Apatah lagi selepas menunjukkan mutu lakonan yang hebat dalam beberapa siri drama dan telefilem lakonannya sebelum ini, lagilah nama Fathia berada dalam senarai pelakon yang laris bagai goreng pisang panas.
Bagaimanapun, harga sebuah populariti bukannya murah. Dalam dunia hiburan yang penuh dengan drama, hipokrasi dan tikam belakang ini, terdengar perkhabaran kononnya kehadiran Fathia tidak disenangi pelakon yang lebih berpengalaman darinya. Menurut si pembawa khabar angin ini, Fathia menerima layanan dingin hanya kerana popularitinya yang semakin mencanak itu.
Saat diajukan pertanyaan ini kepada si empunya diri, Fathia ternyata terkejut dengan soalan yang tidak disangka-sangka itu. Terperanjat kerana tidak menyangka dirinya yang masih baru itu menjadi mangsa cemburu.
Betul ke ada pelakon yang tidak menyukai saya? Tak pasti pula jika perkara itu benar-benar berlaku. Setakat ini, sepanjang saya berlakon dengan mana-mana pelakon, terutama yang terlebih dulu dalam bidang ini, layanan yang saya terima daripada mereka baik-baik saja.
Lagipun setahu saya, saya tidak pernah membuat sebarang masalah dengan mereka. Bila di lokasi penggambaran, saya amat menghormati mereka. Malah, saya juga amat kagum dengan bakat mereka dan teringin mendalami ilmu lakonan dengan mereka, katanya yang mengakui berasa tidak sedap hati andai benar kehadirannya menimbulkan rasa kurang senang kepada mana-mana pihak.
Tegas Fathia, kehadirannya dalam dunia lakonan adalah kerana minat yang mendalam dan bukannya kerana mahu menggugat mana-mana pihak.
Tidak terlintas dalam hati saya memasuki bidang lakonan ini untuk menyekat rezeki mana-mana pihak. Saya lakukan semua ini kerana minat. Saya orang baru dan saya tahu di mana kedudukan saya.
Jadi tak perlu nak anggap kehadiran saya ini sebagai satu ancaman pada mereka, jelas Fathia yang juga teman rapat kepada Neelofa serta Kilafairy ini.
Pernah berdepan dengan kontroversi melempar telefon bimbit ke arah seorang pengarah sebelum ini, kata Fathia, dia cukup serik dengan apa yang berlaku.
Cukuplah dengan kontroversi yang saya lalui sebelum ini.Saya tak mahu lagi dikaitkan dengan cerita panas yang boleh menjejaskan kerjaya lakonan saya, pinta penuh pengertian.
Mahu berehat bukan bersara
SEBELUM ini ada tersiar cerita kononnya Fathia mahu bersara dalam bidang lakonan yang baru diceburinya. Apa yang membuatkan gadis yang memiliki perwatakan ceria ini memilih untuk mengundurkan diri lebih awal.
Apakah dia tidak sanggup untuk menghadapi gelombang serta duri ranjau yang menanti di depan mata.
Bagaimanapun, menurut Fathia, dia tidak pernah mengeluarkan kenyataan ingin bersara dalam bidang seni. Sebaliknya, apa yang dikatakan hanyalah ingin berehat buat seketika demi tanggungjawabnya sebagai seorang pelajar.
Semester baru sudah pun bermula dan atas sebab itu saya terpaksa berehat seketika dari dunia lakonan. Kalau ada tawaran yang datang, mungkin saya ambil kerja untuk komersial saja.
Memang menjadi prinsip saya untuk tidak mencampur adukkan antara pelajaran dan juga kerjaya. Bila tiba masa belajar, saya sakan tumpukan perhatian pada pelajaran.
Saya tak suka terkejar-kejar.Untuk promosi filem Al Hijab ini pun, saya akan gunakan waktu hujung minggu supaya ia tidak mengganggu pelajaran saya, katanya ketika ditemui pada majlis pratonton filem Al Hijab arahan Pierre Andre yang diadakan di Cathay Cineleisure, Mutiara Damansara, baru-baru ini.
Mengulas wataknya sebagai Qiss dalam filem seram itu, Fathia mengakui masih banyak perkara yang boleh diperbaiki.
Ini adalah filem pertama lakonan saya. Sewaktu filem ini masih dalam pembikinan, saya memang tiada pengalaman berlakon langsung. Hanya selepas itu baru saya aktif berlakon drama dan telefilem.
Selepas menontonnya, saya tahu banyak kelemahan saya yang dapat dikesan. Dari segi tonasi, emosi semuanya saya kena perbaiki.
Berlakon di bawah arahan Pierre saya dapat menimba pelbagai jenis ilmu. Kalau dia puas hati dengan hasilnya, dia kata okey. Kalau tak, dia kata tak okey, kata Fathia yang juga gemarkan filem bergenre seram.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: