PETALING JAYA: Dapur rumah pelakon Zizan Nin pernah terbakar di pagi Hari Raya Aidilfitri ekoran rakan-rakan serumahnya cuai ketika memasak juadah untuk menyambut hari kebesaran itu.
Ceritanya, insiden itu berlaku pada tahun 1997 ketika dia masih menuntut pada tahun akhir di University of Leicester, England.
“Waktu itu, semua agak risau dan kelam-kabut. Lebih-lebih lagi ia berlaku pada pagi raya. Jadi, kami semua terus sama-sama memadamkan api itu bagi mengelakkan kebakaran lebih menjadi-jadi,” katanya mengenai cerita lucu yang pernah dialami sewaktu menyambut hari raya.
Sebalik cerita lucu itu, Zizan yang kali kedua menyambut Hari Raya dengan isterinya, Fazilah Hani Harun sebagai pasangan suami isteri tetap mengingati mereka yang telah pergi.
Dia yang baru kehilangan arwah ibunya beberapa tahun lalu berkata pernah bermimpikan arwah datang kepadanya.
"Saya rasa mungkin saya perlu membuat kenduri tahlil dan lebih banyak mendoakan arwah di sana.
"Saya akan berhari raya di Kuala Lumpur kerana isteri saya bekerja pada Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
"Pada Hari Raya ketiga, saya akan balik kampung saya di Sungai Besar, Selangor untuk menziarahi kubur arwah ibu.
"Pada Hari Raya keempat saya kembali menyambung penggambaran beberapa projek drama bersiri," katanya yang merindui rendang dan paru masak lemak hijau cili api masakan arwah ibunya.
Zizan juga agak bersemangat untuk menyambut hari raya tahun ini memandangkan dia sudah bergelar usahawan baju Melayu menggunakan jenama namanya sendiri.
"Alhamdulillah, bisnes saya mendapat sambutan dan sokongan daripada rakan-rakan artis, kenalan dan peminat saya.
"Nampaknya saya kena tambah stok kerana banyak permintaan. Apabila saya dan isteri bercuti ke mana-mana sahaja, kami pasti akan mencari kain yang bersesuaian untuk di buat baju Melayu dan kemeja untuk label “ZizanIn”," ujarnya.
Baju Melayu itu dijual di butik rakan perniagaannya, Kay Maria Butik, no 3-G Jalan PJU 5/20A The Strand Kota Damansara atau hubungi 03-6142 7418.
Harga baju Melayu tersebut dijual pada harga antara RM180 hingga RM250 sepasang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: