SITI SALEHA...duta Enchanteur Paris.
JIKA sudah tertulis rezeki itu miliknya, ia tidak akan berganjak ke mana walau datang badai menimpa. Lebih tiga tahun gigih berdiri memperdagangkan bakat yang ada, akhirnya si empunya wajah jelita, Siti Saleha Mohd Baharum mampu tersenyum apabila drama lakonannya, Nora Elena berjaya memancing perhatian ramai.
Sekelip mata, namanya menjadi sebutan ramai. Pesona yang melekat pada bakatnya juga menjadi pilihan ramai produksi. Siapa sangka, si gadis yang tidak lekang senyuman dulunya berasa sukar mengejar nama kini sudah selesa memilih skrip yang sesuai.
Siti Saleha yang ditemui di lokasi drama baru lakonannya, Rebah di Hujung Taubat, semua yang ada hari ini belum menjanjikan apa-apa buatnya sebaliknya yang penting, rezeki depan mata harus dipergunakan sebaik mungkin sebelum ia berlalu pergi.
Bukan menjual wajah jauh sekali mencari populariti murahan, sebaliknya gadis kacukan British, Belanda dan Melayu ini puas mencipta nama bersandarkan bakat semata-mata tanpa pernah terpalit sebarang isu yang mengundang kegelisahan padanya.
“Dulu ketika awal dalam lakonan, memang pernah terdetik juga rasa penat dan bimbang kerana masih ramai tidak menyedari kehadiran saya. Namun lama-kelamaan, rasa itu hilang dan fokus saya terus ke depan, memberikan yang terbaik sebagai pelakon.
“Apa yang penting adalah bakat dan saya begitu bersungguh dalam memperbaiki lakonan saya dari semasa ke semasa. Alhamdulillah, Nora Elena membuka mata banyak pihak dan membawa saya ke fasa yang jauh lebih baik dalam lapangan seni lakon.
“Saya memang minat lakonan sejak dulu dan sentiasa memasang impian untuk terus berdiri sebagai pelakon disegani satu hari nanti. Lantas peluang seindah ini yang mampu menjulang bakat yang ada ini tidak sekali saya persiakan.
“Undangan berlakon drama yang tidak henti dan kini diberikan pula peluang tampil dalam filem. Semua itu adalah rezeki dan hadiah atas kerja keras saya selama ini,” katanya tersenyum.
Gadis kelahiran England pada 14 Mac 1990 ini lebih selesa berbual soal kerjaya berbanding menyingkap sisi peribadi, rancak berkongsi perkembangan baru kerjaya seninya. Dia kini begitu gigih mempelajari seni Muay Thai bagi persiapan filem sulungnya, Pukul Habis.
“Ada kalanya saya sendiri tidak mempercayainya. Selepas puas menimba pengalaman dan membina nama sebagai pelakon drama di televisyen, akhirnya saya diberi kepercayaan memikul watak utama dalam filem terbitan White Merpati Production. Ia bagai sebuah hadiah atas usaha dan kesungguhan saya selama ini.
“Filem ini akan memulakan penggambaran pada November depan dan saya bakal bergandingan dengan Johan Raja Lawak dan Aaron Aziz. Ia berkonsepkan komedi aksi namun menuntut komitmen yang lebih buat saya memperkukuhkan seni mempertahankan diri bagi menjayakan watak itu.
“Sebenarnya tawaran ini walaupun datang selepas tiga tahun saya bergelar pelakon, ia tidak sekali membuatkan saya terasa asing atau tertinggal berbanding kebanyakan pelakon lain. Ada juga yang menganggap peluang ini agak lewat dan perlahan buat saya tidak bagi saya kerana semuanya sudah lama dalam percaturan langkah saya.
“Sejak awal lagi memang sudah saya tetapkan untuk tidak cepat melangkah ke layar perak sebaliknya biarlah saya puas mencipta nama dalam penerbitan drama dulu. Kini selepas puas mencari kekuatan sebagai pelakon, saya berasa cukup selesa untuk membelek skrip filem pula,” katanya.
Adik kepada vokalis kumpulan Bunkface, Sam mengakui, lakonannya dalam Rebah Di Hujung Taubat jauh lebih kemas dan lancar. Dalam drama arahan Fairuz Loy itu, Siti Saleha memegang watak Nisha.
Katanya, Rebah Di Hujung Taubat memberikan kepuasan berlainan kepadanya kerana ia berbeza berbanding kebanyakan drama yang pernah dijayakan kerana garapannya seakan sebuah pembikinan filem.
“Olahan plot cerita dan kekuatan skripnya begitu jelas hingga menghidupkan semua watak yang dibangunkan. Saya sendiri kagum dan bertuah kerana berpeluang melakonkan watak Nisha.
“Selain itu berlakon disamping Fauzi Nawawi umpamanya mampu memberikan saya pengalaman terbaik dalam memperbaiki mutu lakonan saya sendiri. Saya yakin dan percaya penonton akan tertarik untuk terus menonton drama ini nanti,” katanya.
Rebah Di Hujung Taubat mengisahkan tiga beradik, Firman lakonan Fauzi, Fikri (Muniff Isa) dan Fifi (Mas Muharni), dibesarkan dalam keluarga berantakan. Mereka dibesarkan ibunya, Dahlia yang sering memomokkan kematian ayah mereka namun Firman sudah lama mengetahui hakikat ayahnya tidak seperti diceritakan ibunya.
Firman sanggup mengorbankan masa depannya sendiri demi membesarkan dua adiknya hingga sanggup bekerja sebagai pengawal keselamatan. Sayangnya, pengorbanan Firman dan kasih sayang yang diberikan kepada adik-adiknya itu sering disalah guna hingga Fikri dan Fifi terbabit dalam pelbagai krisis dan kemelut lain.
Telefilem yang bakal meragut emosi terbitan Nafalia Corporation Sdn Bhd ini akan disiarkan menerusi Astro Prima (Saluran 105) pada 30 Oktober, jam 10 malam.
PROFIL
Nama sebenar: Siti Saleha Mohd Baharum
Tarikh Lahir: 14 Mac 1990
Umur: 21 tahun
Tempat lahir: England
Keluarga: Anak ketiga dari empat beradik
Drama: Kasut Tumit Tinggi, Farah, Kapten Boleh, 5 Jingga, Zaleha, Kecuali Cinta Mu, Awan Dania musim 2, Puaka Topeng Putih, Hati Batu, Raya Mona, Kau Laksana Bulan, Ustaz Amirul dan Nora Elena
Filem: Pukul Habis
Teater: Stage TherapyIklan: Celcom, Wrigley’s DoubleMint, Gillette, Maggi, Nestle, Honey Soft, Pantene, F&N dan Nescafe.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: