|
ATLET terjun negara, Bryan Nickson Lomas memang hebat. Mana tidaknya, semalam dia menempah satu lagi slot ke Sukan Olimpik 2012 di London. Ia dilakar pada hari terakhir Kejohanan Terjun Piala Asia ke-4 yang berlangsung di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil.
Bryan, yang beraksi dalam acara 10 meter platform individu lelaki, memenangi pingat emas selepas memungut 480.50 mata untuk mengalahkan rakan senegara, Ooi Tze Liang yang meraih 450.80 mata.
Pingat gangsa acara tersebut menjadi milik penerjun Indonesia M. Nasrullah yang memungut 396.20 mata.
Bryan sebelum ini telah menempah tiket ke temasya sukan terbesar dunia itu menerusi acara 3m papan anjal individu lelaki pada Kejohanan Dunia awal tahun ini.
Beliau berkata apa yang lebih penting baginya ialah melayakkan diri ke Sukan Olimpik.
Dengan kejayaan terbaharu ini, ini bermakna Bryan akan beraksi dalam dua acara di London tahun depan.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada pasukan China yang menarik diri pada saat-saat akhir, justeru mengurangkan tekanan saya untuk memenangi acara ini,” katanya.
Dalam pada itu, dua wakil negara yang beraksi dalam acara 3m papan anjal wanita, Cheong Jun Hoong dan Leong Mun Yee mempamerkan rentak yang mengecewakan selepas masing-masing hanya menduduki tempat ketiga dan kelima.
Jun Hoong memperoleh pingat gangsa selepas memungut 310.45 mata manakala Mun Yee mengumpul 303.10 mata.
Pingat emas dan perak dalam acara itu dimenangi penerjun dari China, Zhang Jun dan Jia Dong Jin.
Zhang menang emas dengan 338.15 mata manakala Dong Jin memperoleh perak selepas mengumpul 336.30 mata.
Setiausaha Kehormat Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM), Edwin Chong, berkata, beliau berpuas hati dengan pencapaian skuad terjun kebangsaan kali ini terutamanya penerjun junior.
"Penerjun junior kita membuat penampilan pertama pada kejohanan berprestij ini dan mereka bersaing dengan penerjun yang mempunyai standard yang lebih tinggi, jadi saya berpuas hati dengan apa yang mereka pamerkan.
“Namun yang lebih penting bagi saya ialah mereka dapat menimba pengalaman bersaing dengan penerjun dari negara-negara lain,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: