|
|
MULA menjinakkan diri dalam bidang seni dengan mewarnai iklan komersial di kaca televisyen, Muhammad Alif Abd. Hadi, 23, atau Alif kini diberi peluang oleh KRU Studios untuk mengetengahkan bakat pengacaraan yang dimilikinya.
Lalu, program 24-7 yang disiarkan di rangkaian televisyen (TV) online KRU TV dan di Astro Ria (Astro 104) pada setiap hari Khamis, pukul 8.30 malam itu menjadi pengukur buat anak jati Selangor berkenaan.
Lupakan seketika kerjaya pengacaraan yang digalasnya, Alif yang menyambung pengajiannya ke peringkat ijazah sarjana dalam bidang Jenayah Ekonomi di Kolej Universiti HELP adalah seorang anak muda yang cukup gemar bermain papan selaju atau skateboard.
Walaupun pernah mengalami kecederaan serius apabila rusuk kanannya patah ketika bermain sukan ekstrem itu, namun Alif tidak pernah serik untuk bermain.
Bagi Alif, skateboard dan dirinya diibaratkan aur dengan tebing yang tidak dapat dipisahkan sekiranya mempunyai masa terluang.
“Minat yang mendalam terhadap sukan skateboard begitu sebati dengan jiwa saya dan ia menjadi rutin harian saya sejak sedekad lalu.
“Sukan ini menuntut pemainnya melakukan aksi-aksi berbahaya dengan cara yang selamat.
“Untuk melakukannya, saya perlu mengatasi ketakutan saya terlebih dahulu sebelum mencuba beberapa aksi atau disiplin yang dilakukan.
“Jika perasaan takut menyelubungi diri pemain, aksi yang dilakukan selalunya tidak akan menjadi, malah boleh mendatangkan bahaya kepada diri pemain serta orang lain,” katanya yang diberi peluang membuat persembahan ketika Karnival & Konsert Suara Kami 2011 pada Sabtu ini di Stadium Merdeka.
Boleh dikatakan hebat beraksi dengan papan selajunya itu, Alif pernah diiktiraf sebagai juara pada Karnival Sukan Lasak dan Kecerdasan 2007 di Shah Alam.
Ketika merakam aksinya bermain skateboard di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur baru-baru ini, Alif berpesan kepada ibu bapa supaya jangan beranggapan bahawa sukan ini sesuatu yang berbahaya.
“Apa jua sukan, ia adalah sesuatu yang positif dan baik untuk kecergasan tubuh kita.
“Cuma, apa yang diperlukan jika membabitkan diri dalam sukan ekstrem seperti ini adalah latihan yang mencukupi supaya kita mahir mengendalikan papan selaju tersebut.
“Barulah dapat menghindar daripada sebarang perkara yang tidak diingini,” jelasnya yang pernah muncul menerusi iklan Pizza Hut dan Coca Cola.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: