Thursday, September 1, 2011

Aidilfitri disambut sederhana


Nana dan Rayyan akan menyambut Aidilfitri di Seremban.


BAGI penyanyi yang terkenal dengan lagu Benang Emas, Nana atau nama sebenarnya Siti Nordiana Alias, 27, kehadiran Aidilfitri kali ini akan disambut dengan penuh kesederhanaan.

Menurut Nana, kebiasaannya dia dan anak tunggal kesayangannya, Muhammad Rayyan Nakhaie, 3 tahun, akan pulang ke kampung halaman di Felda Sendayan, Seremban apabila Aidilfitri tiba.

“Memandangkan kampung Nana di Seremban sahaja, Nana tidak perlu terburu-buru nak balik ke kampung,” ujarnya.

Tambahnya, lebaran tahun ini, dia bersama anaknya akan turut menziarahi pusara bekas suaminya, Mohd. Faisal Yusup yang telah kembali ke rahmatullah pada 1 Januari lalu.

Sebagai insan yang bergelar ibu, Nana mengakui kehidupannya bersama Rayyan ketika ini sudah cukup sempurna.

Bagi Nana, Rayyan adalah permata hatinya dan apa yang dilakukannya dalam karier seni ketika ini adalah untuk kebahagiaan anaknya itu.

Nana bergerak sendiri

Apabila bercerita tentang kerjaya seninya, Nana kini sudah mengambil inisiatif untuk bergerak sendiri dan tidak terlalu mengharapkan bantuan daripada pihak lain.

“Nana telah tubuhkan syarikat sendiri Siti Nordiana Management (SN Management). Tapi ini bukan bermaksud Nana keluar dari FMC Music Sdn. Bhd.

“SN Management adalah syarikat yang bertanggungjawab menguruskan karier Nana sepenuhnya.

“Kiranya, majlis yang diadakan oleh FMC dan SN Management adalah majlis yang berbeza tetapi Nana masih berada di bawah syarikat rakaman tersebut,” jelasnya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR), baru-baru ini.

Seiring dengan penubuhan SN Management, Nana berhasrat untuk kembali aktif bergerak sendiri dan juga akan mengadakan pelbagai aktiviti bersama peminat.

“Nana akan kembali aktif di Fan Page Nana di Facebook, Siti Nordiana Fans Club.

“Jadi, segala aktiviti yang akan diadakan selepas ini, Nana akan beritahu melalui Facebook,” kata Nana.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: