
PERTAMA kali menonton konsert dua penyanyi muda Yuna dan Najwa pada Malam Nada Biru yang berlangsung di The Actors Studio, Lot 10 baru-baru ini, ia telah memberi pengalaman yang berbeza.
Diakui malam persembahan itu, ramai penonton lebih tertanya-tanya tentang kehebatan Najwa. Ia kerana Najwa belum mempunyai sebarang album tetapi sudah terlibat dalam sebuah konsert.
Malah, penyanyi yang digandingkan dengannya juga bukan calang-calang orang tetapi Yunalis Zarai atau dikenali sebagai Yuna yang sudah terbukti kehebatannya di pentas seni.
Najwa yang tampil dengan gaun hitam kembang dengan hiasan reben di kepala kelihatan sungguh comel. Saat dia muncul di pentas sebagai penyanyi pertama yang membuka tirai, semua penonton terdiam. Diam kerana bersedia untuk menilai kehebatan vokal yang akan dilantunkan oleh Najwa.
Ternyata suara emas Najwa umpama magis. Memukau setiap penonton yang hadir dan larut bersama lagu-lagunya sehingga ke akhir persembahan solonya selama 45 minit.
Sesekali dia berbicara tentang lagu yang dibikin sejak usia belasan tahun lagi dalam konsert yang dibawa oleh Bsync Productions dan Mujik Productions Sdn. Bhd. itu.
"Malam ini saya cukup bertuah kerana berpeluang untuk berdiri di atas pentas dalam Malam Nada Biru. Tidak sangka, dulu saya hanya penonton tetapi sekarang saya pula yang berdiri di atas pentas," ujarnya yang cukup selesa mengusung genre soul dan jazz.
Tidak hanya menyanyi, Najwa juga menonjolkan bakat bermain piano sambil menyanyi, ternyata persembahannya itu cukup menyentuh jiwa.
"Saya terlalu baru lagi dan persembahan hari ini benar-benar menguji kemampuan saya sebagai penyanyi baru. Saya gembira apabila semua telah tamat dengan lancar," katanya sebaik sahaja Malam Nada Biru selesai.
Najwa ternyata seorang bintang, bukan sahaja memiliki vokal yang cukup hebat malah semua lagu yang didendangkan pada malam itu adalah hasil ciptaannya sendiri.
Walaupun lagu-lagu dendangannya pertama kali didengar, ia pantas menangkap telinga dan terpahat terus dalam memori. Antara lagunya, Got To Go, Sweet October, Free Innocent Soul, Impian Terindah dan Your Love.
"Kalau tiada halangan, album saya akan keluar tidak lama lagi. Mungkin dalam bulan April, sekarang semuanya masih dalam proses lagi.
"Saya berharap kehadiran saya dalam industri seni akan diterima kerana muzik adalah minat saya. Setiap lagu yang saya hasilkan cukup dekat dengan jiwa saya sendiri kerana mempunyai cerita tersendiri," kata Najwa.
Sempat memuji kehebatan vokal dan kreativiti Yuna, Najwa mengatakan penyanyi bertudung itu telah memberinya inspirasi untuk terus berjuang demi muzik.
"Saya berbangga kerana dalam persembahan besar saya yang pertama, saya digandingkan dengan Yuna, yang mana saya adalah salah seorang daripada peminatnya," katanya jujur.
Yuna tetap hebat
Bersahaja dan tidak banyak bercakap, persembahan Yuna dirasakan cukup pendek. Mungkin kerana barisan lagunya cukup dekat dengan hati penonton terutama Dan Sebenarnya dan Cinta Sempurna yang menguasai carta-carta muzik radio tempatan.
Tanpa berlengah, sebaik sahaja diberi lampu hijau untuk membuat persembahan di atas pentas bersama kugirannya yang merupakan teman-teman baiknya sendiri, Yuna terus mengalunkan suaranya sambil memetik gitar.
Yuna memang berada di kelas tersendiri, jika sebelum ini khalayak hanya tahu dua buah lagu dalam bahasa Melayu ciptaannya, tetapi sebenarnya, dia lebih banyak membikin lagu dalam bahasa Inggeris.
Lagu seperti Deeper Conversation, Backpacking Around Europe, After Midnight dan Blue Sands memang mempunyai identiti Yuna.
"Sebelum ini orang ingat saya hanya ada satu lagu Dan Sebenarnya, jadi bila saya buat persembahan dalam Malam Nada Biru, baru penonton tahu yang saya juga punyai barisan lagu Inggeris yang memang jarang dinyanyikan dalam persembahan pentas," ujarnya.
Masih sibuk dengan rakaman album sulungnya, Yuna juga kini dalam proses menyiapkan diri untuk berhijrah selama tiga bulan di Amerika Syarikat.
Katanya, peluang besar seperti itu tidak perlu dilepaskan begitu sahaja dan persembahannya malam itu dikira sebagai persediaannya untuk menghadapi khalayak peringkat antarabangsa.
"Saya bertuah kerana ditawar membuat persembahan yang cukup besar. Tidak sangka penyanyi baru yang masih mentah seperti saya diberi peluang sebegini.
"Perasaan gugup memang ada sepanjang masa, bimbang membuat kesilapan, saya terbuat sedikit silap di atas pentas tetapi dengan sokongan penonton saya berusaha untuk memberi persembahan yang lebih baik," tuturnya yang berharap dapat bersama dalam persembahan seperti itu lagi.
Jelasnya, walaupun penonton tidak ramai seperti konsert besar, jumlah penonton yang kecil sudah memadai buatnya.
"Lokasi persembahan juga tidak mengizinkan terlalu ramai orang tetapi saya suka dengan konsep begini kerana rasa lebih dekat dengan peminat," ucapnya tentang persembahan yang turut ditonton oleh Ning Baizura dan Sazzy Falak itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: