Friday, March 12, 2010

Tidak pentingkan populariti




NAMPAKNYA tuah mengiringi aktor, Redza atau nama penuhnya Shah Redza Minhat. Pernah berdampingan dengan aktres terkenal Maya Karin dalam filem arahan Bernard Chauly, Pisau Cukur, kehadirannya jejaka kacak ini mula dirasai.

Namun, ada sesuatu pada diri Redza yang boleh dikatakan istimewa - iaitu pendakap gigi yang dipakainya sejak tiga tahun yang lalu!

Percaya atau tidak, jika ada yang melihat penggunaan pendakap gigi menghodohkan penampilan, sebaliknya pula berlaku kepadanya apabila tuah pula yang menjelma.

Ini kerana pendakap gigi itulah yang membezakan Redza dengan pelakon sedia ada. Dia tanpa segan turut memakai pendakap gigi ketika berlakon dalam filem sulungnya itu.

Seolah-olah tidak mahu berenggang dengan pendakap gigi yang dianggap sudah sebati dengan dirinya, Redza mengakui dia terlalu sayang untuk menanggalkan pendakap tersebut tetapi sedar dia harus menanggalkannya suatu hari nanti.

"Biasanya orang pakai pendakap gigi paling lama dua tahun, tetapi saya sudah masuk tahun yang ketiga masih memakainya. Sebenarnya sudah melebihi tempoh yang ditetapkan tetapi saya rasa sayang. Selepas ini, orang tidak lagi panggil Redza si gigi besi," ucapnya dalam tawa sambil mengakui dia memakai pendakap gigi bukan sebab giginya jongang atau berlapis, tetapi sekadar ingin supaya giginya kelihatan lebih sempurna.

Jelas aktor berusia 30 tahun itu lagi, dia tidak kisah untuk menanggalkan pendakap giginya demi memenuhi komitmen sesuatu watak termasuklah wataknya dalam filem Pisau Cukur. Bagaimanapun, pengarahnya Bernard memberi lampu hijau buatnya untuk berlakon bersama pendakap giginya.

"Memang peliklah kerana saya tidak perlu buka atau ubah apa-apa pada diri saya dalam filem Pisau Cukur. Dalam filem itu, Maya dan Fazura juga ada memanggil saya budak gigi besi, jadi selepas itu lebih ramai orang panggil saya Redza gigi besi. Saya tidak kisah dengan penggilan itu dan banyak orang kenal saya bila tengok saya bersama pendakap gig," katanya tersenyum sambil menampakkan barisan pendakap giginya.

Sejak kemunculannya dalam Pisau Cukur, ramai yang menyangka Redza adalah pendatang baru dalam dunia seni sedangkan dia terlebih dahulu berkecimpung dalam pementasan teater pada tahun 2000.


REDZA bersama barisan pelakon teater Rancangan Hari Jadi Terhebat Adli.


Dalam tempoh masa itu dia juga terlibat dengan beberapa buah drama termasuklah drama bersiri popular, Gol & Gincu. Bagaimanapun, kehadiran Redza ketika itu langsung tidak dirasai.

"Boleh dikatakan itu antara drama pertama saya tetapi mungkin kerana watak yang kecil, orang tidak nampak saya. Bila saya cakap saya ada dalam drama Gol & Gincu ramai yang tidak tahu. Bermula daripada drama itulah saya mengenali Bernard yang membawa saya kepada filem Pisau Cukur," terangnya.

Penganalisis kewangan

Meskipun namanya dalam bidang lakonan semakin bersinar tetapi Redza lebih selesa melakukannya sebagai kerjaya sambilan sahaja, memandangkan pada hari-hari biasa dia berkerja sebagai penganalisis kewangan di sebuah bank.

Hanya hujung minggu sahaja dia berada dalam lapangan seni dan kerana kekangan itu juga, Redza telah menolak beberapa tawaran lakonan kerana bertembung dengan jadual hariannya.

"Saya mula berlakon sebelum saya bekerja di bank lagi. Saya berkerja di bank kerana saya suka kerja saya. Jadi, bila orang tanya kenapa tidak berhenti kerja dan fokus pada lakonan sahaja, saya akui saya pernah fikirkan perkara itu untuk tempoh masa yang agak lama.

"Selepas berfikir panjang saya rasa tidak perlu berhenti kerja di bank kerana saya berlakon sebab minat, bukan kerana duit walaupun sedar ia memberi pulangan yang agak lumayan. Bayangkan jika saya berhenti kerja, ini bermakna saya perlu mengambil tawaran lakonan yang banyak untuk menampung kehidupan seharian. Ia bukan minat.

"Maknanya, saya perlu ambil apa sahaja tawaran yang dirasakan sesuai walaupun tidak berapa berkenan di hati. Jadi, mutu lakonan itu mungkin akan berbeza sedikit. Ini saya bercakap untuk diri saya sahaja bukannya orang lain," luahnya.

Ditebak mungkinkah dia bimbang, andai dia meninggalkan kerjayanya sebagai penganalisis kewangan dan bergelar pelakon sepenuh masa, itu akan menjejaskan pendapatnya?

Tanpa sebarang bantahan, Redza mengakui perkara itu kerana dia bimbang, pendapatannya tidak akan stabil seperti sekarang.

"Saya akui perkara itu. Saya bukannya boleh ramal masa depan dan saya tidak tahu dalam tiga atau empat tahun akan datang, adakah saya masih menerima tawaran lakonan daripada penerbit seperti sekarang.

"Banyak perkara yang perlu saya fikir kerana saya bukan lagi budak belasan tahun lagi. Rasa jaminan itu tidak ada. Oleh itu, saya rasa lebih baik saya buat sebagai kerja sambilan di hujung minggu sahaja," ungkapnya yang mengakui tidak mementingkan populariti.

Bimbang




Menyebut tentang teater, Redza yang mula berkecimpung dalam pementasan teater sejak berumur 20 tahun menegaskan teater merupakan perkara nombor satu dalam hatinya berbanding lakonan di dalam drama atau filem.

Menyifatkan berlakon di pentas teater lebih mencabar dan menguji bakat lakonan seorang pelakon, Redza yang berpengalaman menulis skrip dan berlakon dalam beberapa pementasan teater antaranya Otak Tak Center, Gadis Jalan Burmah, Bercakap Dengan Pria, Tunku Kudin Kisah Gadis, Kelab Malam dan Rome & Juliet, memberitahu, dia akan setia bersama pentas teater serta berharap dia akan meninggalkan naskhah yang bakal menjadi rujukan pada masa depan.

"Itu harapan saya. Bukan nak jadi tokoh pejuang teater tetapi saya mahu menjadi sebahagian daripada perkembangan teater di Malaysia. Mungkin dalam 20 atau 30 tahun akan datang, naskhah saya akan membantu penggiat teater waktu itu," tuturnya.

Terbaru, dia bakal berlakon dalam pementasan teater yang berjudul Rancangan Hari Jadi Terhebat Adli di bawah arahan Megat Shahrizal dan penulis skrip Adiwijaya.

Jelasnya yang pernah bekerjasama dengan Megat Shahrizal sebelum ini sebagai penulis skrip untuk Kisah Gadis memberitahu, penglibatannya dalam teater Rancangan Hari Jadi Terhebat Adli sedikit berbeza dengan teater yang pernah dilakonkan sebelum itu.

"Ini teater Melayu pertama yang dipentaskan secara penuh. Sebelum ini kebanyakan teater yang saya tulis skrip dan lakonkan semuanya berdurasi pendek, Cuma yang ini, dipentaskan sepenuhnya dalam bahasa Melayu," katanya tentang teater yang dibawakan oleh The Actors Studio Teater Rakyat.

Tambahnya lagi dia bimbang andai teater lakonannya itu tidak mendapat sambutan khalayak memandangkan ia sebuah teater Melayu yang akan dipentaskan di Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPac) yang selama ini cukup sinonim dengan pementasan teater Inggeris.

"Secara jujur saya sedikit risau tetapi saya berfikiran positif. Saya amat berharap penonton akan datang memenuhi setiap kerusi yang ada. Apa yang saya dengar, penjualan tiket agak menggalakkan. Saya dan pelakon-pelakon yang lain telah berusaha sebaik mungkin demi menjayakan teater ini," ujarnya menutup bicara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: