Tuesday, March 2, 2010

'Wira' Tragedi Jambatan Runtuh Di Kuala Dipang Dihargai

Penerima F&N Out-Do Yourself Award (OYA 3) yang terdiri daripada tiga guru dan dua pengawal keselamatan (dari kiri), Mohd Sharif Ibrahim, Ikha Nadia Md Idris, Mohd Shah Rizal Zainudin, Ismail Ahmad dan Rusli Mohamad Mohamad bersama anugerah masing-masing selepas majlis penyampaian anugerahF&N OYA 3.

KUALA LUMPUR: Jasa seorang pengawal keselamatan yang menyabung nyawa menyelamatkan sembilan kanak-kanak dalam tragedi jambatan runtuh Oktober tahun lalu, hari ini diberi penghargaan bersama-sama tiga guru dan seorang rakan sekerja.

Ismail Ahmad, 63, yang bekerja di Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang, Perak, berkata, beliau terharu dengan anugerah yang diberikan kerana menganggap ia sebagai penghargaan terhadap jasa kudrat tuanya yang menyelamatkan nyawa orang lain.

"Peristiwa itu masih segar dalam ingatan saya kerana ia merupakan pengalaman paling ngeri pernah saya hadapi sepanjang 11 tahun berkhidmat sebagai pengawal keselamatan di sekolah itu," katanya kepada pemberita selepas dikurniakan Anugerah Atasi Segala-galanya oleh F&N Holdings Bhd di sini hari ini.

Ismail berkata, peristiwa pada 26 Oktober di Kuala Dipang itu tidak akan luput daripada ingatannya sama sekali walaupun sudah lebih empat bulan berlalu.

"Setiap kali saya lalu di jambatan itu saya pasti akan terkenangkan semula peristiwa itu di mana saya seperti terdengar suara kanak-kanak menjerit meminta tolong," katanya.

Dalam kejadian 26 Oktober tahun lepas, tiga murid lemas setelah terjatuh ke dalam sungai apabila jambatan gantung yang baru sebulan dibina runtuh ketika aktiviti ko-kurikulum Perkhemahan 1Malaysia membabitkan 298 murid dari 60 buah sekolah rendah dari Kampar, Tronoh dan Batu Gajah.

Turut diberi penghargaan ialah tiga guru, Ikha Nadia Md Idris, Mohd Sharif Ibrahim dan Mohd Shah Rizal Zainudin dan seorang lagi pengawal keselamatan Rusli Mohamad, 50.

Ikha Nadia yang berkata beliau tidak menyangka terpilih untuk menerima anugerah tersebut, mahu menjadikan tragedi itu sebagai pengajaran di dalam dirinya.

Turut terpilih bagi anugerah itu ialah pesakit Neurofaibromatosis (NF), Yvonne Foong, 23, yang berjaya menjadi seorang pakar psikologi kanak-kanak walaupun mengalami cacat pendengaran dan aktif dalam pelbagai kerja-kerja amal.

Berine Sua Linggi, 12, dari Sarawak pula diberikan anugerah itu atas pengorbanan menyelamatkan dua adiknya daripada lemas di Sungai Belaga Ogos tahun lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: